Monday, September 14, 2009
Tumis-tumis Abahfateh : Nasi Ambeng
Gambar di atas adalah contoh Nasi Ambeng yang dibeli di sebuah bazar Ramadhan di Kajang.Sempat juga saya menemubual penjualnya dan saya yakin ia 70% asli kerana mereka berasal dari Rengit, Johor. Nasi Ambeng memang sudah tidak asing lagi di kalangan orang Jawa di Malaysia dan ia menjadi sebahagian daripada budaya orang Jawa namun saya harus akui ia semakin dilupakan.Saya ingin berkongsi pengetahuan saya mengenai nasi ambeng ini.
Nasi ambeng adalah hidangan yang dihidangkan kepada para tetamu ketika kenduri-kenduri kesyukuran, cukur jambul, tahlil ataupun majlis bacaan Yaasin. Apa yang membezakannya dengan hidangan kenduri-kenduri yang lain adalah ianya dihidangkan di atas talam/dulang dan hidangan itu boleh dibungkus dan dibawa pulang ke rumah. Tetamu-tetamu hanya menjamah sedikit sahaja.
Lauk-pauk nasi ambeng biasanya dalah serunding kelapa, ayam goreng/masak kicap, sambal goreng, kacang panjang masak tumis dan keluban/salad ulam gaya orang Jawa (biasanya dihidang untuk kenduri cukur jambul atau kesyukuran menyambut bayi baru). Minima lauknya adalah 4 lauk dan sekiranya ingin lebih, terpulanglah kepada kemampuan tuan rumah.
Saya pernah diajar seni membungkus nasi ambeng dan saya dapati ianya bukannya mudah. Namun ilmu tanpa amal memang mudah dilupakan. Saya menyesal juga tidak merekodkan ilmu tersebut kerana saya pun sudah ingat-ingat lupa. Apa yang pasti, dengan seni membungkus tersebut, lauk pasti tidak akan bercampur dengan nasi dan ianya amat kemas sekali pasti tidak akan terburai. Namun kini saya perhatikan rata-rata orang hanya membungkus asalnya terbungkus dan boleh dibawa pulang.
Nasi ambeng mengajar erti perkongsian. Biasanya kenduri-kenduri hanya dihadiri orang lelaki dan yang kenyang adalah orang lelaki sedangkan ahli keluarga di rumah hanya makan nasi berlaukkan ikan kering sahaja. Dengan nasi ambeng, ahli keluarga yang lain juga dapat merasainya keenakan hidangan kenduri apatah lagi sunnah Nabi iaitu makan berkongsi di dalam talam dapat diamalkan.
Namun, nasi ambeng juga sudah mengalami revolusi. Kini nasi ambeng sudah dikomersialkan. Ia sudah dijual di gerai-gerai seperti gambar di atas dan bagi saya ia sudah menyerupai nasi bungkus sebenarnya. Ada juga penyedia khidmat katerer yang sudah memasukkan hidangan nasi ambeng di dalam menu mereka. Sedulang nasi ambeng adalah sekitar RM25 hinggalah RM40 sedulang bergantung kepada kuantiti dan lauk.
Nasi ambeng adalah satu budaya yang perlu dipertahankan. Nasi ambeng mempromosikan gaya kehidupan Rasullullah iaitu hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Selain itu ia menjadi medium kepada penyatuan masyarakat dan keluarga.
Saya secara peribadi ingin merakamkan budaya nasi ambeng ini melalui lensa saya sebagai rekod dan rujukan generasi masa akan datang, Insya-Allah. Hanya menunggu masa dan peluang.
Labels:
Makanan Tradisi,
tumis-tumis Abahfateh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
wahhh..maklumat yang menarik sekali. Saya pernah menulis tentang nasi ambeng di blog saya suatu ketika dahulu, tetapi tak banyak maklumat yang diperolehi. Lagi pula saya memang sudah agak lama tidak menjamah atau berjumpa hidangan ini walaupun saya dilahirkan sebagai anak Johor.
Hidangan Melayu, hidangan penuh nilai. Pelihara ia.
Post a Comment