Showing posts with label Hidangan Barat. Show all posts
Showing posts with label Hidangan Barat. Show all posts

Wednesday, November 16, 2011

Sup Tomato


Bosan juga jika selalu makan sup dengan stail Melayu mahupun Cina. Kali ini saya mencuba satu resepi yang sudah lama saya ingin cuba iaitu sup tomato.  Jom cuba.


Kalau masuk Masterchef, dengan hiasan sebegini, sah-sah masuk pusingan penyingkiran.

Bahan-bahan

4 biji tomato sederhana besar, dibelah dengan potongan sederhana
2 ulas bawang putih, dicincang
1 labu bawang besar, dicincang
Sedikit daun basil (kering atau segar)
Satu sudu minyak zaitun
Stok ayam
Garam dan lada hitam

Cara-cara membuatnya

1. Rebus tomato sehingga masak dan toskan.
2. Tumis bawang putih, bawang merah dan daun basil dengan minyak zaitun.
3. Kisar tomato dengan bahan tumisan tadi.
4. Tumis semula selepas dikisar.
5. Masukkan stok ayam secukupnya.
6. Perisakan
7. Tapis sup tersebut, siap untuk dihidangkan.

Mudah bukan? Cubalah jika selama ini tomato terhad kepada masakan tertentu  dalam koleksi resepi anda. Enak dimakan bersama roti bakar bawang putih dengan mentega.

Bukannya susah memasak pun.

Jumpa lagi,
Abahfateh

Thursday, November 10, 2011

Terung panggang dengan tomato segar beserta kari mayonis.


Terung atau nama saintifiknya Solanum melongena merupakan sejenis buah yang hampir sifatnya seperti tomato ataupun kentang. Terung popular di kalangan masyarakat Melayu dan India terutamanya. Sepanjang pengetahuan saya, masakan terung sangat terhad variasi masakannya dan secara amnya terung menjadi bahan masakan di dalam kari, dhal, asam pedas mahupun disambal sahaja. Saya sendiri menggemari pajeri terung dan terung masak sambal taucu.

Namun begitu masakan barat banyak juga resepi terungnya. Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi satu resepi ringkas dan mudah untuk dihidangkan.




Bahan-bahan

1 biji terung (bulat atau bujur) – dihiris tebal kira-kira ½ inici.
1 biji tomata sederhana besar – dihiris tebal kira-kira ½ inci.
2 sudu besar mayonis
Serbuk roti
3 ulas bawang putih dicincang halus
1 sudu teh serbuk kari
Sedikit minyak zaitun.

Cara Penyediaan

Terung
  • Sapu hirisan terung dengan mayonis di kedua-kedua permukaannya.
  • Salutkan dengan serbuk roti secukupnya.
  • Sapukan minyak zaitun di atas kertas aluminium dan susun hirisan terung tersebut.
  • Panaskan ketuhar dengan suhu kira-kira 180o celcius. Selepas dipanaskan, masukkan terung ke dalam ketuhar dan panggang kira-kira 20 minit sehingga warna serbuk roti bertukar menjadi perang keemasan. Terbalikkan dan panggang sekali lagi kira-kira 5-10 minit.


Dressing

  • Gaulkan mayonis, serbuk kari dan cincangan bawang putih.
  • Susun hirisan tomato dan terung mengikut citarasa anda dan letakkan dressing di atasnya ataupun boleh dicicah begitu sahaja.

Hasil yang perlu anda dapat adalah kepahitan terung itu akan disulami dengan rasa mayonis, serbuk kari dan bawang putih. Kerangupan yang terhasil daripada serbuk roti dan tomato segar akan membangkitkan lagi rasa terung tersebut.

Selamat mencuba

Abahfateh

Tuesday, October 12, 2010

Spagerti Goreng Udang




Resepi ini amat mudah, boleh dikategorikan 'masakan segera'. Menggunakan bahan-bahan biasa yang sering kita gunakan di rumah.

