Sunday, August 31, 2008

Saya dan Isu Semasa



Baru-baru ini ( 29 Ogos 2008 ) baru sahaja selesai bajet ( belajawan ) tahunan untuk tahun 2009. Walaupun di ceruk dapur tempat saya, izinkan saya mengutarakan pendapat saya berkaitan senario politik di negara ini, termasuklah isu bajet ini. Maaf lah, ini hanya pandangan saya sahaja, mana yang tidak bersetuju, silalah turunkan komen anda.

Pada saya, bajet pada kali ini, sedikit sebanyak mengambilkira tekanan dari pembangkang ( sekarang dikenali sebagai Pakatan Rakyat ). Contohnya, pemberian subsidi elektrik banyak RM20 kepada rakyat Malaysia dari 1 Oktober hingga akhir 2009 ( bagi yang layak ). Walaupun bunyinya bukan subsidi, tetapi itulah istilah yang tepat. Namun persoalannya, adakah ianya dapat menyelesaikan kesempitan hidup rakyat Malaysia secara mutlak? Siapa yang mendapat manfaatnya dan siapa yang hanya ‘berputih mata’? Sama-sama lah kita fikir dan renungkan.

Saya percaya kepada keseimbangan kuasa. Dengan kata lain, pembangkang di Malaysia ini telah menjalankan tugasnya dengan baik. Memang seperti yang kita ketahui, pembangkang kerjanya hanyalah mempersoalkan sahaja segala tindak tanduk kerajaan. Sedar atau tidak, ia sebenarnya memberikan kebaikan kepada kita rakyat Malaysia. Kalau kerajaan tidak ditegur, mungkin kerajaan akan ‘lupa diri’ dengan membuat perbelanjaan ‘syok sendiri’. Contoh mudah, kita perhatikan anak-anak kita. Kalau kita tidak perhatikan ketika mereka sedang bermain, apa yang akan jadi? Mula-mula main lari-lari. Kemudian main panjat-panjat. Kemudian lompat-lompat. Makin lama makin tinggi mereka melompat. Pada tahap itu, anak-anak ini telah lupa bahawa tindakannya itu akan memudaratkan dirinya. Disini peranan ibu bapa untuk menjaga keselamatan anak-anak ini. Jika kita kaitkan dengan senario politik negara kita, pembangkang berperanan seperti ibu bapa, menegur mana yang perlu ( walaupun kekadang kita rasa lebih dari yang patut ).

Saya teringat kisah ketika saya belajar dulu, pensyarah saya pernah berkata ‘kelemahan manusia adalah kesukarannya untuk berfikir secara rasional. Contohnya, suami kita akan kata balik lewat kerana menyiapkan kerja-kerjanya di pejabat, walhalnya sang suami duduk lepak-lepak di kedai makan bersama teman-temannya. Kenapa? Sebab sang isteri akan membebel bila tahu sanag suami keluar lepak-lepak dengan kengkawan. Oleh itu, sudikah anda, sebagai isteri ditipu oleh sang suami? Alasannya menipu, malas nak bersoal jawab yang kekadangnya menjadi satu pergaduhan. Jadi, marilah kita insafi diri kita, adakah kita rela untuk selalu ditipu? Tak kiralah sesiapa sahaja, termasuk kerajaan dan pembangkang.


Kesimpulannya di sini, selagi sesuatu perkara itu baik, kita terimalah. Belajarlah berfikiran secara rasional, bukan mengikut kata hati. Semoga kita sentiasa tergolong di kalangan orang-orang yang beriman….

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Friday, August 29, 2008

Labuan yang telah ku tinggalkan



Setelah sekian lama bermastautin di bumi Labuan, tibalah detik 24 Ogos 2008 saya dan keluarga meniggalkan bumi Labuan yang betuah. Pelbagai kenangan pahit dan manis telah di cipta di sana. Walaupun agak sayu meninggalkan teman-teman dan kenangan, namun demi masa depan, kami harus melakukan sesuatu. Sayu juga rasa hati apabila anaknda tercinta, Fateh, membuat permintaan ‘Ibu, nanti kita datang sini lagi ye!’.

