Thursday, July 31, 2008

Kuih kasui-lompang gula melaka


Saya ingin berkongsi resepi kuih yang saya buat dari gabungan beberapa resepi.
Idea asalnya nak buat kuih lompang, tapi lain jadinya. Bila hidang kat kawan-kawan katanya sedap, jadi terus la saya menggunakan resepi nie. Sebab itulah saya sebenarnya tak tahu apa nama kuih ini sepatutnya.


Bahan-bahannya

1.
1 ½ cawan tepung ubi
2. 1 cawan tepung beras
3. ½ cawan tepung gandum
4. 3 cawan santan
5. 1 cawan gula pasir
6.
½ cawan gula merah
7.
3 sudu teh air kapur


Cara-caranya.
· Satukan semua bahan-bahan di atas ke dalam bekas pengisar, kisar sehingga semuanya sebati.
· Panaskan pengukus dan acuan, setelah panas, tuangkan sebatian kuih tadi.
· Kukus dalam masa 15 minit.
· Keluarkan dari acuan, hiaskan dengan meletakkan sedikit kelapa parut yang telah dikukus.


Pesanan
1. Tidak semua gula merah memberikan warna yang merah menarik, jadi jika anda dapat gula merah yang warnanya agak pudar, tambahkan perwarna perang pada kuih anda itu ( browning).

2. Kalau anda tidak berapa gemar menggunakan bekas kecil-kecil sepertimana saya buat, ada boleh gunakan loyang. Masa menggukusnya lebih kurang sejam atau pastikan dah masak baru angkat.

3. Nak pastikan dah masak, cucuk kuih kita itu dengan menggunakan lidi. Kalau halus permukaan lidi itu, dah masak la gamaknya kuih tu ye ;)


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Wednesday, July 30, 2008

Jus Sayuran : Jus Seleri Timun

Hari ini seharian saya menjadi pemudah cara (fasilitator) untuk satu program latihan di tempat kerja saya. Pulang ke rumah saya lihat isteri saya sudah sediakan stok ayam untuk dibuat sup pada malam tersebut. Tapi selera saya agak terbantut. Ditambah dengan azam saya untuk berhati-hati dengan apa yang saya makan saya keluarkan bahan-bahan tersebut:
  1. 1 1/2 batang seleri.
  2. 4 hiris timun.
  3. Sepotong lemon
  4. Sesudu madu lebah
  5. Sedikit kiub ais.
  6. Setengah gelas air kosong.
Caranya : Kisar semua bahan di atas. Siap! Perahan lemon dan madu mengikut selera anda. Mula-mula saya skeptikal sikit mahu minum jus ini. Saya sisip sedikit. Sedap juga. Kini saya sedang menikmatinya sambil menaip entri ini dan mendengar streaming Radio Klasik Nasional.

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Abahfateh
http://abahfateh.blogspot.com

Tuesday, July 29, 2008

10 Jenis Makanan Antikolesterol


Oleh Imam Khalid

1. SOYA
Kacang soya merupakan makanan popular yg diproses untk mendapatkan Kacang soya mengandungi 48% protein, lesitin, vitamin & zat galian.Ia juga Dpt menghidarkan penyakit jantung & kencing manis.
Kaya kalsium & Mineral yg membantu memecah lemak. Ia membantu menyusutkan kadar Lemak jahat (LDL) dan meningkatkan kadar lemak baik (HDL).

2. KUACI
Kuaci mempunyai kandunan zat besi. Pola pemakanan yg rendah dgn zat besi boleh menaikkan kadar kolestrol LDL sekali gus menghadkan kolestrol HDL. Mulakan pengambilan kuaci jenis tawar seperti dari jenis labu atau bunga matahari untuk menambah zat besi serta mengurangkan kolestrol.

3. BUAH KERING
Antar pelbagai jenis buah kering, limau kering adalah yg paling banyak mengandungi flavanoid. Pengambilannya mampu menyingkirkan lebihan lemak LDL sehingga dapat mengurangkan risiko sserangan jantung. Flavanoid juga boleh diperolehi dalam teh, brokoli, tomato, bawang serta delima.

4. EPAL
Memakan sebiji epal @ meminum jusnya setiap hari cukup untuk membekalkan khasiat bagi mengurangkan kandungan kolestrol dalam badan. Kanak-kanak yg memakan makanan segera dan kemudian memakan epal @ minum jusnya, sebenarnya menyimbangkan kandungan zat dan mencegah berlaku lemak dlm badan.

5. IKAN TUNA
Termasuk sumber asid lemak omega-3 yg popular, selain salmon dan makarel. Omega-3 secara khusus melindungi tubuh daripada peningkatan kadar kolestrol LDL.

6. KACANG TANAH
Kacang tanah yg dipanggang mengandungi lemak sihat dan kaya dengan vitamin E. Ia boleh menghalang radikal bebas agar tidak merosakkan kolesterol LDL dan dapat menghindari tubuh daripada serangan jantung.

7. MANGGA
Vitamin C banyak terdapat dalam mangga. Sumber lain : belimbing, kedodong, betik, rambutan, strawberi dan kiwi. Vitamin C berupaya mencegah kolestrol LDL dlm tubuh.

8. KISMIS
Mengandungi sebatian yg mampu menurunkan kolestrol. Sesiap yg mengamalkan diet dgn 400 kalori kismis setiap hari boleh menurunkan kadar kolestrol dlm darah sebanyak 8%.

9. OAT
Lebih daripada kajian saintifik yg dijalankan telah menunjukkan bahawa pengambilan oat setiap pagi boleh menurunkan kolestrol dalam darah. Serat mudah larut dalam oat boleh mengurankan risiko penyakit jantung sekiranya dijadikan sebahagian diet rendah lemak & kolestrol anda.

10. JAMBU BATU
Ia mampu menurunkan paras kolestrol dalam badan sebanyak 18.8%. Disyorkan mengambilnya setiap hari dalam jumlah mencukupi bagi memastikan khasiatnya bertindak balas kepada tubuh. Jumlah yg disyorkan ialah 400gm sehari, iaitu sebiji setengah selama empat minggu. Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan tanpa melupakan diet seimbang, jambu batu adalah pilihan yg sesuai.

Wallahu a’lam



Sumber : Ag Zan

Saturday, July 26, 2008

Saya dan Kerjaya

Ya, kerjaya saya adalah surirumah sepenuh masa ( buat masa ini lah ). Jadi, rutin harian saya adalah sama, mengemas rumah, memasak dan mengasuh anak-anak saya. Kini baru saya tahu mengapa ‘kerjaya’ surirumah antara kerjaya yang paling tinggi kadar ‘stress’nya. Ya lah banggun tidur, kemas rumah, menguruskan anak-anak, memasak dan begitulah seterusnya dari hari ke hari, dari bulan ke bulan dan tahun ke tahun. Bak kata pepatah dalam filem P. Ramli “ pendek kata, selagi tak tutup mata, kerja-kerja-kerja”. Pulak tu benda yang kita buat sama setiap hari. Walau blog ini blog ’makan-makan, izinkan lah saya lari dari konsep sekejap ye ;).

Bila melihat anak-anak membesar depan mata, tersa sejuk hati ini. Ya lah setiap perkembangannya dapat dilihat depan mata. Si abang, Fateh, mula bertanya macam-macam soalan. Si adik pulak, Faiq, sedang belajar bertatih. Hilang rasa kepenatan mengasuh mereka seharian bila melihat perkembangan positif mereka.

Tak apa lah, tinggalkan kerjaya saya, walaupun agak terlewat , disini saya nak ucapkan ” Selamat Ulang Tanun Yang Ke-3 Fateh, Semoga Fateh menjadi anak yang soleh”. Hari lahirnya sebenarnya 24 Julai. Tapi oleh kerana kesibukan dan kepenatan, tak dapatlah saya ’update’ blog ini.


Pagi itu, Fateh minta dibuatkan kek untuknya ” ibu, epi bedaykan la Fateh, ibu buat la kek. Nanti Fateh tiup-tiup la”. Tak apa lah, anaknda punya pasal, ibu buat la ya sayang. Oleh kerana Fateh sukakan kenderaan terbang-terbang, kami bercadang letakkan mainan kapal terbang atas keknya. Seperti yang dijangka, Fateh sungguh teruja. Lebih mengujakan lagi, abahnya menghadiahkan ‘komputer’ untuknya.



Apa pun, marilah sama-sama kita syukuri nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Semoga hidup kita hari ini lebih baik dari yang sebelumnya. Amin.

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma.

MINGGU KAWAN SEDUNIA

Mereka berkelip bersama, bergerak bersama, menangis bersama, melihat bersama dan tidur bersama malah menutup pandangan terakhir pun bersama, meskipun mereka tidak pernah melihat antara satu sama lain...kecuali melalui cermin..... persahabatan seharusnya seperti itu... kehidupan akan kurang ceria tanpa sahabat... minggu ini adalah "MINGGU KAWAN SEDUNIA"... siapa kawan anda?




p/s - terima kasih zul...

Monday, July 14, 2008

Saya dan Kolestrol.


Terpanggil untuk mengetahui status kesihatan, saya pun ke klinik membuat ujian darah. Bukan apa, sekadar untuk pastikan kesihatan berada dalam keadaan baik. Bak kata pepatah la, lebih baik mencegah dari merawat. Hasil ujian, paras kolestrol saya agak tinggi, lebih dari yang sepatutnya (< 5.5mmol/ ). Apa lagi, doktor pun ‘membebel’ gak, ‘jaga kesihatan, koletrol tinggi boleh akibatkan serangan jantung. Apatah lagi kalau sejarah keluarga memang ada penyakit ini'. Rasanya, setakat nie, keturunan keluarga saya tak ada penyakit ini. Maknanya dari segi genitik dah tak ada, cuma dari segi pemakana lah. Biasa lah, pepatah orang sekarang, lebih senang, lebih banyak la penyakit datang. Mintak-mintak dijauhkan la ya.


Antara nasihat doktor, adalah seperti petua di bawah :

Petua
· Tanggalkan kulit dari daging ayam sebelum dimakan.
· Elakkan dari menambah kicap atau lain-lain sos, minyak, mayonis, krim atau mentega ke dalam makanan anda.
· Pilih lebih banyak ikan atau bahan makanan laut yang lain untuk dimakan
· Buangkan segala lemak yang ternampak pada daging
· Jangan menggoreng dalam minyak yang banyak. Gunakan teknik kacau-goreng.
· Memakan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.
· Memakan lebih banyak roti dan bijirin. Elak dari mengambil roti bulan sabit (croissants), biskut, pastri dan kuih-muih yang manis dan berminyak.


Untuk keterangan lanjut, silalah layari laman web kementerian kesihatan : http://www.infosihat.gov.my/Penyakit_J_Kolestrol%20Darah%20Yang%20Tinggi%20.html


Maka bermulalah langakah-langakah untuk mamperbaiki kesihatan. Antaranya, sarapan oat setiap pagi ( ee, tak berapa suka la :D ). Nak gak masuk cabaran sihat Quaker Oat Malaysia, tapi tak layak. (http://www.quakerchallenge.com.my/malaysia.htm)


Saya ambil resepi dari laman web Quaker Oat Malaysia, ubah suai mana yang patut, jadikan hidangan sarapan pagi. Selamat menjamu selera ;).


Bubur Untuk Kesihatan (
Heart of Live Porridge )

Bahan-bahannya :
· 1 cawan Quaker Quick Cook Oat
· 1 cawan Susu Segar
· 2 cawan air
· Sebiji Limau
· Sedikit kismis dan garam, gula secukup rasa


Cara-caranya:

·
Masak Oat dengan air dan susu dalam periuk hingga masak ( dalam masa 10 minit )
·
Bila dah masak, hidangkan dalam mangkuk
·
Hiaskan menggunakan hirisan limau dah kismis
·
Sedia untuk dimakan

Thursday, July 10, 2008

Seri Muka Kak Nor


Kuih ini merupakan antara kuih kegemaran suami dan anak-anak. Sebab tu la saya agak rajin membuat kuih nie. Kalau buat kuih yang mereka tak suka, alamat jadi perhiasan atas meja la. Sudahnya, hantar ’pos laju’ ler ( masuk tong sampah atau sedekah kat ayam ). Resepi nie dapat dari jiran sebelah ( bekas ) sebab mereka dah berpindah ke Kota Kinabalu, yang berasal dari Kedah. Oleh kerana nama panggilannya Kak Nor, maka saya namakan kuih nie ’Seri Muka Kak Nor’. Selamat mencuba.


Bahan-bahannya,

Bahagian Bawah :
· 250 gm beras pulut
· 2 cawan santan
· Garam secukup rasa

Bahagian Atas :
· 1 cawan santan kelapa ( dari separuh biji kelapa )
· 1 cawan gula
· 2 sudu ( penuh ) tepung beras
· 2 sudu ( penuh) tepung gandum
· 3 biji telur
· Daun Pandan ( ikut suka ) dikisar bersama kelapa parut untuk mendapatkan patinya.


Cara-caranya :
· Kukus beras pulut dengan santan tadi hingga masak. Angkat, sejukkan dan tekan agar padat pulut berkenaan ( agar bahagian atas tidak meresap masuk ke bahagian pulut )
· Kisar bahan- bahan bahagian atas, kemudian tuang ke atas pulut yang telah padat tadi.
· Kukus hingga masak. Untuk blok besar ( 1 loyang la ) kukus lebih kurang 1 hingga 1 ½ jam. Untuk saiz yang kecil ( macam dalam gambar tu! ), kukus dalam masa 15 minit.
· Siap untuk dihidang

Biasanya, sebelum memasak pulut, pulut direndam semalaman atau sekurang-kurangnya setengah jam. Tujuannya supaya pulut jadi lembut dan apabila kita tekan-tekan untuk memadatkannya, senang padat dan adunan bahagian atas tidak meresap masuk ke dalam pulut.


Kuih seri muka yang enak akan mengabungkan dua rasa yang nyata iaitu masin dan manis selain rasa lemak dari santan. Bahagian atasnya manis dan diimbangi dengan rasa masin dibahagian bawahnya. Apabila menggigitnya, nyummmmm tak terasa masin dan manisnya..... Cuma, enakkkk.....


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma.

Sunday, July 6, 2008

Kek Coklat Kukus Istimewa


Minggu lalu, hari jadi kawan ’ istimewa’ anak sulung saya. Dengan tak semena-mena, sehari sebelum tarikh ’birthday party’ tu dia pun berkata. ”Ibu, buatlah kek untuk Ainun.”

Beria-ia dia meminta, tak sampai hati pula nak hampakan permintaannya. Masuk dapur, tengok apa yang ada. ”Boleh la buat kek cokelat. Semua bahan ada, cuma belikan sahaja buah ceri” bekata sendiri saya dalam hati.

Berikut merupakan resepi istemewa kek coklat tersebut. Mudah sahaja buatnya. Jadi, sesiapa yang berminat bolehlah mencubanya. ;)

Bahan-bahannya

A. 100gm serbuk koko
300gm tepung gandum
450gm gula kastor
1 sudu kecil bicarbonat soda
1 ½ sudu kecil baking powder

B. 3 biji telur
200ml minyak
400ml susu cair /santan ( ½ biji kelapa)


Cara-caranya

  • Gaul rata semua bahan A di dalam satu bekas hingga sebati.
  • Dalam bekas yang berasingan, putar telur hingga kembang.
  • Kemudian, masukkan semua bahan-bahan yang lain ( bahan B) seperti telur, minyak dan susu cair.
  • Putar hingga sebati. Kukus hingga masak.
  • Untuk blok yang besar, kukus antara 45 minit hingga 1 jam.
  • Untuk saiz kecil (saiz ’cup cake’) kukus dalam 15 minit

Santan? Adakah anda pernah jumpa resepi membuat kek menggunakan santan? Kalau anda berani mencuba, cubalah tukarkan susu cair dengan santan ;). Minyak juga boleh ditukar dengan mentega atau majerin ( kalau nak la)untuk rasa yang lebih sedap.

Itu untuk buat keknya. Untuk buat lapisan cokelat nak tutup kek tu ( biar nampak lawa la kununnyer ;) ) cara nie saya buat. Mudah juga , cubalah.

Topping/Gamache

  1. 250gm coklat masak
  2. 1 sudu besar majerin/mentega
  3. ½ cawan fresh cream/whipping cream

Cara-caranya

  • Cairkan coklat masak secara ’double boil’
  • Angkat dari air panas tadi dan masukkan fresh cream/whipping cream. Kacau hingga sebati
  • Tunggu hingga coklat sejuk dulu.
  • Tuangkan atas kek.
  • Siap.
Saya nie kiranya masih tahap 'budak baru belajar lagi, jadi menghias kek tu tak la secantik mana. Tapi boleh la untuk kegunaan sediri ......

Wednesday, July 2, 2008

Laksa Johor, Laksa Yang Unik


Sebagai anak jati Johor, minggu lalu saya cuba-cubalah memasak Laksa Johor. Ini adalah kali kedua saya memasaknya. Kali pertama dahulu, teruk juga kena komen dengan suami. Kali ini saya jemput kawan baik saya, Arni dan keluarganya untuk merasanya dan memberi komen yang sewajarnya.

Sebelum saya ceritakan apa yang dikomen oleh insan-insan ini, saya berikan resipi Laksa Johor saya.


Bahan-bahan Kuah

1. Bawang merah

2. Bawah putih

3. Serai ; 4 -5 batang

4. Lengkuas ; ~ 1 inci

5. Udang kering ; ~ 100g

6. Isi udang basah ; ~ 100g

7. Ikan kurau kering

8. Belacan secukup rasa

9. Ketumbar ; 2 sudu besar ; ditumbuk halus

10.Jintan manis ; 1 sudu kecil ; ditumbuk halus

11.Jintan putih ; 1 sudu kecil ; ditumbuk halus

12.Kari Ikan ; 3 sudu besar

13.Santan kelapa ; 2 biji

14.Isi ikan parang yang dibakar ; 4 ekor : dibuang tulang

15.Kerisik ; 4 sudu besar

16.Lada sulah secukup rasa

17.Garam

18.Gula

19.Air asam jawa

20.Daun Kesum

21.Spaghetti

* Bahan 9, 10, 11 sebaik-baiknya disangai terlebih dahulu sebelum ditumbuk.

** Bahan 1 hingga 8 dikisar.

Bahan-bahan Ulam

  1. Taugeh
  2. Timun
  3. Bawang besar
  4. Daun selasih/kemangi
  5. Bunga kantan
  6. Sambal belacan

Cara Memasak.

- Tumis bahan-bahan yang dikisar dan ditumbuk halus sehingga naik bau.

- Masukkan rempah kari, isi ikan, santan, kerisik dan daun kesum.

- Masak hingga mendidih, kecilkan api dan dapatkan rasa secukupnya.

- Masak spaghetti, racik bahan-bahan ulam.

- Laksa Johor sedia untuk dihidangkan.

Hari itu, saya masak gunakan ikan tenggiri. Selain itu ikan kembung juga boleh digunakan. Ikan tenggiri jadi pilihans sebab di sini murah dan mudah mendapatkannya.

Malam itu, suami saya makan tanpa sebarang komen. Bangga rasa di hati sebab saya tahu dia memang kuat komen. Tapi kawan saya seorang ini pulak banyak komen. Antara kata-kata Arni:

”Rasa dia dah okay. Santan dia kurang pekat,kuah cair sangat, serbuk kari tak berapa rasa, tapi kira okay lah. Banyak juga aku makan.” ikhlas sungguh kata-kata dia sambil tersandar kekenyangan.

Memang banyak komen kawan saya seorang ini. Apapun, itu semua kesilapan teknikal yang boleh diatasi pada masa akan datang. Cubalah, bagilah komen sepatutnya, mungkin anda ada tips-tips lain dalam memasak Laksa Johor ini.

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma.

Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Siapa tidak suka makan? Sekurang-kurangnya seseorang itu makan untuk meneruskan hidupnya dengan makanan yang berkhasiat dan menyihatkan. Terlebih makan pun sukar juga, penyakit pula datang tanpa dijemput. Itu baru bab makan.

Bagaimana dengan memasak? Makan mahu namun, memasak tidak mahu. Alasan yang paling popular adalah tidak tahu memasak, renyah, dan sebagainya. Maka budaya makan di restoran ataupun gerai menular di dalam masyarakat kita. Yang lebih malang lagi, banyak resepi dan rahsia memasak hilang bersama-sama dengan generasi terdahulu.

Dengan aspirasi ini, kami terbitkan blog ini dengan harapan kami dapat berkongsi segala rahsia, petua, pengalaman dan cerita-cerita yang berkaitan dengan masakan dan makanan.

Kami bukanlah pakar masakan mahupun makanan. Kami juga belajar daripada masa ke masa. Ada masanya masakan kami tidak menepati rasa, namun daripada kesilapan itulah kita harus belajar dalam menuju kesempurnaan.

Adalah menjadi harapan kami anda setia mengikuti blog ini. Dalam kebanjiran blog-blog resepi dan masakan, kami berharap blog Selera Malaya ini menjadi blog yang menjadi pilihan dan rujukan peminat makanan dan pengamal masakan.





Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma.

Azlina & Abahfateh