Bahan-bahannya :
½ bungkus Pasta- saya guna Spinach Fettuccine
2 biji cili merah ( besar ) buang biji dan potong halus-halus
5 biji bawang putih – cincang halus
3 tangkai daun pasli – cincang halus juga
5 kuntum cendawan bulat – potong
50 g mentega
3 sudu minyak zaitun/masak
Sediit lada sulah/garam sebagai perisa ( jika suka )
10 ekor udang sederhana besar ( tinggalkan kulit ekor dan belah belakang buang benang hitamnya )

Caranya :
Rebus pasta sehingga lembut, ketepikan
Masukkan mentega dan minyak ke dalam kuali. Masukkan bawang putih apabila mentega sudah cair sepenuhnya. Gorengkan bawang putih sehingga naik bau.
Masukkan cili merah dan cendawan. Goreng seketika sehingga agak-agak cendawan masak.
Masukkan pasta dan udang. Gaulkan hingga mesra semua bahan yang ada dalam kuali.
Sekiranya anda rasa kurang masin, masukkan sedikit garam.
Untuk rasa tambahan, masukkan sedikit lada sulah
Balik-balikkan sehingga udang masak. Jangan masak udang terlalu lama. Manis udang akan hilang sekiranya dimasak terlalu lama.
Masukkan daun pasli, gaulkan rata dan matikan api.
Sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba

Nota :
1 – sekiranya anda sukakan rasa pedas, anda boleh menambah serbuk cilia tau cili padi.
2 – anda juga boleh memasukkan sayur-sayuran jenis lain mengikut kesukaan anda seperti sawi, taugeh.
3 – Udang boleh anda gantikan dengan sotong, ayam, daging atau mengikut citarasa anda.
4 - Sekiranya anda tidak mahu menggunakan mentega, anda boleh menggunakan sepenuhnya minyak zaitun, lebih menyihatkan.

Thursday, September 30, 2010

Bebola Daging Selera Malaya





Rasa-rasanya sudah lama saya sudah tidak menulis dalam blog Selera Malaya ini (tuan rumah tidak mengemaskinikannya, tidaklah saya ingin menyibuk-nyibuk pula). Namun sebagai permulaan, saya ingin berkongsi satu resepi yang mudah dan cepat. (Kurang 30 minit boleh selesai).

Resepi ini tercipta secara tiba-tiba. Pada hari terciptanya resepi ini konon-kononnya hendak masak spaghetti bolognese dengan daging. Fikir-fikir lebih baik buat bebola daging cumanya tidak tahu bagaimana caranya. Malas hendak meng’google’ terus saya fikirkan bahan yang sesuai dan ianya seperti berikut :

Bahan utama
~ 500g daging kisar
2 biji bawang besar dicincang halus
3 ulas bawang putting dicincang halus
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
½ sudu teh ketumbar
~2 atau 3 sudu teh serbuk lada hitam
2 sudu the garam
1 biji telur dipukul
~ 1 sudu besar tepung gandum

Semua rempah hendaklah dikisar halus.

Bahan Perapan
~ 2 sudu besar kicap
2 sudu besar madu

Bagaimana caranya? Gaullah semua bahan utama dan apabila siap maka bentuklah ia menjadi bebola kecil mengikut saiz yang anda ingini. Dengan bahan seperti ini dan saiz bebola yang sederhana, kita boleh dapat 30 sehingga 40 biji bebola daging.

Rebuskan ia, angkat dan toskan seketika kerana kita hendak memerap rebusan bebola daging ini dengan kicap dan madu. Gaul rata dan perap seketika selama 10 hingga 15 minit. Selepas itu, panaskan sedikit minyak di atas pan tidak melekat dan gorenglah ia dengan menggolek-golekkan ia di atas pan tersebut

Insya-Allah, rasa daging akan diperkuatkan dengan rempah yang diletakkan terutamanya lada hitam. Bukan sahaja sesuai dimakan dengan spaghetti Bolognese namun enak dimakan dengan nasi, roti atau dimakan begitu sahaja.