Bermulalah kisan kehidupan saya dan keluarga di bumi Selangor ini. Di sini kami harus mencari tapak yang baru untuk meneruskan kehidupan. Kepada teman-teman di Labuan, terima kasih banyak-banyak atas segala bantuan, perhatian dan persahabatan. Tanpa anda sekalian, kesunyianlah kami disana. Suka duka, pahit manis, susah senang dikongsi bersama. Semoga kita akan bersua kembali disuatu masa.

Mungkin di bumi Selangor ini menjanjikan sesuat yang baru. Sebagai langkah pertama, kami mencuba untuk berniaga dengan menjual dodol ( kata org putih tu, ‘test market ‘). Jualan ini untuk hari raya. Jadi kepada semua pengunjug blog ini, selamat menyambut ketibaan Ramadhan Al-Mubaraq. Semoga kita semua mendapat rahmat dan hidayah dari Allah yang melimpah ruah.

Di samping itu juga, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua warganegara Malaysia tidak kita dimana pun kita berada. Semoga Malaysia tetap di hati walau apa yang terjadi dan dimana pun kita berada.


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Thursday, August 28, 2008

Roti ‘Abahfateh’ John.

Anda sering mengeluh dengan harga sarapan anda yang berjumlah RM3 hingga RM5 setiap pagi?

Anda tidak sempat memasak pada waktu pagi kerana anda fikirkan nasi lemak, mee goreng ataupun telur separuh masak dengan roti baker?

Anda tidak mahu memasak?

Apa kata anda cuba resepi mudah di bawah. Hasil masakannya adalah ala-ala roti john di pasar malam. Hasilnya pasti tidak akan mengecewakan.

Bahan-bahannya.


  1. 3 biji roti frankfurter (roti buku pun boleh, bahagi dua)
  2. ¼ biji bawang merah (didadu)
  3. 1 ulas bawang putih (didadu)
  4. ½ biji tomato (didadu)
  5. 2 biji telur (dipukul sehingga kembang)
  6. 1 sudu besar minyak masak.
  7. Secubit garam (masuk ke dalam telur)
  8. Sedikit lada sulah (masuk ke dalam telur)


Mudah sahaja cara memasaknya.

  1. Panaskan minyak di atas kuali pan.
  2. Masukkan bawang merah dan bawang putih ke dalam telur yang sudah dipukul.
  3. Tuang telur ke atas kuali dan ratakan.
  4. Taburkan tomato atas telur.
  5. Terus letakkan potongan roti ke atas telur.
  6. Biarkan dalam ½ minit ke 1 minit sebelum diterbalikkan.
  7. Sedia untuk di makan.


Nota:

i. kalau ada daun sup atau bawang, racik halus dan masukkan sekali ke dalam telur.




Bagaimana mudahkan? Kalau tidak sempat makan di rumah, bungkuslah dengan kertas timah dan sedia dimakan hangat-hangat sesampainya anda di pejabat. Jimat belanja.


Resepi di atas sesuai untuk 3 orang dewasa dengan kos lebih kurang RM3 sahaja. Murah dan mudah!

Selamat mencuba!



Abahfateh

http://abahfateh.blogspot.com


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Monday, August 18, 2008

Dodol Selera Malaya untuk Dijual

Assalamualaikum,

Anda pernah kacau dodol? Penat bukan?

Jika anda tidak pernah kacau dodol sekalipun, pasti anda pernah mendengar cerita betapa payahnya mengacau dodol.

Namun, ia tetap menjadi manisan yang menjadi pilihan sepanjang zaman. Kini mudah sahaja, anda boleh mendapatkannya daripada kami. Jadikan dodol sebagai manisan yang baru di meja hidangan anda atau jadikan ia hadiah untuk orang tersayang atau orang yang anda ingin hargai.

Harga jualan di bawah adalah tanpa kos penghantaran (jika ada).

Buat masa ini, penghantaran terhad kepada kawasan-kawasan seperti Putrajaya, Serdang, Kajang, Bandar Baru Bangi, Cheras, Balakong dan Selatan Kuala Lumpur.

Jika anda berada di luar kawasan yang disebutkan di atas, sila telefon kami atau hubungi kami di telefon atau alamat e-mel di bawah.

Jika e-mel, sertakan nama penuh anda, alamat kediaman dan surat menyurat anda, nombor telefon, e-mel (jika ada).

Sila tempah sebelum atau pada 7 September 2008. Penghantaran akan dibuat selewat-lewatnya pada minggu ke-3 Ramadhan.

Cuba jangan tak cuba!


Friday, August 15, 2008

Donat Dingin Beku


Macam pelik rasanya kalau menggunakan perkataan 'dingin beku' kerana biasanya kita menggunakan perkataan 'frozen'. Hakikatnya, kedua-duanya mempunyai makna yang sama.

Dewasa ini, banyak kita dapati produk dingin beku dipasaran. Namun, tahukan anda, sebenarnya kita mampu untuk membuatnya sediri. Uli adunan seperti biasa, tapi buatlah dalam kuantiti yang lebih dari apa yang anda perlukan. Selebihnya, jadikan ia dingin beku.

Terdapat dua cara untuk kita buat.

Pertama :

setelah donat kembang dan sedia untuk digoreng, goreng seperti biasa tetapi dalam kadar masa yang dua hingga lima saat. Tujuannya adalah untuk mematikan yis. Setelah itu, letak dalam bekas dan simpan dalam peti sejuk bahagian dingin beku. Apabila anda ingin mengorengnya, hanya keluarkan dan biarkan sehingga suhu bilik dan goreng.

Kedua :

Canaikan donat seperti biasa dan susun dalam dulang pada keadaan seperti kita mahu mengembangkannya ( susun satu-satu dan jarakkannya ). Kemudian, masukkan terus ke dalam peti ais bahagian dingin beku. Setelah beku, susun dalam bekas yang lebih mudah untuk kita menyimpannya, dan simpan. Apabila anda mahu menggorengnya, anda perlu susunya seperti mahu menggembangkannya. Anda perlu beri masa untuk donat itu mengembang seperti biasa. Apabila sudah kembang, boleh goreng. Menggunakan kaedah ini, donat seperti baru kita uli.

Jadi, tidak perlulah anda menguli donat selalu apabila anda mahu makan. Jadi, mana yang berkesempatan bolehlah mencuba....


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma



Thursday, August 14, 2008

Donat Ubi Kentang ( home made version )



Bahan-bahannya :

Bahan A
· 350 g tepung gandum
· 2 sudu besar gula putih
· 5 gm mentega
· 1 biji kentang ( kecil ) direbus lembut dan dilecek halus
· 10 gm susu tepung ( saya gunakan susu Fateh )
· 1 biji telur ayam
· Dough Softner ( optional )

Bahan B
· ½ sudu teh yis segera ( kering )
· 80 ml air suam
· 2 sudu besar gula putih

Cara-caranya :
· Larutkan gula ke dalam air suam dan masukkan yis
· Ketepikan dan biarkan hingga yis berbuih .
· Satukan semua bahan A.
· Masukkan pula bahan B.
· Uli hingga sebati dan lembut.
· Proses menguli adalah antara proses yang penting dalam pembuatan donat.
· Jika terlembik, tambahkan tepung lagi dan kiranya adunan keras, tambahkan air. Jumlah air tidak dapat ditetapkan kerana bergantung kepada telur dan kentang yang kita gunakan.
· Canai adunan dan terap mengikut bentuk yang dikehendaki.
· Letakkan dalam dulang yang bertabur tepung dan biarkan ia kembang ( lebih kurang 1-2 jam)
· Panaskan minyak dan goreng. Goreng gunakan api yang sederhana kerana donat senang hangus.
· Salutkan gula atau coklat. Ikut citarasa anda.
· Hidang

Saya suka guna acuan yang kecil kerana senang untuk anak-anak memakannya. Sebenarnya donat ini sudah biasa buat, oleh kerana kali ini saya buat bentuk bintang, maka Fateh pun berkata ’mmmm sedapnya’...... dalam hati berkata ’ ala sama jer resepinya’. Itulah bukan mudah ’memancing citarasa kanak-kanak nie. Kita kena berimaginasi seperti mereka dahulu ......

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Tuesday, August 12, 2008

Masak Lemak Nanas dengan Ikan Kurau Kering



Bahan-bahannya :
·
100 gm ikan kurau masin
· ½ biji nanas ( saiz kecil )
· 4 ulas bawang merah
· 2 ulas bawang putih
· 2 cm kunyit hidup
· 150 ml santan pekat ( dari ½ biji kelapa )
· 150 ml santan cair
· Garam dan gula secukup rasa

Cara-caranya :

· Rebus nanas yang telah dipotong-potong dengan menggunakan santan cair hingga nanas menggeluarkan jus.

· Masukkan ikan kurau masin dan kacau seketika. Biarkan seketika sehingga ikan nampak lembut sedikit.

· Masukkan bawang merah, bawang putih dan kunyit hidup yang telah ditumbuk. Biarkan seketika hingga sebati.

· Setelah itu, masukkan santan pekat dan kecilkan api.

· Seimbangkan rasa antara masin, manis dan masamnya. Oleh kerana ikan kering ni dah masin, sepatutnya tak perlulah tambah lagi garam. Cuma tambah sedikit gula agar naik rasa lemaknya. Sentiasa kacau santan agar tidak berketul jadinya ( pecah santan la tu namanya )

Pesanan :


Lebih enak kalau ditambahkan dengan cili padi.
Menu ni nak dimakan bersama anak-anak, maka tiada la ciliapi. Sekiranya anda mahu menambah ciliapi, rebus cili api yang telah ditumbuk dengan nanas tadi bagi memastikan cili masak. Kemudian, proses sama sepertimana yang dinyatakan di atas.


Cabaran untuk memasak lemak adalah memastikan santan tidak pecah. Oleh itu, lepas masukkan santan pekat, ( bagi yang kurang mahir ) kecilkan la api sekecil yang boleh. Kemudaian reneh la dengan api yang kecil sambil menegacau santan tersebut hingga agak-agak sudah masak.


Asam jawa/asam keping tak perlu letak kerana jus nanas sudah cukup masam. Kalau nanas terlebih rebus pun akan mengeluarkan jus yang masam amat. Jadi, rebus nanas agak-agak ia telah bertukar warna menjadi agak jernih, kemudian baru teruskan proses memasak.


Menurut Almarhumah ibu mertua saya, masak lemak ni lebih sediap kalau kita gunakan periuk tanah, rasanya lebih manis, asli dan menyihatkan. Memandangkan saya tidak mempunyainya, maka gunakan periuk yang ada sahaja.

Masak lemak ni tak leh la lawan masak lomak cili api Nogori Sembilan ... hehhe ni cuma masak yang ringkas aje... ;)

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Sunday, August 10, 2008

Makaroni Berkeju Bakar


Anak Malaya dewasa ini tidak kekok untuk makan keju. Contohnya, kami la… Tak kan la kami asyik nak makan kari dan belacan sahaja kan, sesekali kami menukar selara untuk mempelbagaikan makanan kami. Di sini saya ingin berkongsi resepi yang agak mudah untuk anda cuba.


Bahan-bahannya :
· 130 gm makaroni
· 2 ulas bawang putih ( cincang halus )
· 1 sudu kecil herba campuran ( tak taruk pun taka pa )
· 30 gm mentega
· 25 gm tepung gandum
· 1 biji lobak ( potong memanjang )
· 5 ekor udang sederhana besar ( buang kulit dan potong-potong)
5 biji bebolah udang ( potong dalam saiz agak kecil )
· 175 ml susu cair
· 200 ml air kosong
· 50 gm keju Parmesan ( diparut )
· 50 gm keju Monzarella
· Garam, gula, lada sulah secukupnya.


