Sunday, September 21, 2008

Kangkung Masak Pekasam Tenggiri



Terdapat pelbagai cara untuk memasak sayuran kangkung ni, berikut merupakan salah satu cara yang anda boleh cuba untuk memasak kangkung.

Bahan-bahannya :
• 1 ikat kangkung
• 2 ulas bawang putih (cincang halus )
• ½ ekor ikan tengiri papan pekasam ( ambil isinya sahaja )
• 1 biji cili hidup merah ( hiasan )
• Garam dan gula secukup rasa.
• 2 sudu makan minyak masak
• 1 biji tomato merah ( potong 6, sebagai hiasan )
• Bawang goreng ( tabur )

Cara-caranya :
• Tumis bawang putih dengan minyak masak hingga sedikit kekuningan.
• Masukkan isi ikan tenggiri, tumis sebentar dalam 2-5 minit.
• Masukkan cili merah, tumis dalam 2-5 minit
• Masukkan sedikit air ( ikut citarasa, nak berkuah, masukkan banyak sket air., kalau tidak masukkan dalam 100ml air sahaja.
• Masukkan garam dan gula, mengikut citarasa anda
• Masukkan kangkung yang telah disiang ( ambil daun dan batang yang muda sahaja tau )
• Kacau-kacau dalam 5 minit ( jangan lama sangat, nanti layu sangat tak sedap )
• Masukkan tomato. Kacau-kacau ala kadar.
• Uji rasa masain dan manisnya sekali lagi.
• Selesai
• Hidangkan. Sedap dimakan ketika panas-panas

Nota :
sekiranya anda gemarkan makanan pedas, boleh tukarkan cili merah dengan cili padi.

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Friday, September 19, 2008

Nasi Impit/himpit




Nasi impit atau himpit, saya pun kurang pasti mana satu ejaannya yang betul. Mudah sahaja cara membuatnya Cuma mengambil masa yang agak lama sedikit. Cuba anda bayangkan anda akan pergi ke satu sudut dunia dimana anda tidak dapat memperolehi nasi impit, ketupat nasi yang segera. Jadi, anda boleh cuba kaedah ini. Selamat mencuba ;)

Bahan-bahannya :
• 1 cawan beras
• 5 cawan air
• Sedikit minyak masak

Cara-caranya :
• Basuh beras, seperti kita hendak memasak nasi. Kemudian masukkan 5 cawan air
• Tenggekkan atas api. Gunakan api paling kecil bagi dapur anda kerana anda akan mereneh beras tersebut selama dua jam. Sekiranya anda mempunyai periuk non-stick tu, lagi bagus kerana boleh mengurangkan kerak.
• Dari masa ke semasa, kacau nasi tadi.
• Setelah nasi menjadi halus dah kering ( lebih kurang dalam 2 – 2 ½ jam ), tuang dalam bekas loyang yang telah disapukan minyak masak di atasnya.
• Ratakan nasi hingga memenuhi keseluruhan ruang loyang tadi.
• Permukaan nasi tadi, tuangkan sedikit minyak masak. Tujuannya untuk memudahkan kita meratakan dan memadatkan nasi tadi.
• Biarkan seketika hingga sejuk.
• Sedia untuk dihidang

Nota :
• Bekas loyang tu tak semestinya yang aluminium, ia boleh diganti dengan apa-apa bekas sekali pun.
• Nasi himpit boleh dimakan bersama kuah kacang, lodeh dan sup.



Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Friday, September 12, 2008

Cup Cake Butter.




Hidangan ini sesuai diberikan kepada anak-anak kerana saiznya yang kecil. Mungkin anda juga boleh bakarnya dalam loyang Cuma, saya tak pernah cuba. Resepi ini mudah dan anak-anak saya sukannya. Resespi dari seorang kawan dari utara.

Bahan-bahannya :
• 6/7 biji telur
• 1 cawan tepung gandum
• 1 ½ cawan tepung naik sendiri
• 1 ½ cawan gula
• 1 biji mentega ( 250 gm )
• 1 sudu teh esen vanilla
• 1 sudu makan ‘baking powder’


Cara-caranya :

• Pukul gula dan mentega hingga kembang
• Dalam bekas yang lain, pukul telur hingga kembang
• Satukan telur dan mentega serta gula yang telah kembang dalam satu bekas. Pukul lagi hingga sebati dan gula menjadi hancur ( kalau gula kasar lah )
• Masukkan pula bahan-bahan yang lain seperti tepung gandum, tepung naik sendiri, ‘baking powder’.
• Akhir sekali, masukkan esen vanilla.
• Kacau hingga sebati.
• Masukkan dalam acuan kecil-kecil mengikut saiz kegemaran anda.
• Baker dalam oven selama 15 minit dengan suhu 180oc


Nota :
• Sekiranya anda mahukan mengguna perisa lain seperti oren, masukkan perisa oren atau sagat kulit limau sunquick ke dalam adunan.
• Kalau anda mahukan kelainan, anda boleh juga masukkan coklat urai, cip coklat, badam hacur, kismis atau apa saja di dalam adunan sebelum membakar.
• Lapisan atas anda boleh letak sos coklat atau icing sebagai hiasan.
• Masa membakar sebenarnya bergantung kepada jenis oven yang kita gunakan. Jadi sekiranya dengan masa yang saya beri tetapi kek anda belum masak, maka bakarlah lagi hingga masak ( permukaannya kekuningan ). Masa yang diberi di atas hanya sebagai panduan.


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Wednesday, September 10, 2008

Tom Yam Ayam ala Selera Malaya




Bahan-bahannya:
• 6 potong ayam sederhana besar ( bagi saiz ayam potong 12 )
• 2 sudu besar sos ikan (cadangan; cap sotong )
• I biji bawang besar ( bagi dua, separuh dikisar dan separuh lagi potong-potong )
• 3 biji cili kering ( dikisar )
• 4 helai daun limau purut ( koyakkan kepada dua bahagian )
• 15 biji limau kasturi ( limau nipis atau lemon pun boleh ), diambil jusnya.
• 2 batang serai ( dititik )
• Garam secukup rasa
• Gula secukup rasa
• 1 batang lobak
• ¼ Bunga kobis
• 1 biji tomato ( potong 6 )
• 3 keping besar cendawan tiram ( kalau dapat cendawan bulat, sama bentuk dengan cendawan cina lagi bagus )
• 1.5 liter air



Cara-caranya:
• Basuh ayam dan ketepikan
• Kisar separuh bahagian bawang besar bersama cili kering
• Rebus bawang dan cili yang telah dikisar sehingga cili agak masak.
• Kemudian masukkan separuh dari 1.5 liter air.
• Bila air agak mendidih, masukkan serai, bawang yang dipotong-potong dan sos ikan.
• Agak-agak berselang 5 minit, masukkan ayam pula.
• Rebus hingga ayam separuh masak kemudian masukkan sayur-sayuran.
• Agak-agak ayam dan sayuran telah masak, masukkan lebihan air tadi
• Masukkan daun limau purut, air limau, garam dan gula.
• Kacau hingga sebati dan seimbangkan rasa. Kalau kurang masam lagi, tambah jus limau. Bilangan limau di atas hanya sebagai panduan.
• Sedia untuk dihidang



Nota.
• Lebih enak kalau ditambah dengan daun ketumbar. Akar daun ketumbar masukkan dalam masakan dan daunnya tabur sebagai hiasan.
• Ayam boleh diganti dengan udang atau sotong atau ikan, ikut selera anda
• Sayuran pula, anda boleh pelbagaikan mengikut citarasa anda. Anda boleh tambahkan lain sayuran seperti jagung muda, brokoli dan seumpamanya.
• Menurut petua orang-orang tua, cari daun limau purut yang seperti angka lapan kerana ia tidak memberikan rasa pahit pada hidangan kita.



Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Sunday, September 7, 2008

Tapai Pulut


Tapai pulut enak dimakan ketika ianya sejuk. Ia makanan lama nenek moyang kita. apa kata pada kali ini saya kongsi cara membuat tapai pulut

Bahan-bahannya :

• 1 kg beras pulut
• 1 liter air
• Ragi tapai
• Daun pisang/bekas mengisi


Cara-cara :
• Masak beras pulut menggunakan 1 liter air hingga masak
• Setelah masak, sejukkan dalam dulang dengan meratakan pada pemukaan dulang ( buat senipis mungkin agar ragi dapat sampai ke setiap butiran pulut.
• Setelah sejuk, taburkan ragi pada pemukaan pulut tadi dengan sekata. Sekiranya agak banyak ragi tertabur atas pulut, akan menghasilkan tapai yang ‘kuat’ rasa gas tapai ( gunakan penapis yang agak rapat)
• Setelah rata. Terbalikkan pulut tadi untuk menabur ragi pada permukaan sebelahnya. Kemudian, simpan dengan menggunakan daun pisang atau bekas mengisi makanan, mengikut saiz kegemaran anda.

Nota :
Terdapat tiga cara untuk memasak pulut
1. Masak menggunakan ‘rice cooker’. Tapi sesetengah ‘rice cooker’ menghasilkan banyak kerak.
2. Kukus sepenuhnya. Memerlukan masa yang lebih lama dari kaedah 1. Tetapi kalau kurang air, ada bahagian pulut yang tidak masak..
3. Masak dulu atas api hingga kering airnya, kemudian kukus. Kaedah ini memerlukan tugas yang lebih banyak dari yang lainnya. Tapi saya selalu gunakan kaedah ini kerana keraknya kurang dan dijamin beras pulutnya masak sepenuhnya.

Pantang larang :

Orang-orang tua banyak memberi pantang larang ketika membuat tapai ini. Antaranya ;

1. Perempuan tengah ‘datang bulan’ tak boleh buat dikhuatiri tapai menjadi merah. Sepengalaman saya, tapai menjadi merah bila ada peralatan kita ( termasuk tangan ) yang tidak bersih. Ada sejenis bekteria yang memberikan sifat seperti itu, tapi saya tak tau la apa nama bekteria itu. Kesimpulannya, perempuan tengah ‘datang bulan’ boleh buat, yang penting jaga kebersihan. Seelok-eloknya, jangan sentuh langsung dengan tangan pulut tu.

2. Waktu membuat tapai pulut tak elok becakap banyak, nanti tapai menjadi tawar. Bila bercakap banyak, ari liur akan masuk ke dalam pulut, jadi agak tercemar. Sebab itu tu la tapai tu jadi tawar ( agaknya la :D )

3. Jangan gunakan air pada sudu yang digunakan untuk membungkus tapai, nanti jadi tawar. Ini saya tak tau la kebenarannya sebab, setakat ni saya buat, tapai jadi manis gak :D

4. Banyak lagi, tapi tak payah la kita bincangkan disini.



Simpan selama dua hari ( hari pertama, kita buat, hari kedua kita simpan dan hari ketiga baru sedia untuk dimakan.


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma