Saturday, February 28, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : Cendol Sedap di Lumut, Perak.

Minggu lalu saya sekeluarga berkesempatan pergi ke Pulau Pangkor kerana saya mengikuti satu program di sana. Sempatlah kami bermalam satu malam, jalan-jalan di sana dan pulang semula pada hari minggu lalu.


Sekembalinya dari Pulau Pangkor, kami sekeluarga mengambil kesempatan untuk makan tengahari, solat, mengambil pemandangan dan pastinya membeli sedikit buah tangan di Lumut. Sepengamatan saya, Lumut memang sudah banyak berubah semenjak kehadiran saya di sana ketika kecil dahulu. Apapun, tiada pengalaman yang lebih istimewa selain daripada dapat menikmati cendol yang sedap di sana.



Lokasi cendol di simpang masuk tempat letak kereta bertingkat.

Saya tidak berani mengatakan itulah cendol paling sedap di Lumut, tapi rasanya memang sedap. Jika tidak masakan isteri saya beli lagi sebungkus sebagai bekalan sepanjang perjalanan pulang. Adik saya dan isterinya juga mengakui hal tersebut. Rasanya yang seimbang di antara gula merah dan kelemakan santannya sudah cukup untuk membuatkan kita teringat-ingat akannya. Cendolnya juga saya kira dibuat sendiri, teksturnya lembut, licin dan miudah dimakan membuatkan ia adalah pencuci mulut ataupun pembasah tekak yang baik sekali. Harganya juga berpatutan, cendol pulut yang saya makan berharga RM2.50 manakala cendol biasa ialah RM2.00. Mangkuk besar ya pembaca sekalian! Gerai cendol ini terletak berhampiran simpang masuk ke tempat meletak kereta bertingkat Majlis Perbandaran Manjung dan bersebelahan dengan gerai makanan masakan Melayu.


Mahu pulut tak adik?

Sesekali ke Lumut tidak lengkap rasanya jika tidak membeli sedikit produk-produk hasil daripada makanan laut seperti satay ikan, keropok ikan dan sebagainya. Harganya juga berpatutan pada saya. Ketika barang-barang yang dibeli itu sedang dikira jumlahnya saya congak-congak kasar akan berjumlah lebih RM90 rupa-rupanya hanyalah RM60 lebih sedikit. Kalau tahu ambil banyak lagi bukan? Namun untuk membeli ikan bilis contohnya isteri saya memberitahu saya harganya dan kualitinya lebih kurang sama dengan di Kuala Lumpur.



Kami masuk ikut lot kedai ini.....

Tetapi keluar ikut lot kedai ini....

Ketika pulang, mata saya menangkap penjaja mee goreng yang masih menggunakan arang untuk memasak yang bagi saya jarang sekali dapat kita jumpa. Namun kami tidak berhenti kerana mengejar waktu. Hasrat hati untuk makan mee udang dengan jumlah udang yang banyak seperti yang diwar-warkan oleh adik saya juga tidak kesampaian. Sesampainya kami di Bagan Nakhoda Omar, Sungai Besar sudah lewat petang dan mee yang dimimpikan sudah habis. Nampaknya kami kena mencuba di waktu yang lain.


Apapun, dapat makan cendol sedap di Lumut pun sudah memadai untuk saya Mungkin di lain kali saya akan adakan trip khas menjelajah Pantai Barat Selangor kemudian panjat ke Teluk Intan untuk Menara Air Condongnya dan menikmati kelembutan pau Tanjung Malim.


Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.


Abahfateh

http://abahfateh.blogspot.com


Wednesday, February 18, 2009

Nasi Goreng Berkismis





Bahan-bahannya :
• 3 cawan nasi ( nasi yang tak habis makan, boleh la gunakan untuk buat nasi goreng )
• 100 gm isi udang basah
• 50 gm kismis
• 3 ulas bawang merah – racik halus
• 2 ulas bawang putih – racik halus
• ½ cm halia
• 1 biji tomato didadu kecil
• 2 sudu makan minyak sapi/ mentega
• Kicap lemak manis - secukupnya
• Garam secukup rasa
• Daun sup dan daun bawang sebagai hiasan

Cara-caranya :
• Panaskan kuali, masukkan mentega atau minyak sapi, kemudian masukkan bawang putih, bawang merah dan halia. Tumis hingga naik bau. Tak perlu hingga kering kerana kemungkinan mentega akan hangus.
• Masukkan tomato yang telah dipotong dadu tadi. Kacau hingga tomato tadi sebati dengan bawang.
• Masukkan isi udang, goreng lagi hingga udang separuh masak. Jangan masak udang terlalu lama, nanti ‘over cook’ menghilangkan rasa ‘manis’ udang tadi.
• Perasakan, kiranya kurang manis, tambah garam dan seumpamanya.
• Masukkan nasi, gaul hingga sebati.
• Masukkan kicap, tak perlu terlalu banyak, sekadar manambah perisa nasi goreng kita.
• Akhir sekali, masukkan kismis. Gaul lagi hingga kismis sebati dengan nasi, uji rasa. Sekiranya anda berpuas hati, hidangkan.
• Taburkan daun bawang dan daun sup sebagai hiasan dan menambah harum nasi kita tadi.

Nota :
Untuk menambah lagi perisa, anda boleh meletakkan sedikit lada sulah. Oleh kerana nasi ini bertujuan untuk dihidangkan kepada Muhammad Fateh dan Muhammad Faiq, sebarang perisa yang berunsur pedas tidak dicampurkan.

Saturday, February 14, 2009

Pan Cake Pisang Berkismis



Bahan-bahannya :


1 biji telur ( Gred B

2 sudu besar mentega

3 sudu besar gula

1 biji pisang barangan

½ sudu teh esen vanilla

1 cawan tepung naik sendiri

150 ml susu segar

¼ sudu teh baking soda

50 gm kismis ( angaran dalam segangam )



Cara-caranya :

· Pukul gula dan mentega hingga agak kembang.

· Masukkan telur. Pukul hingga sebati.

· Masukkan pisang dan pukul lagi

· Masukkan tepung dan kacau hingga sebati.

· Kemudian, masukkan susu dan esen vanila untuk mencairkan dan mewangikan adunan. Kacau hingga sebati

· Akhir sekali, masukkan kismis dan kacau hingga rata.

· Panaskan kuali ( seelok-eloknya guna non-stick pan). Letakkan sedikit minyak agar adunan tidak melekit pada kuali.

· Letakkan adunan dalam kuali panas mengikut bentuk dan saiz yang dikehendaki. Mahukan saiz yang kecil,gunakan sudu kecil untuk menyukat adunan.

· Terbalik-terbalikkan adunan agar masak kedua-dua belah adunan.

· Angkat bila dah masak




Nota :

· Oleh kerana menggunakan pisang, adunan menjadi agak berat sebab itu serbuk penaik tambahan diperlukan.

· Oleh kerana menggunakan pisang juga, masa membakar adunan perlu menggunakan minyak kerana tanpa minyak, adunan akan melekit pada kuali pembakar.

· Jika anda mahu menggunakan kuali biasa pun boleh juga.

· Membakar jangan menggunakan api yang besar kerana adunan mudah hangus. Gunakan api sederhana kecil sahaja.

· Boleh dinikamati dengan madu.

· Kismis boleh ditambah atau tidak. Oleh kerana Muhammad Fateh sukakan kismis, atas permintaannya, kismis pun diletakkan.



Monday, February 9, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : BBQ - Ayam Bakar


Malam minggu yang lalu, kami buat BBQ kecil-kecilan. Suka-suka untuk hiburkan budak-budak di rumah. Anak saya, Fateh cukup seronok kerana sewaktu kami di Labuan kerap juga kami buat kerana berada di pulau maka tempat untuk berkelah pun banyak juga. Balik semula ke Kajang, tidak pernah buat pun walaupun sekali.

Menu BBQ kami ringkas dan mudah sahaja. Ikan siakap dan terubuk, sosej, ubi kayu dan keledek bakar dan juga ayam bakar. Adik ipar saya sediakan pecal versi Sabak Bernam. Sudah lama tidak tidak makan katanya.

Saya ingin berkongsi resepi ayam bakar yang cukup ringkas. Semoga anda tidak lagi memerap ayam dengan sos babeku atau serbuk kunyit dan kicap semata-mata lagi selepas ini.

Bahan-bahan.


10 ketul ayam bersaiz sederhana.

2 labu bawang besar.

3 batang serai.

2 sudu kecil jintan manis.

2 sudu kecil jintan putih.

2 sudu kecil ketumbar.

1 potong halia.

Gula dan garam secukup rasa.


Semua bahan kecuali ayam, gula dan garam dikisar.

Gaul bahan kisar dengan ayam, gula dan garam.

Perap sekurang-kurangnya dua jam sebelum dibakar.

Madu boleh disapukan ketika dibakar untuk menambah rasa.


Senang bukan?

Gambar di bawah adalah adik saya yang merupakan tukang bakar pada malam tersebut.

Walaupun beliau penuh rendah diri selalu katakan dia tidak boleh memasak, sekurang-kurangnya bakar ayam dia pandai.

Great job bro!