Cara-caranya :

· Rebus makaroni hingga empuk. Ketepikan.
· Cairkan mentega dan masukkan tepung, bawang putih dan herba campuran. Masak dan kacau hingga sos tersebut nampak berbuih dan likat ( awass jangan sampai hangus ). Gunakan pemukul telur untuk mengacau sos berkenaan hingga proses membuat sos selesai agar sos tidak berketul-ketul.
· Masukkan susu cair, air dan masak lagi hingga sos mendidih dan pekat.
· Masukkan makaroni yang telah direbus tadi, lobak, bebola udang, udang dan keju parmesan.
· Masukkan ke dalam mangkuk tahan oven dan taburkan keju selebihnya. Untuk keju tabur, saya gunakan keju Monzarella.
· Bakar dengan menggunakan suhu 200oc selama 10 minit
· Sedia untuk dimakan

Pesanan :

· Bagi anda yang gemarkan keju, anda boleh melebihkan lagi keju dalam masakan ini. Maklumlah kami nie ’beginer’, jadi saya letak keju sekadarnya sahaja. Jenis keju, terpulang kepada anda, asal keju tersebut sesuai dengan masakan nie ( keju membuat pizza )

· Sayuran pula, boleh letak bunga kobis, brokoli atau cendawan. Oleh kerana putra-putra saya suka makan lobak, maka saya campurkan lobak sahaja lah.

· Bagi yang gemarkan krim masakan, anda boleh menukar susu cari dengan krim masakan. Sebenarnya resepi asal menggunakan krim masakan, oleh kerana kesukaran mendapatkan krim masakan di tempat saya, maka saya menukarnya dengan susu cair. Tapi rasanya pun ok juga Cuma, tidak selemak menggunakan krim.

· Sangat lazat dimakan panas-panas.

· Gambar, maaf la ya, agak polos gambar nie sebab tak sempat nak hias-hias kerana ketidaksabaran putra-putraku untuk menikmatinya...


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Friday, August 8, 2008

Apam Pisang Coklat Urai



Sesekali hendak juga merasa hidangan yang lain.
Setelah puas membelek majalah Saji ( keluaran Ogos 2008 ) jumpa resepi yang agak mudah. Berikut resepi yang hendak saya kongsi bersama

Bahan-bahannya :
· 1 biji pisang berangan
· 2 biji telur
· 100ml minyak masak
· 100gm gula
· ½ sudu soda bikarbonat
· 80gm tepung gandum ( ayak )
· 1 sudu besar coklat urai


Cara-caranya :

· Kisar gula, minyak dan telur.
· Kemudian masukkan pula pisang dan kisar hingga halus
· Tuangkan adunan ke dalam bekas lain.
· Masukkan tepung yang telah di ayak dan soda bikarbonat tadi
· Kacau hingga sebati
· Setelah itu, masukkan coklat urai dan gaul hingga sebati lagi.
· Tuangkan adunan ke dalam acuan untuk dikukus dan kukus dalam masa 10 – 15 minit



Mudah kan? kalau ada pisang dah terlalu ranum, elok jangan dibuang. Gunakan untuk buat apam ini.



Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Sunday, August 3, 2008

Chip Chocolate Butter Cookies with Almond

Satu Resepi Dua Rasa


Dalam pelbagai jenis masakan, kek, kuih atau biskut merupakan antara jenis masakan yang tidak digemari oleh Abahfateh. Namun, buat pertama kalinya, beliau telah terpanggil untuk mencuba bakatnya dalam bidang ini. Biskut yang telah dipilih olehnya adalah biskut mentega coklat cip.

Setelah mendapatkan resepi, dengan tidak teragak-agak, beliau membuat biskut tersebut dan telah mendapat pujian yang menggalakkan oleh Fateh. Kata Fateh “Sedapnya biskut yang Abah buat. Nanti Abah buat lagi ye”

Oleh kerana kesibukan tugas, Abahfateh tidak dapat memenuhi kehendak Fateh. Maka saya pun membuatkan biskut tersebut utuk Fateh. Berikut merupakan resepi yang telah kami gunakan :

Biskut Mentega Cip Coklat dengan Badam

(Chip Chocolate Butter Cookies with Almond)

Bahan-bahannya :

  1. ½ cawan mentega
  2. ½ cawan gula perang
  3. 3 sudu besar ( table spoon ) gula pasir
  4. 1 biji telur
  5. 2 sudu teh esen vanilla
  6. ½ sudu teh baking soda
  7. ½ sudu teh baking powder
  8. 1 ¾ tepung gandum
  9. 1 ½ sudu teh kopi segera (nescafe pun boleh)
  10. 100 gm cip coklat
  11. 100 gm badam hancur

Cara-caranya :

  1. Pukul mentega dan gula hingga gebu
  2. Masukkan pula telur dan esen vanila, pukul lagi hingga sebati.
  3. Masukkan pula bahan-bahan lain seperti gula perang, baking soda dan baking powder.
  4. Hancurkan kopi segera dan masukkan dalam adunan tadi.
  5. Setelah sebati, masukkan pula cip coklat
  6. Di atas kertas pembakar biskut ( ada dijual dikebanyakan pasaraya)
    bentukkan mengikut bentuk yang dikehendaki.
  7. Setelah itu, bakar pada suhu 150oc selama 15 minit.

Walaupun menggunakan resepi yang sama, hasil yang diperolehi tidak sama. Dari analisa yang telah kami buat, cara kami membuat adalah berbeza. Perbezaan langkah pembuatan telah memberikan output yang berbeza.

Perbezaan cara mengadun :

Abahfateh hanya meletakkan gula putih sahaja ketika dipukul bersama mentega. Secara psikologinya, nampaklah bila mentega itu menggebu. Saya pula, bancuh kesemua jenis gula ( gula perang dan gula putih ) ketika memukulnya dengan mentega.

Hasil analisis dari biskut yang telah siap :

Biskut Abahfateh lebih rangup, sesuai untuk disimpan lama. Versi saya pula, lebih gebu dan agak rapuh biskutnya, sesuai diberi untuk budak yang baru nak tumbuh gigi contoh.

Apa pun anda patut mencuba resepi ini. Anda boleh hidangkan untuk anak-anak anda kerapa resepi ini telah diubah suai dengan menggurangkan sukatan gulanya. Biskut ini tidak terlalu manis. Dengan itu, anda juga boleh menjimatkan wang anda kerana anak anda tiada lagi alasan untuk membeli biskut coklat cip di pasaran.

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Saturday, August 2, 2008

Rojak Buah



Sesekali teringin juga kita mahu menikmati kelazatan buah-buahan segar. Disamping boleh membekalkan beberapa vitamin, ia juga boleh menjadi pilihan bagi mereka yang ingin mengurangkan pengambilan makanan yang berkabohidrat tinggi.


Bahan-bahannya :

1. 1 botol otak udang
2. 1 botol besar kicap manis kipas udang
3. 2 botol besar sos cili ‘life’
4. 3 sudu besar sos tomato
5. Kicap masin ( kalau kurang masin )
6.
Gula melaka ( kalau otak udang kurang)
7.
Kacang dan bijan ( untuk tabur )


Cara-caranya :
· Campurkan semua bahan ke dalam periuk ( kecuali bahan tabur )
· Masak kesemua adunan tadi hingga mendidih dan pekat.
· Uji rasanya sehingga secukup rasa dengan citarasa anda.
· Angkat dan hidangkan.
· Untuk resepi sihat, kacang tanah bakar menggunakan oven. Bagi kesan lebih sihat, tumbuka la kacang itu ye, jangan kisar pula ;)

Buah-buahan :
· Belimbing
· Jambu batu
· Sengkuang
· Nanas
· Timun
· Epal
· Mengikut citarasa

Cara-caranya :
· Potong buah-buah tersebut mengikut citarasa anda. Tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil asalkan memudahkan anda untuk menjamahnya.
· Curahkan kuah rojak yang telah sejuk tadi ke atas buah-buahan yang telah dipotong.
· Taburkan kacang tanah tumbuk dan bijan ( jika mahu ) .
· Sedia untuk dinikmati.


Dari resepi ini, kuantiti kuah yang diperolehi lebih kurang 2 litter lebih. Jadi, yang lebih tu boleh la simpan dalam peti ais. Jika berkeinginan menikmati, ambil saja kuah rojak dan potong buah.
Boleh sekali ajak rakan taulan, jiran tetangga menikmati rojak buah ni.

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma