Monday, September 28, 2009

Nasi Cendawan Berkismis




Bahan-bahannya :

· 1 cawan beras basmati ( beras biasa pun boleh)

· 50 – 100 gm ikan bilis ( ambil stoknya )

· 1 ½ cawan stok ikan bilis

· 10 helai daun pudina (tak perlu pun tak pe )

· 1 biji limau nipis

· ½ cawan susu segar

· 10 kuntum cendawab bulat ( bukan cendawan butang dan seakan-akan cendawan cina )

· ½ biji lobak merah

· 3 biji bawang merah ( dimayang )

· 2 ulas bawang putih ( dimayang )

· 1 kuntum bunga lawang

· 3 biji buah pelaga

· 5 cm kulit kayu manis

· 1 sudu makan minyak sapi

· 2 sudu makan minyak masak

· 50 gm kismis ( untuk ditabur )

· 50 gm buah gajus ( untuk ditabur )

· Sedikit garam dan gula


Cara menyediakan

· Basuh beras dan toskannya

· Panaskan minyak sapi bersama minyak masak. Tumis bawang merah dan bawang putih bersama kulit kayu manis, buah pelaga dan bungga lawang. Agak-agak naik bau, masukkan daun pudina. Tumis seketika hingga daun pudina agak layu

· Masukkan susu bersama perahan jus limau nipis. Kacau seketika

· Masukkan beras dan kacau seketika. Biarkan sehingga susu agak mendidih.

· Masukkan cendawan dan lobak yang telah dipotong dadu

· Masukkan stok ikan bilis dan kacau biar sebati

· Perasakan dengan meletakkan garam, gula dan seumpamanya mengikut citarasa.

· Tanakkan nasi tersebut.

· Setelah tanak, taburkan kismis dan gajus sebagai hiasan

· Hidangkan, sedia untuk dimakan


Nota :

· Untuk menyediakan stok ikan bilis, rebus ikan bilis tersebut dengan sejumlah air mengikut keperluan kita.

· Semua bahan boleh ditukarganti dengan bahan-bahan yang sekakan-akannya contohnya, limau nipis boleh diganti dengan jus lemon atau limau kasturi, stok ikan bilis boleh diganti dengan sotk ayam atau lembu

· Saiz hidangan : untuk 2 -3 orang dewasa

Saturday, September 26, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : Mengubah Tradisi Hari Raya


Salah satu
sunnah yang dianjurkan pada pagi 1 Syawal adalah menjamah sedikit makanan ataupun bersarapan. Hikmah di sebalik sunnah ini adalah untuk menandakan berakhirnya Ramadhan dan merayakan ketibaan Syawal serta sebagai tanda kejayaan melalui bulan Ramadhan yang mulia. Itulah antara sebabnya mengapa 1 Syawal diharamkan berpuasa.

Bercakap tentang juadah di pagi Ramadhan saya percaya kita semua mempunyai juadah kegemaran masing-masing seperti ketupat, lontong, kuah lode, rending dan sebagainya. Begitu juga saya, cukup bagi saya untuk ada lontong dan kuah lodeh serta sebarang masakan berkicap tidak kisahlah ayam atapun daging. Cuma nantikan sahajalah natijahnya, menjelang petang perut sudah sebu dan berulang-aliklah saya menemui Dr. Tan(das).

Mulai tahun ini saya sekeluarga akan menikmati hidangan pagi raya seperti berikut;

  • Sup Tulang Lembu
  • Sambal Kicap
  • Nasi Himpit atau Nasi.
  • Jika ada tambahan, kira bonuslah itu.
Juadah ringkas ini saya ilhamkan kerana semenjak ibu saya pergi menemui Penciptanya, saya kurang teruja untuk berfikir banyak-banyak tentang juadah hari raya lantaran tidak mahu terkenang-kenangkan masakan ibu saya juga kasihan dengan isteri yang perlu menguruskan anak-anak yang masih kecil, persiapan raya dan sebagainya. Lagipun hanya kami sekeluarga beraya di rumah peninggalan orang tua saya di Kajang ini, adik-beradik saya yang lain semuanya akan pulang beraya di kampung ipar duai saya.

Tambahan pula untuk memasaknya mudah sahaja, sebelah malam cukup sekadar direbus tulang temulang itu esok pagi bumbunya perlu ditumis dan ditambah perisa. Moga-moga dengan persiapan seringkas ini akan dapat memenuhi tuntutan agama untuk mengisi malam raya dengan takbir dan amal-ibadah kepada Allah.

Pada hemat saya juga, kalau ingin merasa rendang, kuah kacang dan hidangan tradisi Melayu atau Jawa yang lain cukuplah dengan berziarah ke rumah saudara mara dan rakan taulan. Di samping dapat mengeratkan silaturrahim dapat juga saya membantu mereka menghabiskan hidangan-hidangan tersebut. Apapun, ini semua terpulanglah kepada setiap individu samada bersedia untuk menukar tradisi sedia ada atau meneruskannya sahaja. Tepuk dada tanyalah selera.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin

Ikhlas

Sunardi Maulan dan Azlina Ngatedene

Tuesday, September 15, 2009

Nasi Kabuli




Sudah lama rasanya saya tidak berkesempatan untuk berkongsi resepi dalam blog ini. Dicelah-celah kesibukan membuat persiapan menjelang aidilfitri ini, saya luangkan sedikit masa untuk berkongsi resepi yang mudah untuk tatapan semua ( resepi pun ambil dari majalah saji keluaran September 2009 ). Oleh kerana tidak sempat saya merakamkan gambar masakan ini kerana setelah siap disaji, azan menandakan berbuka puasa pun berkumandang. Oleh itu, gambar saya import dari sajionline. Maaf lah ya dan selamat mencuba.