Selamat mencuba!
-abahfateh-

p/s : Jika anda pernah menonton filem The God Cookery Cookery Master lakonan Stephen Chow, pasti anda teringat adegan bebola daging melantun-lantun sehingga boleh dijadikan pengganti bola pingpong.

Saturday, January 16, 2010

New York Cheese Cake





Bahan-bahannya :
• 10 Keping biskut digestive ( lebih kurang 150 - 200 g )
• 100 g mentega ( lebih sedap kalau pakai unsalted butter )
• 500 g Keju krim
• 125 g gula halus
• 1 sudu teh tepung jagung
• 175 ml krim masam
• 3 biji telur
• 1 ½ sudu teh esen vanilla
• *1 biji lemon ( parut kulit dan perah jusnya )

***Untuk hiasan :
• 250 ml yougat asli
• 3 sudu besar gula halus


Cara-caranya :
**Untuk Asas kek ( base )
• Acuan kek menggunakan springform bulat bersaiz 8 inci / 20 cm
• Lapiskan dasar dan sisi acuan menggunakan keranjang aluminium ( aluminium foil )
• Hancurkan biskut menjadi serbuk ( terpulang kepada anda untuk mengisar atau sekadar menumbuk sahaja.
• Tambahkan mentega yang cair ke dalam serbuk biskut.
• Tuangkan bancuhan asas kek ke dalam acuan kek
• Sejukkan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 30 minit atau sehingga asas kek mengeras.

Untuk adunan Kek :
• Pukul keju krim sehingga lembut, kemudian masukkan gula dan tepung jagung. pukul lagi hingga sebati.
• Masukkan pula krim masam ke dalam adunan. Pukul lagi hingga sebati.
• Kemudian masukkan telur satu demi satu ke dalam adunan dan pukul lagi.
• Maukkan esen vanila, parutan kulit limau dan juga jusnya. Pukul lagi hingga rata dan sebati.
• Setelah sebati, masukkan adunan ke dalam acuan kek dan bakar kek pada suhu 180o selama 40 minit.
• Bakar menggunakan teknik “bakar bersama air” ( agaknya la, saya tak tau istilah yang sebetulnya, tapi, macam tu la caranya )
• Setelah masak, tuangkan hiasan ke atas kek dan bakar lagi selama 10 minit.
• Setelah cukup 10 minit, biarkan kek dahulu dalam ketuhar, keluarkan bila kek sudah sejuk dan masukkan ke dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 4 jam sebelum dimakan.
• Setelah cuku 4 jam, hiaskan kek mengikut selera anda dan kek sedia untuk dimakan.
• Selamat mencuba.

Nota :
• *Bagi anda yang tidak gemarkan kek yang agak masam, kurangkan kuantiti jus lemon.
• **Anda boleh menggantikan asas kek dengan biskut atau kek yang lain, bergantung kepada citarasa anda.
• ***Untuk hiasan, anda boleh menukar yougat dengan krim masam atau anda hanya boleh menggunakan krim hiasan ( fresh cream atau butter cream ), bergantung kepada citarasa anda.

Saturday, February 14, 2009

Pan Cake Pisang Berkismis



Bahan-bahannya :


1 biji telur ( Gred B

2 sudu besar mentega

3 sudu besar gula

1 biji pisang barangan

½ sudu teh esen vanilla

1 cawan tepung naik sendiri

150 ml susu segar

¼ sudu teh baking soda

50 gm kismis ( angaran dalam segangam )



Cara-caranya :

· Pukul gula dan mentega hingga agak kembang.

· Masukkan telur. Pukul hingga sebati.

· Masukkan pisang dan pukul lagi

· Masukkan tepung dan kacau hingga sebati.

· Kemudian, masukkan susu dan esen vanila untuk mencairkan dan mewangikan adunan. Kacau hingga sebati

· Akhir sekali, masukkan kismis dan kacau hingga rata.

· Panaskan kuali ( seelok-eloknya guna non-stick pan). Letakkan sedikit minyak agar adunan tidak melekit pada kuali.

· Letakkan adunan dalam kuali panas mengikut bentuk dan saiz yang dikehendaki. Mahukan saiz yang kecil,gunakan sudu kecil untuk menyukat adunan.

· Terbalik-terbalikkan adunan agar masak kedua-dua belah adunan.

· Angkat bila dah masak




Nota :

· Oleh kerana menggunakan pisang, adunan menjadi agak berat sebab itu serbuk penaik tambahan diperlukan.

· Oleh kerana menggunakan pisang juga, masa membakar adunan perlu menggunakan minyak kerana tanpa minyak, adunan akan melekit pada kuali pembakar.

· Jika anda mahu menggunakan kuali biasa pun boleh juga.

· Membakar jangan menggunakan api yang besar kerana adunan mudah hangus. Gunakan api sederhana kecil sahaja.

· Boleh dinikamati dengan madu.

· Kismis boleh ditambah atau tidak. Oleh kerana Muhammad Fateh sukakan kismis, atas permintaannya, kismis pun diletakkan.



Monday, February 9, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : BBQ - Ayam Bakar


Malam minggu yang lalu, kami buat BBQ kecil-kecilan. Suka-suka untuk hiburkan budak-budak di rumah. Anak saya, Fateh cukup seronok kerana sewaktu kami di Labuan kerap juga kami buat kerana berada di pulau maka tempat untuk berkelah pun banyak juga. Balik semula ke Kajang, tidak pernah buat pun walaupun sekali.

Menu BBQ kami ringkas dan mudah sahaja. Ikan siakap dan terubuk, sosej, ubi kayu dan keledek bakar dan juga ayam bakar. Adik ipar saya sediakan pecal versi Sabak Bernam. Sudah lama tidak tidak makan katanya.

Saya ingin berkongsi resepi ayam bakar yang cukup ringkas. Semoga anda tidak lagi memerap ayam dengan sos babeku atau serbuk kunyit dan kicap semata-mata lagi selepas ini.

Bahan-bahan.


10 ketul ayam bersaiz sederhana.

2 labu bawang besar.

3 batang serai.

2 sudu kecil jintan manis.

2 sudu kecil jintan putih.

2 sudu kecil ketumbar.

1 potong halia.

Gula dan garam secukup rasa.


Semua bahan kecuali ayam, gula dan garam dikisar.

Gaul bahan kisar dengan ayam, gula dan garam.

Perap sekurang-kurangnya dua jam sebelum dibakar.

Madu boleh disapukan ketika dibakar untuk menambah rasa.


Senang bukan?

Gambar di bawah adalah adik saya yang merupakan tukang bakar pada malam tersebut.

Walaupun beliau penuh rendah diri selalu katakan dia tidak boleh memasak, sekurang-kurangnya bakar ayam dia pandai.

Great job bro!

Tuesday, October 21, 2008

Spageti Bolonese




Rasanya sudah terlalu lama saya tidak berkongsi resepi dengan pengunjung blog ini. Maaflah, terlalu banyak komitmen sejak akhir-akhir, dari mood baru berpindah rumah, puasa, raya, anak demam dan seribu satu macam perkara. Untuk kali ini, saya akan berkongsi resepi untuk membuat sos spageti bolonis. Resepi ini saya dapati dari internet juga, tapi saya terlupa untuk menyimpan alamat asalnya. Setakat ini, sudah dua kali saya mencuba resepi ini. Hasilnya, memuaskan ( :D ) dapat pujian dari ‘tukang makan’ (tested tau Big-Jarn)

Bahan-bahannya:
• 500 g spageti
• 500 g daging lembu cincang ( kekadang saya tukar dengan ayam cincang )
• 300 ml susu segar ( apa-apa susu pun boleh )
• 2 labu bawang besar kuning ( bawang cina ) – cincang halus
• 3 ulas bawang putih – cincang halus
• 1 batang lobak – didadu kecil
• 2 batang saleri – didadu kecil
• 4 – 5 biji tomato segar – didadu kecil
• 1 tin tomato puri ( berat lebih kurang 440 g )
• 1 tin cendawan butang – dihiris
• 1 sudu teh oregano/ mix herbs
• 3 sudu besar minyak zaitun ( minyak masak biasa pun boleh )
• 2 sudu besar mentega
• Garam dan gula – secukup rasa
• Parutan keju pamersan – hiasan


Cara-cara :

Untuk Pasta :
• Rebus spageti dengan sedikit garam dan minyak.
• Setelah masak, angkat dan hidangkan.

Untuk Sos :
• Panaskan minyak dan mentega, bila mentega dah berbuih, masukkan bawang besar dan bawang putih. Tak perlu lama, cukup sekadar bawang layu.
• Masukkan daging cincang, goreng hingga keperangan.
• Masukkan pula sayuran ( kecuali tomato segar ). Goreng hingga kesemua sayuran lembut.
• Kemudian, masukkan pula susu dan kuatkan api. Masak hingga susu mendidih dan kacau selalu. Bila susu sudah diserap daging, masukkan pula tomato puri dan tomato segar. Gunakan tin tomato puri untuk menambah air sebanyak 2 tin ke dalam kuah sos. Kacau kuah dari masa ke semasa.
• Masukkan pula herba campur, garam dan gula.
• Biarkan kuah mendidih lebih kurang 7 minit.
• Perlahankan api ( paling kecil dapur gas anda boleh, agak-agak patut la )
• Reneh sos hingga menjadi pekat ( lebih kurang reneh 1 – 2 jam, lebih lama lagi bagus )
• Seimbangkan rasa masam, masin dan manis.
• Sedia untuk dihidang


Nota :
• Saiz hidangan bagi resepi ini, cukup untuk 6 – 8 orang dewasa makan ( tapi tengok gak cara makannya, sikit atau banyak ;) ).
• Sekiranya anda mempunyai periuk non-stick, elok la anda gunakannya kerana apabila masa mereneh lama, kerak akan tebal di dasar periuk anda.
• Seelok-eloknya anda gunakan periuk yang tinggi juga agar sos kurang memercik keluar.
• Kalau tidak habis dimakan, anda boleh menyimpan sos ini ke dalam peti sejuk ( bahagian dingin beku ) dan bila anda nak makan, panaskan sahaja. Ini cadangan saja, sebab saya buat macam tu la, tak perlu selalu buat.


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Thursday, August 28, 2008

Roti ‘Abahfateh’ John.

Anda sering mengeluh dengan harga sarapan anda yang berjumlah RM3 hingga RM5 setiap pagi?

Anda tidak sempat memasak pada waktu pagi kerana anda fikirkan nasi lemak, mee goreng ataupun telur separuh masak dengan roti baker?

Anda tidak mahu memasak?

Apa kata anda cuba resepi mudah di bawah. Hasil masakannya adalah ala-ala roti john di pasar malam. Hasilnya pasti tidak akan mengecewakan.

Bahan-bahannya.


  1. 3 biji roti frankfurter (roti buku pun boleh, bahagi dua)
  2. ¼ biji bawang merah (didadu)
  3. 1 ulas bawang putih (didadu)
  4. ½ biji tomato (didadu)
  5. 2 biji telur (dipukul sehingga kembang)
  6. 1 sudu besar minyak masak.
  7. Secubit garam (masuk ke dalam telur)
  8. Sedikit lada sulah (masuk ke dalam telur)


Mudah sahaja cara memasaknya.

  1. Panaskan minyak di atas kuali pan.
  2. Masukkan bawang merah dan bawang putih ke dalam telur yang sudah dipukul.
  3. Tuang telur ke atas kuali dan ratakan.
  4. Taburkan tomato atas telur.
  5. Terus letakkan potongan roti ke atas telur.
  6. Biarkan dalam ½ minit ke 1 minit sebelum diterbalikkan.
  7. Sedia untuk di makan.


Nota:

i. kalau ada daun sup atau bawang, racik halus dan masukkan sekali ke dalam telur.




Bagaimana mudahkan? Kalau tidak sempat makan di rumah, bungkuslah dengan kertas timah dan sedia dimakan hangat-hangat sesampainya anda di pejabat. Jimat belanja.


Resepi di atas sesuai untuk 3 orang dewasa dengan kos lebih kurang RM3 sahaja. Murah dan mudah!

Selamat mencuba!



Abahfateh

http://abahfateh.blogspot.com


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Sunday, August 10, 2008

Makaroni Berkeju Bakar


Anak Malaya dewasa ini tidak kekok untuk makan keju. Contohnya, kami la… Tak kan la kami asyik nak makan kari dan belacan sahaja kan, sesekali kami menukar selara untuk mempelbagaikan makanan kami. Di sini saya ingin berkongsi resepi yang agak mudah untuk anda cuba.


Bahan-bahannya :
· 130 gm makaroni
· 2 ulas bawang putih ( cincang halus )
· 1 sudu kecil herba campuran ( tak taruk pun taka pa )
· 30 gm mentega
· 25 gm tepung gandum
· 1 biji lobak ( potong memanjang )
· 5 ekor udang sederhana besar ( buang kulit dan potong-potong)
5 biji bebolah udang ( potong dalam saiz agak kecil )
· 175 ml susu cair
· 200 ml air kosong
· 50 gm keju Parmesan ( diparut )
· 50 gm keju Monzarella
· Garam, gula, lada sulah secukupnya.


Cara-caranya :

· Rebus makaroni hingga empuk. Ketepikan.
· Cairkan mentega dan masukkan tepung, bawang putih dan herba campuran. Masak dan kacau hingga sos tersebut nampak berbuih dan likat ( awass jangan sampai hangus ). Gunakan pemukul telur untuk mengacau sos berkenaan hingga proses membuat sos selesai agar sos tidak berketul-ketul.
· Masukkan susu cair, air dan masak lagi hingga sos mendidih dan pekat.
· Masukkan makaroni yang telah direbus tadi, lobak, bebola udang, udang dan keju parmesan.
· Masukkan ke dalam mangkuk tahan oven dan taburkan keju selebihnya. Untuk keju tabur, saya gunakan keju Monzarella.
· Bakar dengan menggunakan suhu 200oc selama 10 minit
· Sedia untuk dimakan

Pesanan :

· Bagi anda yang gemarkan keju, anda boleh melebihkan lagi keju dalam masakan ini. Maklumlah kami nie ’beginer’, jadi saya letak keju sekadarnya sahaja. Jenis keju, terpulang kepada anda, asal keju tersebut sesuai dengan masakan nie ( keju membuat pizza )

· Sayuran pula, boleh letak bunga kobis, brokoli atau cendawan. Oleh kerana putra-putra saya suka makan lobak, maka saya campurkan lobak sahaja lah.

· Bagi yang gemarkan krim masakan, anda boleh menukar susu cari dengan krim masakan. Sebenarnya resepi asal menggunakan krim masakan, oleh kerana kesukaran mendapatkan krim masakan di tempat saya, maka saya menukarnya dengan susu cair. Tapi rasanya pun ok juga Cuma, tidak selemak menggunakan krim.

· Sangat lazat dimakan panas-panas.

· Gambar, maaf la ya, agak polos gambar nie sebab tak sempat nak hias-hias kerana ketidaksabaran putra-putraku untuk menikmatinya...


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma