Monday, September 28, 2009

Nasi Cendawan Berkismis




Bahan-bahannya :

· 1 cawan beras basmati ( beras biasa pun boleh)

· 50 – 100 gm ikan bilis ( ambil stoknya )

· 1 ½ cawan stok ikan bilis

· 10 helai daun pudina (tak perlu pun tak pe )

· 1 biji limau nipis

· ½ cawan susu segar

· 10 kuntum cendawab bulat ( bukan cendawan butang dan seakan-akan cendawan cina )

· ½ biji lobak merah

· 3 biji bawang merah ( dimayang )

· 2 ulas bawang putih ( dimayang )

· 1 kuntum bunga lawang

· 3 biji buah pelaga

· 5 cm kulit kayu manis

· 1 sudu makan minyak sapi

· 2 sudu makan minyak masak

· 50 gm kismis ( untuk ditabur )

· 50 gm buah gajus ( untuk ditabur )

· Sedikit garam dan gula


Cara menyediakan

· Basuh beras dan toskannya

· Panaskan minyak sapi bersama minyak masak. Tumis bawang merah dan bawang putih bersama kulit kayu manis, buah pelaga dan bungga lawang. Agak-agak naik bau, masukkan daun pudina. Tumis seketika hingga daun pudina agak layu

· Masukkan susu bersama perahan jus limau nipis. Kacau seketika

· Masukkan beras dan kacau seketika. Biarkan sehingga susu agak mendidih.

· Masukkan cendawan dan lobak yang telah dipotong dadu

· Masukkan stok ikan bilis dan kacau biar sebati

· Perasakan dengan meletakkan garam, gula dan seumpamanya mengikut citarasa.

· Tanakkan nasi tersebut.

· Setelah tanak, taburkan kismis dan gajus sebagai hiasan

· Hidangkan, sedia untuk dimakan


Nota :

· Untuk menyediakan stok ikan bilis, rebus ikan bilis tersebut dengan sejumlah air mengikut keperluan kita.

· Semua bahan boleh ditukarganti dengan bahan-bahan yang sekakan-akannya contohnya, limau nipis boleh diganti dengan jus lemon atau limau kasturi, stok ikan bilis boleh diganti dengan sotk ayam atau lembu

· Saiz hidangan : untuk 2 -3 orang dewasa

Saturday, September 26, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : Mengubah Tradisi Hari Raya


Salah satu
sunnah yang dianjurkan pada pagi 1 Syawal adalah menjamah sedikit makanan ataupun bersarapan. Hikmah di sebalik sunnah ini adalah untuk menandakan berakhirnya Ramadhan dan merayakan ketibaan Syawal serta sebagai tanda kejayaan melalui bulan Ramadhan yang mulia. Itulah antara sebabnya mengapa 1 Syawal diharamkan berpuasa.

Bercakap tentang juadah di pagi Ramadhan saya percaya kita semua mempunyai juadah kegemaran masing-masing seperti ketupat, lontong, kuah lode, rending dan sebagainya. Begitu juga saya, cukup bagi saya untuk ada lontong dan kuah lodeh serta sebarang masakan berkicap tidak kisahlah ayam atapun daging. Cuma nantikan sahajalah natijahnya, menjelang petang perut sudah sebu dan berulang-aliklah saya menemui Dr. Tan(das).

Mulai tahun ini saya sekeluarga akan menikmati hidangan pagi raya seperti berikut;

  • Sup Tulang Lembu
  • Sambal Kicap
  • Nasi Himpit atau Nasi.
  • Jika ada tambahan, kira bonuslah itu.
Juadah ringkas ini saya ilhamkan kerana semenjak ibu saya pergi menemui Penciptanya, saya kurang teruja untuk berfikir banyak-banyak tentang juadah hari raya lantaran tidak mahu terkenang-kenangkan masakan ibu saya juga kasihan dengan isteri yang perlu menguruskan anak-anak yang masih kecil, persiapan raya dan sebagainya. Lagipun hanya kami sekeluarga beraya di rumah peninggalan orang tua saya di Kajang ini, adik-beradik saya yang lain semuanya akan pulang beraya di kampung ipar duai saya.

Tambahan pula untuk memasaknya mudah sahaja, sebelah malam cukup sekadar direbus tulang temulang itu esok pagi bumbunya perlu ditumis dan ditambah perisa. Moga-moga dengan persiapan seringkas ini akan dapat memenuhi tuntutan agama untuk mengisi malam raya dengan takbir dan amal-ibadah kepada Allah.