Bahan-bahanya :

  • 1 cawan beras bas mati
  • 2 cawan stok daging
  • 3 ulas bawang merah (Dimayang)
  • 1 ulas bawang putih (Dimayang)
  • 1 sudu kecil minyak sapi
  • ½ sudu kecil ketumbar (Ditumbuk atau guna serbuk)
  • ¼ sudu kecil jintan manis (Ditumbuk atau guna serbuk)
  • ¼ sudu kecil jintan putih (Ditumbuk atau guna serbuk)


Cara Menyediakannya :

  • Basuh beras dan toskan
  • Panaskan minyak, masukkan bawang putih dan merah berserta rempah sehingga naik bau.
  • Masukkan beras dan goreng agak-agak rata semua bahan tumisan
  • Masukkan stok daging dan tambahkan bahan perasa seperti garam dan gula
  • Biarkan hingga masak
  • Hidangkan
  • Taburkan dengan buah gajus, kismin dan bawang goreng sebagai hiasan
  • Sedia untuk dimakan
Nota :
Resepi ini saya telah ubahsuai mengikut citarasa saya dan sumber resepi masakan ini, seperti yang telah saya nyatakan tadi dari majalah saji keluaran September 2009.

Monday, September 14, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : Nasi Ambeng


Gambar di atas adalah contoh Nasi Ambeng yang dibeli di sebuah bazar Ramadhan di Kajang.Sempat juga saya menemubual penjualnya dan saya yakin ia 70% asli kerana mereka berasal dari Rengit, Johor. Nasi Ambeng memang sudah tidak asing lagi di kalangan orang Jawa di Malaysia dan ia menjadi sebahagian daripada budaya orang Jawa namun saya harus akui ia semakin dilupakan.Saya ingin berkongsi pengetahuan saya mengenai nasi ambeng ini.

Nasi ambeng adalah hidangan yang dihidangkan kepada para tetamu ketika kenduri-kenduri kesyukuran, cukur jambul, tahlil ataupun majlis bacaan Yaasin. Apa yang membezakannya dengan hidangan kenduri-kenduri yang lain adalah ianya dihidangkan di atas talam/dulang dan hidangan itu boleh dibungkus dan dibawa pulang ke rumah. Tetamu-tetamu hanya menjamah sedikit sahaja.

Lauk-pauk nasi ambeng biasanya dalah serunding kelapa, ayam goreng/masak kicap, sambal goreng, kacang panjang masak tumis dan keluban/salad ulam gaya orang Jawa (biasanya dihidang untuk kenduri cukur jambul atau kesyukuran menyambut bayi baru). Minima lauknya adalah 4 lauk dan sekiranya ingin lebih, terpulanglah kepada kemampuan tuan rumah.

Saya pernah diajar seni membungkus nasi ambeng dan saya dapati ianya bukannya mudah. Namun ilmu tanpa amal memang mudah dilupakan. Saya menyesal juga tidak merekodkan ilmu tersebut kerana saya pun sudah ingat-ingat lupa. Apa yang pasti, dengan seni membungkus tersebut, lauk pasti tidak akan bercampur dengan nasi dan ianya amat kemas sekali pasti tidak akan terburai. Namun kini saya perhatikan rata-rata orang hanya membungkus asalnya terbungkus dan boleh dibawa pulang.

Nasi ambeng mengajar erti perkongsian. Biasanya kenduri-kenduri hanya dihadiri orang lelaki dan yang kenyang adalah orang lelaki sedangkan ahli keluarga di rumah hanya makan nasi berlaukkan ikan kering sahaja. Dengan nasi ambeng, ahli keluarga yang lain juga dapat merasainya keenakan hidangan kenduri apatah lagi sunnah Nabi iaitu makan berkongsi di dalam talam dapat diamalkan.

Namun, nasi ambeng juga sudah mengalami revolusi. Kini nasi ambeng sudah dikomersialkan. Ia sudah dijual di gerai-gerai seperti gambar di atas dan bagi saya ia sudah menyerupai nasi bungkus sebenarnya. Ada juga penyedia khidmat katerer yang sudah memasukkan hidangan nasi ambeng di dalam menu mereka. Sedulang nasi ambeng adalah sekitar RM25 hinggalah RM40 sedulang bergantung kepada kuantiti dan lauk.

Nasi ambeng adalah satu budaya yang perlu dipertahankan. Nasi ambeng mempromosikan gaya kehidupan Rasullullah iaitu hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Selain itu ia menjadi medium kepada penyatuan masyarakat dan keluarga.

Saya secara peribadi ingin merakamkan budaya nasi ambeng ini melalui lensa saya sebagai rekod dan rujukan generasi masa akan datang, Insya-Allah. Hanya menunggu masa dan peluang.