Tuesday, November 11, 2008

Tumis-tumis Abahfateh - Sate Kajang

Tempohari, saya bawa isteri dan anak-anak makan luar. Tidak jauh, di Kajang sahaja. Kami pesan makanan untuk kami berdua dan Sate Kajang untuk anak-anak.

Saya ambil secucuk sate dan menjamahnya.
“Sedap.“ Itulah yang terkeluar daripada mulut saya. Sedap yang saya maksudkan itu adalah rasa yang saya pernah saya nikmati 20 tahun dahulu.

Inilah rasa Sate Kajang yang sebenarnya. Rasa yang saya cari-cari sejak seorang pengusaha sate mula menguasai pasaran Sate Kajang dan menyebabkan banyak pengusaha sate yang lain gulung tikar. Ironinya, orang ramai sudah tidak merujuk Sate Kajang dengan Sate Kajang, tetapi kepada nama pengusaha sate tersebut.


Saya bukanlah ingin mengatakan sate keluaran penguasa pasaran sate kajang itu tidak sedap. Sedap rasanya cumanya bagi saya keaslian rasanya sudah terjejas. Bagi seseorang yang pernah menikmati Sate Kajang yang sebenar dahulu, saya rindukan rasa aslinya itu. Umpama rendang buatan ibu kita, walaupun sepanjang tahun kita boleh menikmati rendang bila-bila masa dan dimasak oleh tukang masak terkenal, resepi asli ibu kita, makcik kita ataupun sesiapa yang kita kagumi itu jugalah yang kita cari semasa hari raya atau ketika menyambut hari-hari istimewa seperti perkahwinan.


Tidaklah saya ingin mendedahkan di manakah lokasinya buat masa sekarang kerana saya perlu rasa sate-sate di tempat yang lain juga kerana salah satu perkara yang saya ingin buat selepas pulang dari Labuan ialah mencari pengusaha sate yang masih mengekalkan keaslian Sate Kajang.


Mungkin anda ada lokasi yang anda rasa sedap dan menepati ciri-ciri yang saya sebutkan tadi. Maka bolehlah cadangkan kepada saya di kotak komen yang tersedia.

Abahfateh
http://abahfateh.blogspot.com


p.s – saya rindukan bau tisu basah wangi percuma yang disediakan oleh pengusaha sate suatu masa dahulu.