Pada hemat saya juga, kalau ingin merasa rendang, kuah kacang dan hidangan tradisi Melayu atau Jawa yang lain cukuplah dengan berziarah ke rumah saudara mara dan rakan taulan. Di samping dapat mengeratkan silaturrahim dapat juga saya membantu mereka menghabiskan hidangan-hidangan tersebut. Apapun, ini semua terpulanglah kepada setiap individu samada bersedia untuk menukar tradisi sedia ada atau meneruskannya sahaja. Tepuk dada tanyalah selera.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin

Ikhlas

Sunardi Maulan dan Azlina Ngatedene

Tuesday, September 15, 2009

Nasi Kabuli




Sudah lama rasanya saya tidak berkesempatan untuk berkongsi resepi dalam blog ini. Dicelah-celah kesibukan membuat persiapan menjelang aidilfitri ini, saya luangkan sedikit masa untuk berkongsi resepi yang mudah untuk tatapan semua ( resepi pun ambil dari majalah saji keluaran September 2009 ). Oleh kerana tidak sempat saya merakamkan gambar masakan ini kerana setelah siap disaji, azan menandakan berbuka puasa pun berkumandang. Oleh itu, gambar saya import dari sajionline. Maaf lah ya dan selamat mencuba.


Bahan-bahanya :

  • 1 cawan beras bas mati
  • 2 cawan stok daging
  • 3 ulas bawang merah (Dimayang)
  • 1 ulas bawang putih (Dimayang)
  • 1 sudu kecil minyak sapi
  • ½ sudu kecil ketumbar (Ditumbuk atau guna serbuk)
  • ¼ sudu kecil jintan manis (Ditumbuk atau guna serbuk)
  • ¼ sudu kecil jintan putih (Ditumbuk atau guna serbuk)


Cara Menyediakannya :

  • Basuh beras dan toskan
  • Panaskan minyak, masukkan bawang putih dan merah berserta rempah sehingga naik bau.
  • Masukkan beras dan goreng agak-agak rata semua bahan tumisan
  • Masukkan stok daging dan tambahkan bahan perasa seperti garam dan gula
  • Biarkan hingga masak
  • Hidangkan
  • Taburkan dengan buah gajus, kismin dan bawang goreng sebagai hiasan
  • Sedia untuk dimakan
Nota :
Resepi ini saya telah ubahsuai mengikut citarasa saya dan sumber resepi masakan ini, seperti yang telah saya nyatakan tadi dari majalah saji keluaran September 2009.

Monday, September 14, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : Nasi Ambeng


Gambar di atas adalah contoh Nasi Ambeng yang dibeli di sebuah bazar Ramadhan di Kajang.Sempat juga saya menemubual penjualnya dan saya yakin ia 70% asli kerana mereka berasal dari Rengit, Johor. Nasi Ambeng memang sudah tidak asing lagi di kalangan orang Jawa di Malaysia dan ia menjadi sebahagian daripada budaya orang Jawa namun saya harus akui ia semakin dilupakan.Saya ingin berkongsi pengetahuan saya mengenai nasi ambeng ini.

Nasi ambeng adalah hidangan yang dihidangkan kepada para tetamu ketika kenduri-kenduri kesyukuran, cukur jambul, tahlil ataupun majlis bacaan Yaasin. Apa yang membezakannya dengan hidangan kenduri-kenduri yang lain adalah ianya dihidangkan di atas talam/dulang dan hidangan itu boleh dibungkus dan dibawa pulang ke rumah. Tetamu-tetamu hanya menjamah sedikit sahaja.

Lauk-pauk nasi ambeng biasanya dalah serunding kelapa, ayam goreng/masak kicap, sambal goreng, kacang panjang masak tumis dan keluban/salad ulam gaya orang Jawa (biasanya dihidang untuk kenduri cukur jambul atau kesyukuran menyambut bayi baru). Minima lauknya adalah 4 lauk dan sekiranya ingin lebih, terpulanglah kepada kemampuan tuan rumah.

Saya pernah diajar seni membungkus nasi ambeng dan saya dapati ianya bukannya mudah. Namun ilmu tanpa amal memang mudah dilupakan. Saya menyesal juga tidak merekodkan ilmu tersebut kerana saya pun sudah ingat-ingat lupa. Apa yang pasti, dengan seni membungkus tersebut, lauk pasti tidak akan bercampur dengan nasi dan ianya amat kemas sekali pasti tidak akan terburai. Namun kini saya perhatikan rata-rata orang hanya membungkus asalnya terbungkus dan boleh dibawa pulang.

Nasi ambeng mengajar erti perkongsian. Biasanya kenduri-kenduri hanya dihadiri orang lelaki dan yang kenyang adalah orang lelaki sedangkan ahli keluarga di rumah hanya makan nasi berlaukkan ikan kering sahaja. Dengan nasi ambeng, ahli keluarga yang lain juga dapat merasainya keenakan hidangan kenduri apatah lagi sunnah Nabi iaitu makan berkongsi di dalam talam dapat diamalkan.

