Showing posts with label Peribadi. Show all posts
Showing posts with label Peribadi. Show all posts

Saturday, September 26, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : Mengubah Tradisi Hari Raya


Salah satu
sunnah yang dianjurkan pada pagi 1 Syawal adalah menjamah sedikit makanan ataupun bersarapan. Hikmah di sebalik sunnah ini adalah untuk menandakan berakhirnya Ramadhan dan merayakan ketibaan Syawal serta sebagai tanda kejayaan melalui bulan Ramadhan yang mulia. Itulah antara sebabnya mengapa 1 Syawal diharamkan berpuasa.

Bercakap tentang juadah di pagi Ramadhan saya percaya kita semua mempunyai juadah kegemaran masing-masing seperti ketupat, lontong, kuah lode, rending dan sebagainya. Begitu juga saya, cukup bagi saya untuk ada lontong dan kuah lodeh serta sebarang masakan berkicap tidak kisahlah ayam atapun daging. Cuma nantikan sahajalah natijahnya, menjelang petang perut sudah sebu dan berulang-aliklah saya menemui Dr. Tan(das).

Mulai tahun ini saya sekeluarga akan menikmati hidangan pagi raya seperti berikut;

  • Sup Tulang Lembu
  • Sambal Kicap
  • Nasi Himpit atau Nasi.
  • Jika ada tambahan, kira bonuslah itu.
Juadah ringkas ini saya ilhamkan kerana semenjak ibu saya pergi menemui Penciptanya, saya kurang teruja untuk berfikir banyak-banyak tentang juadah hari raya lantaran tidak mahu terkenang-kenangkan masakan ibu saya juga kasihan dengan isteri yang perlu menguruskan anak-anak yang masih kecil, persiapan raya dan sebagainya. Lagipun hanya kami sekeluarga beraya di rumah peninggalan orang tua saya di Kajang ini, adik-beradik saya yang lain semuanya akan pulang beraya di kampung ipar duai saya.

Tambahan pula untuk memasaknya mudah sahaja, sebelah malam cukup sekadar direbus tulang temulang itu esok pagi bumbunya perlu ditumis dan ditambah perisa. Moga-moga dengan persiapan seringkas ini akan dapat memenuhi tuntutan agama untuk mengisi malam raya dengan takbir dan amal-ibadah kepada Allah.

Pada hemat saya juga, kalau ingin merasa rendang, kuah kacang dan hidangan tradisi Melayu atau Jawa yang lain cukuplah dengan berziarah ke rumah saudara mara dan rakan taulan. Di samping dapat mengeratkan silaturrahim dapat juga saya membantu mereka menghabiskan hidangan-hidangan tersebut. Apapun, ini semua terpulanglah kepada setiap individu samada bersedia untuk menukar tradisi sedia ada atau meneruskannya sahaja. Tepuk dada tanyalah selera.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin

Ikhlas

Sunardi Maulan dan Azlina Ngatedene

Wednesday, June 3, 2009

Alhamdulillah

Assalamualaikum,

Alhamdulillah kami baru dikurniakan cahaya mata ke-3 pada 22 Mei yang lalu. Maha Suci Allah yang telah mengurniakan kami cahaya mata perempuan selepas dua anak lelaki. Semoga Allah memelihara keluarga kami dan diberikan rahmat dan hidayah oleh-Nya.

Sehubungan dengan itu, sebarang kemaskini adalah jarang sekali kerana pemilik blog ini sedang 'cuti' - berpantang. Insya-Allah akan kembali aktif selepas tempoh tersebut.

Wassalam

Wednesday, May 6, 2009

KTM …

Sejak akhir-akhir ini, tidak dapat saya untuk mengemaskini blog ini kerana kesibukan yang tidak dapat dielakkan. Bermula dari kisah anak-anak ( kedua-dua sekali) demam teruk dan diikuti jangkitan KTM (penyakit Kaki Tangan dan Mulut, bukan Keretapi Tanah Melayu ya ). Alhamdulilah, hari ini anak anak saya telah disahkan doctor bebas dari penyakit tersebut, bermakna mereka tidak lagi dikuarantin dan bebas untuk kemana-mana.