Namun, nasi ambeng juga sudah mengalami revolusi. Kini nasi ambeng sudah dikomersialkan. Ia sudah dijual di gerai-gerai seperti gambar di atas dan bagi saya ia sudah menyerupai nasi bungkus sebenarnya. Ada juga penyedia khidmat katerer yang sudah memasukkan hidangan nasi ambeng di dalam menu mereka. Sedulang nasi ambeng adalah sekitar RM25 hinggalah RM40 sedulang bergantung kepada kuantiti dan lauk.

Nasi ambeng adalah satu budaya yang perlu dipertahankan. Nasi ambeng mempromosikan gaya kehidupan Rasullullah iaitu hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Selain itu ia menjadi medium kepada penyatuan masyarakat dan keluarga.

Saya secara peribadi ingin merakamkan budaya nasi ambeng ini melalui lensa saya sebagai rekod dan rujukan generasi masa akan datang, Insya-Allah. Hanya menunggu masa dan peluang.

Monday, August 17, 2009

Hubungan buah-buahan dan manusia

setelah sekian lama menyepi, saya akan kembali, tapi tak tau lagi bagaimana kerana belum pandai lagi untuk membahagi waktu. Buat sementara waktu, saya lampirkan beberapa bahan yang diperolehi dari email untuk dikongsi bersama...

Jangan suka mendedah tubuh
Jadilah seperti jagung, jangan seperti gajus.
Jagung membungkus bijinya yang banyak, sedangkan gajus mempamerkan bijinya yang cuma satu.

Setia terhadap pasangan
Jadilah seperti pohon pisang.
Pohon pisang kalau berbuah hanya sekali seumur hidupnya.

Kecantikan dalaman
Jadilah seperti durian, jangan seperti kedondong.
Durian walaupun di luarnya penuh kulit yang tajam, tetapi di dalamnya lembut dan manis.
Berbeza dengan kedondong, di luarnya mulus dan berkilat, tetapi di dalamnya ada biji yang berduri.

Jaga kesucian dalam bergaul
Jadilah seperti sengkuang, walaupun hidup dalam tanah dan selut, tetapi umbinya tetap putih bersih.

Selalu bertindak adil
Jadilah seperti tandan petai, bukan tandan rambutan.
Tandan petai membahagi makanan sama rata ke biji2nya, semua seimbang, tidak seperti rambutan, ada yang kecil ada yang besar.

Semakin tua semakin bijaksana
Jadilah seperti cili. Semakin tua,semakin pedas.

Jangan bermuka-muka
Jadilah seperti buah manggis.
Buah manggis bisa diteka isinya dari bahagian bawah buahnya.

Wednesday, July 8, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : Sarapan Sate di Muar

Kebiasaannya, sate dimakan pada waktu petang dan malam. Kemanisan sate yang dibakar di atas api yang marak disemarakkan lagi dengan percikan minyak menerbitkan haruman wangi serai. Kuahnya yang lemak, manis dan ditambah lagi dengan rasa pedas yang terbit daripada sambal tumis membangkitkan rasa hangat pada tubuh pada petang atau malam hari.


Kesimpulannya, di Malaysia, jika anda ingin makan sate pergilah ke mana-mana gerai sate selepas jam 3.00 petang. Di Kajang, kebanyakan gerai sate kajang dibuka pada waktu tengahari hinggalah malam.



Namun di Muar, Johor keadaannya berbeza sama sekali. Sate boleh anda dapatkan seawal pagi dan ia menjadi hidangan popular bagi penduduk di sana. Asap sate adalah antara aroma yang pertama sekali anda dapat hirup sekiranya anda berkunjung ke Muar pada awal pagi.


Minggu lalu saya berkesempatan singgah Muar awal pagi. Hajat di hati ingin minum di Kopitiam 434 namun selepas membuat fotografi jalanan yang ringkas saya terus masuk ke sebuah restoran bernama R&H Café Sate Maharani yang terletak di Jalan Salleh, Muar. Bukannya apa, saya ingin tahu rasa satenya selepas melihat pelanggan tidak putus-putus masuk dan keluar termasuk juga sebuah lagi restoran di sebelahnya.


Di sini saya mengalami satu pengalaman yang sudah lama tidak saya rasai. Anda hanya perlu menyatakan anda inginkan sate dan mereka akan menghantarkan kepada anda tanpa perlu anda nyatakan beberapa cucuk yang anda inginkan. Harga sate akan dikira berdasarkan bilangan lidi sate yang sudah dimakan. Ini mengingatkan saya kepada nostalgia sate Kajang pada sebelum tahun 90an yang juga mengamalkan cara yang serupa. Di Muar satenya berharga 50 sen secucuk.


Saya dihidangkan dengan 4 jenis sate iaitu ayam, lembu, babat (perut) dan paru. Anggaran hidangan untuk seorang adalah 20 cucuk. Rasanya memang berbeza dengan mana-mana sate yang pernah saya rasa terutamanya sate Kajang. Jika sate Kajang terserlah dengan rasa daging, serai, 2 jintan dan rempah-ratus yang lain diadun dengan seimbang dengan manis gula ditambah lagi dengan lemak-lemak pedas kuah kacangnya tetapi tidak untuk sate Muar. Rasanya agak ringan, kurang manis dan rasa rempahnya. Namun sedap dimakan, saya kira rasa jintannya lebih terasa dan kuah kacangnya menjadi pelengkap kepada rasa sate itu. Malahan, jika dimakan tanpa kuah kacangnya pun masih terasa keenakannya.


Daripada keempat-keempat pilihan, saya letakkan sate babat di atas sekali diikuti sate paru, daging dan ayam. Sate babat di restoran ini memang sedap maka tidak hairanlah apabila saya dimaklumkan ada orang yang boleh makan 30-40 cucuk sate babat sahaja. Saya juga dimaklumkan selain gerai-gerai menjual sate di Jalan Salleh, sate Muar juga boleh didapati di Jalan Abdullah.


Oleh itu, jika anda berkesempatan berkunjung ke Muar maka sate Muar harus ditambah dalam senarai makanan yang ingin anda nikmati selain mee rebus, mee bandung, rojak petis dan kopi muar.

Sate Muar dan segelas kopi. Kebiasaannya, sate adalah hidangan sampingan di samping hidangan utama iaitu mee rebus. Sudah menjadi kelaziman di Muar, sate dijadikan juadah sarapan pagi berbanding tempat yang lain yang menghidangkan sate pada sebelah petang ataupun malam.

Wednesday, June 3, 2009

Alhamdulillah

Assalamualaikum,

Alhamdulillah kami baru dikurniakan cahaya mata ke-3 pada 22 Mei yang lalu. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan kami cahaya mata perempuan selepas dua anak lelaki. Semoga Allah memelihara keluarga kami dan diberikan rahmat dan hidayah oleh-Nya.

Sehubungan dengan itu, sebarang kemaskini adalah jarang sekali kerana pemilik blog ini sedang 'cuti' - berpantang. Insya-Allah akan kembali aktif selepas tempoh tersebut.

Wassalam

Wednesday, May 6, 2009

KTM …

Sejak akhir-akhir ini, tidak dapat saya untuk mengemaskini blog ini kerana kesibukan yang tidak dapat dielakkan. Bermula dari kisah anak-anak ( kedua-dua sekali) demam teruk dan diikuti jangkitan KTM (penyakit Kaki Tangan dan Mulut, bukan Keretapi Tanah Melayu ya ). Alhamdulilah, hari ini anak anak saya telah disahkan doctor bebas dari penyakit tersebut, bermakna mereka tidak lagi dikuarantin dan bebas untuk kemana-mana.

Bila dah sibuk menjaga anak-anak yang sakit, memasak pun tak sempat, sarapan sekadar roti dengan kaya dan makan tengahari cukup la dengan nasik dengan sayur bening. InsyaAllah kami akan kembali tidak lama lagi. Walaupun agak terlewat, disini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada sesiapa sahaja.

Tuesday, April 21, 2009

Ikan Terubuk Masin Sawawak





Kadang kala, terasa bosan bila makan menu lauk yang sama, sesekali teringin gak menjamah ikan masin . Apa kata anda cuba resepi ini. Tidak la terlalu susah, cuma, menggunakan pendekatan yang agak berbeza.

Biasanya ikan masin kita goreng dengan minyak yang banyak ( kata org putih tu deep fry ). Apa kata, kali ini, anda goreng ikan masin, terutama ikan yang ada isi banyak menggunakan minyak agak sedikit (kira-kira ikan separuh tenggelam )
Dalam masa anda menggoreng, taburkan sedikit gula dan serbuka lada sulah pada permukaan ikan yang terdedah tadi. Agak-agak kering, terbalikkan dan tabur pada bahagian sebelah lagi. Sekiranya ikan tersebut berkulit di bahagian sebelah lagi, ( macam terubuk masin nie, tak perlulah tabur gula dengan lada sulah tu ). Agak-agak kering, angkat.

Gunakan api yang sederhana kecil sahaja kerana kita menggunakan gula. Kalau api besar, hangus pulak gula tu nanti. Jangan tabur terlalu banyak, sekadarnya sahaja. Tentu anda berpuashati kerana memberikan rasa yang agak berbeza.

Tidak semestinya ikan terubuk sarawak sahaja. anda boleh cuba menggunakan ikan masin yang lain, selagi ikan tersebut mempunyai isi yang agak banyak macam pekasam tenggiri dan yang seumpamanya.

Selamat mencuba…

Sunday, April 12, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : Cendol dekat Tokong di Kajang.



Bandar Kajang memang sudah tersohor dengan kenakan Sate Kajang sejak dahulu lagi. Namun entry kali ini saya bukanlah ingin bercerita mengenai sate tetapi cendol.


Ketika Bandar Kajang belum dilanda pembangunan seperti hari ini, ada sebuah bazar yang menjadi tarikan orang ramai terutamanya anak-anak muda. Macam-macam ada di sana, daripada gerai-gerai yang menjual keperluan harian sehinggalah kepada gerai makanan. Antaranya cendol dan saya harus akuinya bahawa itu adalah antara cendol yang sedap. Namun selepas bazaar itu dirobohkan untuk sebuah kompleks beli belah maka sudah tidak ada cendol yang sedap lagi.


Walaubagaimanapun, muncul sebuah gerai cendol yang terletak di Jalan Tengah berhampiran dengan sebuah tokong Cina. Cara hendak mencarinya cukup mudah, jika anda dari Pusat Bandar Kajang dan menghala ke Kuala Lumpur melalui Jalan Tengah maka gerai ini anda akan mudah mengesannya kerana terletak di hujung blok bangunan kedai.


Macam-macam aneka cendol ditawarkan seperti cendol pulut dan cendol kacang hitam. Harganya agak berpatutan dan rasanya boleh tahan juga. Tidak mengecewakan rasanya yang menawarkan rasa lemak manis yang kekal di mulut anda. Selain cendol, ada juga disediakan mee rebus juga mee rojak namun saya tidak syorkan anda mencubanya.


Jadi sebelum anda bersedia untuk menjamu selera dengan Sate Kajang, apa kata anda membuka selera anda dengan cendol ini. Tetapi gerai ini ditutup pada waktu malam ya!


Thursday, April 9, 2009

Tumis_tumis Abahfateh : Nasi Lemak Hj Mad, Jln Kota Raja, Klang.

Saya dahulu menuntut di Kolej Islam Sultan Islam Alam Shah(KISAS), Klang, Selangor dari tahun 1994 hingga 1995. Walaupun singkat masanya saya menimba begitu banyak pengalaman dan mengutip kenangan manis termasuk makanan baik yang disediakan di kantin, dewan makan ataupun gerai-gerai di sekitarnya.


Hari ini saya berkesempatan melawat semula ke KISAS atas satu urusan rasmi. Saya dan rakan saya, seorang wartawan dan juga novelis, Nazmi Yaakub sebelum melangkah masuk ke sekolah sempat mengutip semula memori kami menikmati keenakan nasi lemak di tepi asrama kami dahulu. Bak kata rakan saya itu “Aku bukannya makan nasi lemak itu, tetapi makan semula memori-memori dahulu.” Ah! Itu semua sekadar mainan katanya untuk justifikasi dua pinggan nasi lemaknya.


Apapun, memang nasi lemaknya enak. Keistimewaan sebenar terletak pada sambalnya. Rasanya tidaklah pedas menyengat namun mampu membangkitkan rasa nasi lemak sebenarnya. Nasinya tidak mengecewakan, cukup lemak dan masinnya. Sememangnya cukup menyelerakan. Harganya juga tidaklah mengecewakan, sederhana murah. Mungkin itu antara faktornya rakan saya itu tidak segan silu menambah buat kali keduanya.


Sebenarnya, gerai ini telah berkembang semenjak saya meninggalkan *Bumi Waqafan itu. Daripada nasi lemak bungkus yang di dalamnya sekadar hanya sambal ikan bilis dan telur dadar dipotong empat segi kini ia telah berkembang sebagai sebuah gerai yang meriah dan mempunyai ramai pekerja. Selain nasi lemak, hidangan makanan tengahari juga ada disediakan di sini.


Gerai Nasi Lemak Hj Mad ini terletak di simpang jalan di antara Masjid Di-Raja Sultan Sulaiman dan Asrama Putera, Kolej Islam Sultan Alam Sahah. Jadi jika anda berkesempatan ke Klang makan singgah-singgahlah gerai Nasi Lemak Hj Mad yang terletak di Kampung Jawa Kelang ini.


*Gelaran kepada KISAS.






Tuesday, April 7, 2009

Sambal Tutuk/Deplok


Saya tidak tahu apa ‘orang melayu’ panggil sambal ini, tapi yang pasti, masyarakat jawa memangilnya ‘sambal tutuk atau sambal deplok’. Apa pun istilahnya, selamat mencuba resepi yang tidak seberapa nie ;)


Bahan-bahannya,
• 50 gm Ikan bilis ( lebih kurang segengam ) digoreng
• 15 biji cili kecil/ padi ( atau ikut kepedasan yang anda inginkan )
• 1 biji bawang merah
• 1 sudu kecil gula pasir


Cara-caranya :
• Goreng ikan bilis hingga garing atau ikut kegaringan yang anda suka
• Potong-potong cili dan gorengkan sehingga layu sahaja, tidak perlu hingga kering bersama bawang merah
• Masukkan ke dalam lesung ikan bilis, cili, bawang merah dan gula tadi. Tumbuk mengikut kelembutan yang anda suka.
• Sedia untuk dinikmati


Nota :
• Anda boleh menggunakan cili merah ( besar ) sekiranya anda tidak berapa sukakan pedas.
• Untuk mengurangkan pedas, anda boleh mendambah gula.
• Tambahkan garam sekiranya anda merasakan ianya kurang masin.

Saturday, March 21, 2009

Bubur sum-sum





Bahan-bahan Bubur :
• 100gm tepung beras
• ½ biji kelapa parut
• 800 ml air
• 1 sudu teh garam
• 3 helai daun pandan
• Sedikit pewarna hijau ( jika perlu )


Bahan-bahan sos :
• 100 ml air
• 100 gm gula merah/melaka
• 2 helai daun pandan

Cara-caranya :
• Kisar ½ biji kelapa bersama 800ml air dan daun pandan
• Tapiskan.
• Bancuh 100 gm tepung gandum bersama air santan dan pandan tadi. Sekiranya adunan berketul-ketul, kisarkan kembali untuk menghilangkan ketulan tepung tersebut
• Masak di atas api yang sederhana dan selalu kacaukan. Kacau selalu agar adunan tidak berketul. Untuk memudahkan, kacau menggunakan ‘wisker’ agar adunan lembut tidak beketul.
• Masak sehingga tepung kelihatan likat dan masak ( dalam lebih kurang 15-20 minit )
• Sedia untuk dihidang
• Untuk sos, campurkan kesemua bahan dah masak atas api hingga semua gula hancur.
• Angakat dan sedia dimakan bersama bubur.



Nota :
• anda juga boleh menggunakan santan segera dan selebihnya tambahkan dengan air untuk menjadikannya 800 ml.
• Sekiranya anda sukakan rasa santan yang lebih, bolehlah letakkan sebijik kelapa, kalau tidak, memadailah dengan hanya separuh biji sahaja.

Wednesday, March 18, 2009

Ikan Kerapu masak Tomato Bersos




Bahan-Bahan Sos :
• 1 biji tomato ( dipotong dadu kecil )
• 1 biji bawang besar ( dihirs bulat-bulat )
• ¼ cawan sos tomato
• ½ sos cili
• Sedikiit minyak untuk menumis


Bahan-bahan menggoreng Ikan :
• 1 ekor Ikan Kerapu ( lebih kurang 200 – 300 gm )
• 2 cm halia
• 2 ulas bawang putih
• 4 cm kunyit
• Sedikit garam
• Minyak untuk menggoreng secukupnya



Cara-caranya :
• Tumbuk/ kisar semua bahan untuk menggoreng ikan dan lumurkan ke ikan tersebut. Biarkan beberapa ketika ( dalam 10 ke 15 minit ) dan gorengkan.
• Untuk membuat sos, panaskan minyak, masukkan tomato. Goreng hingga tomato layu.
• Kemudian masukkan sos tomato dan sos cili.
• Setelah sebati, masukkan bawang yang dihiris bulat-bulat.
• Tumis sebentar dan angkatkan. Jangan terlalu masak bawang tersebut, biarkan agak rangup sedikit.
• Tuangkan di atas ikan yang telah digoreng tadi.
• Hidangkan dan sedia tuntuk dimakan. Enak dimakan ketika masih panas lagi. Selamat mencuba

Nota :
Kadar sos tomato dan cili adalah separuh. Tak semestinya mengikut sukatan yang diberikan, ini hanya sebagai panduan. Anda boleh melebihkan mana-mana sos mengikut kesesuaian selera anda.

Thursday, March 5, 2009

Sup Tulang Lembu





Bahan-bahannya :
• ½ kilo tulang lembu ( rusuk )
• 1 biji ubi kentang
• 1 ulas bawang putih ( dititik )
• 2 cm halia ( dititk )
• 3 ulas bawang merah ( diracik )
• 1 kuntum kecil bunga lawang
• 3 biji buah pelaga
• biji cengkih
• cm kayu manis
• 1 sudu kecil serbuk rempah kurma
• Daun bawang dan daun sup ( diracik sebagai hiasan )
• Lada sulah dan garam, secukup rasa
• Sedikit minyak untuk menggoreng
• Air secukupnya.

Cara-caranya :
• Rebus tulang bersama bawang putih dan halia yang dititik. Gunakan air secukupnya. Untuk memudahkannya, rebus menggunakan ‘rice cooker’. Isi air lebih kurang ¾.
• Agak-agak air mendidih, masukkan serbuk kurma.
• Masak hingga daging empuk. Agak2
• Agak-agak daging sudah empuk atau air telah kurang lebih dari separuh, masukkan ubi kentang.
• Panaskan minyak dalam kuali yang lain, gorengkan bawang merah yang diracik bersama pelaga, bunga lawang, cengkih dan kayu manis, goreng hingga bawang agak kekuningan.
• Setelah itu, masukkan bawang goreng bersama rempah empat sekawan tadi dalam sup kita tadi.
• Agak-agak kentang sudah lembut, perasakan dengan lada sulah dan garam.
• Hidangkan.
• Taburkan dengan daun sup dan daun bawang sebagai hiasan. Anda juga boleh menambah bawang goreng sebagai hiasan tambahan.
• Sedia untuk dinikmati.
• Selamat mencuba…



Nota :
• Anda juga boleh manambahkan lobak dalam sup ini.
• Untuk menambahkan rasa rempah, anda boleh manambahkan dengan jintan dan keumbar samada serbuk atau ditumbuk halus.
• Sekiranya anda sukakan sup yang agak masam, anda boleh tambahkan sedikit limau.

Saturday, February 28, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : Cendol Sedap di Lumut, Perak.

Minggu lalu saya sekeluarga berkesempatan pergi ke Pulau Pangkor kerana saya mengikuti satu program di sana. Sempatlah kami bermalam satu malam, jalan-jalan di sana dan pulang semula pada hari minggu lalu.


Sekembalinya dari Pulau Pangkor, kami sekeluarga mengambil kesempatan untuk makan tengahari, solat, mengambil pemandangan dan pastinya membeli sedikit buah tangan di Lumut. Sepengamatan saya, Lumut memang sudah banyak berubah semenjak kehadiran saya di sana ketika kecil dahulu. Apapun, tiada pengalaman yang lebih istimewa selain daripada dapat menikmati cendol yang sedap di sana.



Lokasi cendol di simpang masuk tempat letak kereta bertingkat.

Saya tidak berani mengatakan itulah cendol paling sedap di Lumut, tapi rasanya memang sedap. Jika tidak masakan isteri saya beli lagi sebungkus sebagai bekalan sepanjang perjalanan pulang. Adik saya dan isterinya juga mengakui hal tersebut. Rasanya yang seimbang di antara gula merah dan kelemakan santannya sudah cukup untuk membuatkan kita teringat-ingat akannya. Cendolnya juga saya kira dibuat sendiri, teksturnya lembut, licin dan miudah dimakan membuatkan ia adalah pencuci mulut ataupun pembasah tekak yang baik sekali. Harganya juga berpatutan, cendol pulut yang saya makan berharga RM2.50 manakala cendol biasa ialah RM2.00. Mangkuk besar ya pembaca sekalian! Gerai cendol ini terletak berhampiran simpang masuk ke tempat meletak kereta bertingkat Majlis Perbandaran Manjung dan bersebelahan dengan gerai makanan masakan Melayu.


Mahu pulut tak adik?

Sesekali ke Lumut tidak lengkap rasanya jika tidak membeli sedikit produk-produk hasil daripada makanan laut seperti satay ikan, keropok ikan dan sebagainya. Harganya juga berpatutan pada saya. Ketika barang-barang yang dibeli itu sedang dikira jumlahnya saya congak-congak kasar akan berjumlah lebih RM90 rupa-rupanya hanyalah RM60 lebih sedikit. Kalau tahu ambil banyak lagi bukan? Namun untuk membeli ikan bilis contohnya isteri saya memberitahu saya harganya dan kualitinya lebih kurang sama dengan di Kuala Lumpur.



Kami masuk ikut lot kedai ini.....

Tetapi keluar ikut lot kedai ini....

Ketika pulang, mata saya menangkap penjaja mee goreng yang masih menggunakan arang untuk memasak yang bagi saya jarang sekali dapat kita jumpa. Namun kami tidak berhenti kerana mengejar waktu. Hasrat hati untuk makan mee udang dengan jumlah udang yang banyak seperti yang diwar-warkan oleh adik saya juga tidak kesampaian. Sesampainya kami di Bagan Nakhoda Omar, Sungai Besar sudah lewat petang dan mee yang dimimpikan sudah habis. Nampaknya kami kena mencuba di waktu yang lain.


Apapun, dapat makan cendol sedap di Lumut pun sudah memadai untuk saya Mungkin di lain kali saya akan adakan trip khas menjelajah Pantai Barat Selangor kemudian panjat ke Teluk Intan untuk Menara Air Condongnya dan menikmati kelembutan pau Tanjung Malim.


Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.


Abahfateh

http://abahfateh.blogspot.com


Wednesday, February 18, 2009

Nasi Goreng Berkismis





Bahan-bahannya :
• 3 cawan nasi ( nasi yang tak habis makan, boleh la gunakan untuk buat nasi goreng )
• 100 gm isi udang basah
• 50 gm kismis
• 3 ulas bawang merah – racik halus
• 2 ulas bawang putih – racik halus
• ½ cm halia
• 1 biji tomato didadu kecil
• 2 sudu makan minyak sapi/ mentega
• Kicap lemak manis - secukupnya
• Garam secukup rasa
• Daun sup dan daun bawang sebagai hiasan

Cara-caranya :
• Panaskan kuali, masukkan mentega atau minyak sapi, kemudian masukkan bawang putih, bawang merah dan halia. Tumis hingga naik bau. Tak perlu hingga kering kerana kemungkinan mentega akan hangus.
• Masukkan tomato yang telah dipotong dadu tadi. Kacau hingga tomato tadi sebati dengan bawang.
• Masukkan isi udang, goreng lagi hingga udang separuh masak. Jangan masak udang terlalu lama, nanti ‘over cook’ menghilangkan rasa ‘manis’ udang tadi.
• Perasakan, kiranya kurang manis, tambah garam dan seumpamanya.
• Masukkan nasi, gaul hingga sebati.
• Masukkan kicap, tak perlu terlalu banyak, sekadar manambah perisa nasi goreng kita.
• Akhir sekali, masukkan kismis. Gaul lagi hingga kismis sebati dengan nasi, uji rasa. Sekiranya anda berpuas hati, hidangkan.
• Taburkan daun bawang dan daun sup sebagai hiasan dan menambah harum nasi kita tadi.

Nota :
Untuk menambah lagi perisa, anda boleh meletakkan sedikit lada sulah. Oleh kerana nasi ini bertujuan untuk dihidangkan kepada Muhammad Fateh dan Muhammad Faiq, sebarang perisa yang berunsur pedas tidak dicampurkan.

Saturday, February 14, 2009

Pan Cake Pisang Berkismis



Bahan-bahannya :


1 biji telur ( Gred B

2 sudu besar mentega

3 sudu besar gula

1 biji pisang barangan

½ sudu teh esen vanilla

1 cawan tepung naik sendiri

150 ml susu segar

¼ sudu teh baking soda

50 gm kismis ( angaran dalam segangam )



Cara-caranya :

· Pukul gula dan mentega hingga agak kembang.

· Masukkan telur. Pukul hingga sebati.

· Masukkan pisang dan pukul lagi

· Masukkan tepung dan kacau hingga sebati.

· Kemudian, masukkan susu dan esen vanila untuk mencairkan dan mewangikan adunan. Kacau hingga sebati

· Akhir sekali, masukkan kismis dan kacau hingga rata.

· Panaskan kuali ( seelok-eloknya guna non-stick pan). Letakkan sedikit minyak agar adunan tidak melekit pada kuali.

· Letakkan adunan dalam kuali panas mengikut bentuk dan saiz yang dikehendaki. Mahukan saiz yang kecil,gunakan sudu kecil untuk menyukat adunan.

· Terbalik-terbalikkan adunan agar masak kedua-dua belah adunan.

· Angkat bila dah masak




Nota :

· Oleh kerana menggunakan pisang, adunan menjadi agak berat sebab itu serbuk penaik tambahan diperlukan.

· Oleh kerana menggunakan pisang juga, masa membakar adunan perlu menggunakan minyak kerana tanpa minyak, adunan akan melekit pada kuali pembakar.

· Jika anda mahu menggunakan kuali biasa pun boleh juga.

· Membakar jangan menggunakan api yang besar kerana adunan mudah hangus. Gunakan api sederhana kecil sahaja.

· Boleh dinikamati dengan madu.

· Kismis boleh ditambah atau tidak. Oleh kerana Muhammad Fateh sukakan kismis, atas permintaannya, kismis pun diletakkan.