Bila dah sibuk menjaga anak-anak yang sakit, memasak pun tak sempat, sarapan sekadar roti dengan kaya dan makan tengahari cukup la dengan nasik dengan sayur bening. InsyaAllah kami akan kembali tidak lama lagi. Walaupun agak terlewat, disini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada sesiapa sahaja.

Friday, January 16, 2009

Misi Tahun Baru – Kelas ‘Decoration Cup Cake’

Antara misi tahun baru yang tak tercapai-capai ( sudah beberapa tahun, berganti tahun, akhirnya terlaksana) ialah belajar untuk membuat dekorasi kek. Buat permulaan, belajar membuat dekorasi cup cake. Buat permulaan tu boleh la, kene praktis lebih ( kata cikgu, kak Ida ).

Saya mengambil kelas kelolaan kak Ida bertempat di Gurney Height, Bukit keramat pada hari minggu lepas ( 11/1/2009). Maaflah entri ini lambat dikeluarkan kerana asik berebut pc dengan Muhammad Fateh. Sudahnya, Muhammad Fateh yang menang ;).

Tak nak komen lebih-lebih la, segan. Lihat la sendiri hasil tangan dari kelas tersebut. Diharap dapat memberikan sesuatu yang positif terhadap diri saya dan orang disekeliling… Selamat menjamu mata ;)

untuk melihat lebih dekat hasil tangan saya, sila layari Ida Bakery. Saya tak dapat mengambil gambar secara dekat kerana tidak membawa kamera ke kelas sebab kamera besar 'gabak' ( SLR D70) , kamera mudahali dah pecah hehe...







Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Wednesday, January 7, 2009

Selamat Tahun Baru….





Selamat Tahun baru hijrah 1430 dan Tahun masihi 2009. Harap tidak terlambat bagi saya untuk mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru’ kepada semua pengunjung blog ini. Semoga dengan kehadiran tahun baru ini memberikan inspirasi yang lebih baik kepada kita semua. Walaupun kita tidak meletakkan azam yang baru, rasanya cukuplah sekadar menyambung azam tahun-tahun terdahulu yang tidak tertunai, dengan harapan akan dapat dilangsaikannya pada tahun ini. Akhir kata, ‘selamat tahun barulah ;)’

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Wednesday, October 8, 2008

Kek Coklat Atas Lori

Assalamualaikum,

Bulan lalu, kami secara sederhana menyambut ulangtahun Muhammad Faiq yang pertama. Ibufaiq dengan idea kreatifnya telah merekabentuk satu bentuk kek yang menarik (namun tidaklah sampai boleh hadiahkan kepada YDP Agong).


Kek Coklat seperti biasa namun di hias di atas lori mainan seperti ini:

Teruja Faiq dan sepupu-sepupunya semua. Bukannya ingin menikmati kek tersebut tetapi lebih kepada rekabentuk yang ringkas namun menarik ini. Apapun, kita sebagai ibu bapa perlulah lebih kreatif untuk anak-anak.


Inilah untungnya tahu memasak kek, boleh buat sesuka hati. Kalau di kedai kek agaknya berapakah agaknya akan dikenakan harganya nanti?


Gambar di bawah menunjukkan betapa terujanya Faiq dengan kek tersebut.



Abahfateh
Imej oleh Abahfateh juga.

Sunday, August 31, 2008

Saya dan Isu Semasa



Baru-baru ini ( 29 Ogos 2008 ) baru sahaja selesai bajet ( belajawan ) tahunan untuk tahun 2009. Walaupun di ceruk dapur tempat saya, izinkan saya mengutarakan pendapat saya berkaitan senario politik di negara ini, termasuklah isu bajet ini. Maaf lah, ini hanya pandangan saya sahaja, mana yang tidak bersetuju, silalah turunkan komen anda.

Pada saya, bajet pada kali ini, sedikit sebanyak mengambilkira tekanan dari pembangkang ( sekarang dikenali sebagai Pakatan Rakyat ). Contohnya, pemberian subsidi elektrik banyak RM20 kepada rakyat Malaysia dari 1 Oktober hingga akhir 2009 ( bagi yang layak ). Walaupun bunyinya bukan subsidi, tetapi itulah istilah yang tepat. Namun persoalannya, adakah ianya dapat menyelesaikan kesempitan hidup rakyat Malaysia secara mutlak? Siapa yang mendapat manfaatnya dan siapa yang hanya ‘berputih mata’? Sama-sama lah kita fikir dan renungkan.

Saya percaya kepada keseimbangan kuasa. Dengan kata lain, pembangkang di Malaysia ini telah menjalankan tugasnya dengan baik. Memang seperti yang kita ketahui, pembangkang kerjanya hanyalah mempersoalkan sahaja segala tindak tanduk kerajaan. Sedar atau tidak, ia sebenarnya memberikan kebaikan kepada kita rakyat Malaysia. Kalau kerajaan tidak ditegur, mungkin kerajaan akan ‘lupa diri’ dengan membuat perbelanjaan ‘syok sendiri’. Contoh mudah, kita perhatikan anak-anak kita. Kalau kita tidak perhatikan ketika mereka sedang bermain, apa yang akan jadi? Mula-mula main lari-lari. Kemudian main panjat-panjat. Kemudian lompat-lompat. Makin lama makin tinggi mereka melompat. Pada tahap itu, anak-anak ini telah lupa bahawa tindakannya itu akan memudaratkan dirinya. Disini peranan ibu bapa untuk menjaga keselamatan anak-anak ini. Jika kita kaitkan dengan senario politik negara kita, pembangkang berperanan seperti ibu bapa, menegur mana yang perlu ( walaupun kekadang kita rasa lebih dari yang patut ).

Saya teringat kisah ketika saya belajar dulu, pensyarah saya pernah berkata ‘kelemahan manusia adalah kesukarannya untuk berfikir secara rasional. Contohnya, suami kita akan kata balik lewat kerana menyiapkan kerja-kerjanya di pejabat, walhalnya sang suami duduk lepak-lepak di kedai makan bersama teman-temannya. Kenapa? Sebab sang isteri akan membebel bila tahu sanag suami keluar lepak-lepak dengan kengkawan. Oleh itu, sudikah anda, sebagai isteri ditipu oleh sang suami? Alasannya menipu, malas nak bersoal jawab yang kekadangnya menjadi satu pergaduhan. Jadi, marilah kita insafi diri kita, adakah kita rela untuk selalu ditipu? Tak kiralah sesiapa sahaja, termasuk kerajaan dan pembangkang.


Kesimpulannya di sini, selagi sesuatu perkara itu baik, kita terimalah. Belajarlah berfikiran secara rasional, bukan mengikut kata hati. Semoga kita sentiasa tergolong di kalangan orang-orang yang beriman….

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Friday, August 29, 2008

Labuan yang telah ku tinggalkan



Setelah sekian lama bermastautin di bumi Labuan, tibalah detik 24 Ogos 2008 saya dan keluarga meniggalkan bumi Labuan yang betuah. Pelbagai kenangan pahit dan manis telah di cipta di sana. Walaupun agak sayu meninggalkan teman-teman dan kenangan, namun demi masa depan, kami harus melakukan sesuatu. Sayu juga rasa hati apabila anaknda tercinta, Fateh, membuat permintaan ‘Ibu, nanti kita datang sini lagi ye!’.

Bermulalah kisan kehidupan saya dan keluarga di bumi Selangor ini. Di sini kami harus mencari tapak yang baru untuk meneruskan kehidupan. Kepada teman-teman di Labuan, terima kasih banyak-banyak atas segala bantuan, perhatian dan persahabatan. Tanpa anda sekalian, kesunyianlah kami disana. Suka duka, pahit manis, susah senang dikongsi bersama. Semoga kita akan bersua kembali disuatu masa.

Mungkin di bumi Selangor ini menjanjikan sesuat yang baru. Sebagai langkah pertama, kami mencuba untuk berniaga dengan menjual dodol ( kata org putih tu, ‘test market ‘). Jualan ini untuk hari raya. Jadi kepada semua pengunjug blog ini, selamat menyambut ketibaan Ramadhan Al-Mubaraq. Semoga kita semua mendapat rahmat dan hidayah dari Allah yang melimpah ruah.

Di samping itu juga, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua warganegara Malaysia tidak kita dimana pun kita berada. Semoga Malaysia tetap di hati walau apa yang terjadi dan dimana pun kita berada.


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Saturday, July 26, 2008

Saya dan Kerjaya

Ya, kerjaya saya adalah surirumah sepenuh masa ( buat masa ini lah ). Jadi, rutin harian saya adalah sama, mengemas rumah, memasak dan mengasuh anak-anak saya. Kini baru saya tahu mengapa ‘kerjaya’ surirumah antara kerjaya yang paling tinggi kadar ‘stress’nya. Ya lah banggun tidur, kemas rumah, menguruskan anak-anak, memasak dan begitulah seterusnya dari hari ke hari, dari bulan ke bulan dan tahun ke tahun. Bak kata pepatah dalam filem P. Ramli “ pendek kata, selagi tak tutup mata, kerja-kerja-kerja”. Pulak tu benda yang kita buat sama setiap hari. Walau blog ini blog ’makan-makan, izinkan lah saya lari dari konsep sekejap ye ;).

Bila melihat anak-anak membesar depan mata, tersa sejuk hati ini. Ya lah setiap perkembangannya dapat dilihat depan mata. Si abang, Fateh, mula bertanya macam-macam soalan. Si adik pulak, Faiq, sedang belajar bertatih. Hilang rasa kepenatan mengasuh mereka seharian bila melihat perkembangan positif mereka.

Tak apa lah, tinggalkan kerjaya saya, walaupun agak terlewat , disini saya nak ucapkan ” Selamat Ulang Tanun Yang Ke-3 Fateh, Semoga Fateh menjadi anak yang soleh”. Hari lahirnya sebenarnya 24 Julai. Tapi oleh kerana kesibukan dan kepenatan, tak dapatlah saya ’update’ blog ini.


Pagi itu, Fateh minta dibuatkan kek untuknya ” ibu, epi bedaykan la Fateh, ibu buat la kek. Nanti Fateh tiup-tiup la”. Tak apa lah, anaknda punya pasal, ibu buat la ya sayang. Oleh kerana Fateh sukakan kenderaan terbang-terbang, kami bercadang letakkan mainan kapal terbang atas keknya. Seperti yang dijangka, Fateh sungguh teruja. Lebih mengujakan lagi, abahnya menghadiahkan ‘komputer’ untuknya.



Apa pun, marilah sama-sama kita syukuri nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Semoga hidup kita hari ini lebih baik dari yang sebelumnya. Amin.

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma.

Monday, July 14, 2008

Saya dan Kolestrol.


Terpanggil untuk mengetahui status kesihatan, saya pun ke klinik membuat ujian darah. Bukan apa, sekadar untuk pastikan kesihatan berada dalam keadaan baik. Bak kata pepatah la, lebih baik mencegah dari merawat. Hasil ujian, paras kolestrol saya agak tinggi, lebih dari yang sepatutnya (< 5.5mmol/ ). Apa lagi, doktor pun ‘membebel’ gak, ‘jaga kesihatan, koletrol tinggi boleh akibatkan serangan jantung. Apatah lagi kalau sejarah keluarga memang ada penyakit ini'. Rasanya, setakat nie, keturunan keluarga saya tak ada penyakit ini. Maknanya dari segi genitik dah tak ada, cuma dari segi pemakana lah. Biasa lah, pepatah orang sekarang, lebih senang, lebih banyak la penyakit datang. Mintak-mintak dijauhkan la ya.


Antara nasihat doktor, adalah seperti petua di bawah :

Petua
· Tanggalkan kulit dari daging ayam sebelum dimakan.
· Elakkan dari menambah kicap atau lain-lain sos, minyak, mayonis, krim atau mentega ke dalam makanan anda.
· Pilih lebih banyak ikan atau bahan makanan laut yang lain untuk dimakan
· Buangkan segala lemak yang ternampak pada daging
· Jangan menggoreng dalam minyak yang banyak. Gunakan teknik kacau-goreng.
· Memakan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.
· Memakan lebih banyak roti dan bijirin. Elak dari mengambil roti bulan sabit (croissants), biskut, pastri dan kuih-muih yang manis dan berminyak.


Untuk keterangan lanjut, silalah layari laman web kementerian kesihatan : http://www.infosihat.gov.my/Penyakit_J_Kolestrol%20Darah%20Yang%20Tinggi%20.html


Maka bermulalah langakah-langakah untuk mamperbaiki kesihatan. Antaranya, sarapan oat setiap pagi ( ee, tak berapa suka la :D ). Nak gak masuk cabaran sihat Quaker Oat Malaysia, tapi tak layak. (http://www.quakerchallenge.com.my/malaysia.htm)


Saya ambil resepi dari laman web Quaker Oat Malaysia, ubah suai mana yang patut, jadikan hidangan sarapan pagi. Selamat menjamu selera ;).


Bubur Untuk Kesihatan (
Heart of Live Porridge )

Bahan-bahannya :
· 1 cawan Quaker Quick Cook Oat
· 1 cawan Susu Segar
· 2 cawan air
· Sebiji Limau
· Sedikit kismis dan garam, gula secukup rasa


Cara-caranya:

·
Masak Oat dengan air dan susu dalam periuk hingga masak ( dalam masa 10 minit )
·
Bila dah masak, hidangkan dalam mangkuk
·
Hiaskan menggunakan hirisan limau dah kismis
·
Sedia untuk dimakan

Wednesday, July 2, 2008

Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Siapa tidak suka makan? Sekurang-kurangnya seseorang itu makan untuk meneruskan hidupnya dengan makanan yang berkhasiat dan menyihatkan. Terlebih makan pun sukar juga, penyakit pula datang tanpa dijemput. Itu baru bab makan.

Bagaimana dengan memasak? Makan mahu namun, memasak tidak mahu. Alasan yang paling popular adalah tidak tahu memasak, renyah, dan sebagainya. Maka budaya makan di restoran ataupun gerai menular di dalam masyarakat kita. Yang lebih malang lagi, banyak resepi dan rahsia memasak hilang bersama-sama dengan generasi terdahulu.

Dengan aspirasi ini, kami terbitkan blog ini dengan harapan kami dapat berkongsi segala rahsia, petua, pengalaman dan cerita-cerita yang berkaitan dengan masakan dan makanan.

Kami bukanlah pakar masakan mahupun makanan. Kami juga belajar daripada masa ke masa. Ada masanya masakan kami tidak menepati rasa, namun daripada kesilapan itulah kita harus belajar dalam menuju kesempurnaan.

Adalah menjadi harapan kami anda setia mengikuti blog ini. Dalam kebanjiran blog-blog resepi dan masakan, kami berharap blog Selera Malaya ini menjadi blog yang menjadi pilihan dan rujukan peminat makanan dan pengamal masakan.





Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma.

Azlina & Abahfateh