Showing posts with label iklan makanan. Show all posts
Showing posts with label iklan makanan. Show all posts

Wednesday, July 8, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : Sarapan Sate di Muar

Kebiasaannya, sate dimakan pada waktu petang dan malam. Kemanisan sate yang dibakar di atas api yang marak disemarakkan lagi dengan percikan minyak menerbitkan haruman wangi serai. Kuahnya yang lemak, manis dan ditambah lagi dengan rasa pedas yang terbit daripada sambal tumis membangkitkan rasa hangat pada tubuh pada petang atau malam hari.


Kesimpulannya, di Malaysia, jika anda ingin makan sate pergilah ke mana-mana gerai sate selepas jam 3.00 petang. Di Kajang, kebanyakan gerai sate kajang dibuka pada waktu tengahari hinggalah malam.



Namun di Muar, Johor keadaannya berbeza sama sekali. Sate boleh anda dapatkan seawal pagi dan ia menjadi hidangan popular bagi penduduk di sana. Asap sate adalah antara aroma yang pertama sekali anda dapat hirup sekiranya anda berkunjung ke Muar pada awal pagi.


Minggu lalu saya berkesempatan singgah Muar awal pagi. Hajat di hati ingin minum di Kopitiam 434 namun selepas membuat fotografi jalanan yang ringkas saya terus masuk ke sebuah restoran bernama R&H Café Sate Maharani yang terletak di Jalan Salleh, Muar. Bukannya apa, saya ingin tahu rasa satenya selepas melihat pelanggan tidak putus-putus masuk dan keluar termasuk juga sebuah lagi restoran di sebelahnya.


Di sini saya mengalami satu pengalaman yang sudah lama tidak saya rasai. Anda hanya perlu menyatakan anda inginkan sate dan mereka akan menghantarkan kepada anda tanpa perlu anda nyatakan beberapa cucuk yang anda inginkan. Harga sate akan dikira berdasarkan bilangan lidi sate yang sudah dimakan. Ini mengingatkan saya kepada nostalgia sate Kajang pada sebelum tahun 90an yang juga mengamalkan cara yang serupa. Di Muar satenya berharga 50 sen secucuk.


Saya dihidangkan dengan 4 jenis sate iaitu ayam, lembu, babat (perut) dan paru. Anggaran hidangan untuk seorang adalah 20 cucuk. Rasanya memang berbeza dengan mana-mana sate yang pernah saya rasa terutamanya sate Kajang. Jika sate Kajang terserlah dengan rasa daging, serai, 2 jintan dan rempah-ratus yang lain diadun dengan seimbang dengan manis gula ditambah lagi dengan lemak-lemak pedas kuah kacangnya tetapi tidak untuk sate Muar. Rasanya agak ringan, kurang manis dan rasa rempahnya. Namun sedap dimakan, saya kira rasa jintannya lebih terasa dan kuah kacangnya menjadi pelengkap kepada rasa sate itu. Malahan, jika dimakan tanpa kuah kacangnya pun masih terasa keenakannya.


Daripada keempat-keempat pilihan, saya letakkan sate babat di atas sekali diikuti sate paru, daging dan ayam. Sate babat di restoran ini memang sedap maka tidak hairanlah apabila saya dimaklumkan ada orang yang boleh makan 30-40 cucuk sate babat sahaja. Saya juga dimaklumkan selain gerai-gerai menjual sate di Jalan Salleh, sate Muar juga boleh didapati di Jalan Abdullah.


Oleh itu, jika anda berkesempatan berkunjung ke Muar maka sate Muar harus ditambah dalam senarai makanan yang ingin anda nikmati selain mee rebus, mee bandung, rojak petis dan kopi muar.

Sate Muar dan segelas kopi. Kebiasaannya, sate adalah hidangan sampingan di samping hidangan utama iaitu mee rebus. Sudah menjadi kelaziman di Muar, sate dijadikan juadah sarapan pagi berbanding tempat yang lain yang menghidangkan sate pada sebelah petang ataupun malam.

Monday, August 18, 2008

Dodol Selera Malaya untuk Dijual

Assalamualaikum,

Anda pernah kacau dodol? Penat bukan?

Jika anda tidak pernah kacau dodol sekalipun, pasti anda pernah mendengar cerita betapa payahnya mengacau dodol.

Namun, ia tetap menjadi manisan yang menjadi pilihan sepanjang zaman. Kini mudah sahaja, anda boleh mendapatkannya daripada kami. Jadikan dodol sebagai manisan yang baru di meja hidangan anda atau jadikan ia hadiah untuk orang tersayang atau orang yang anda ingin hargai.

Harga jualan di bawah adalah tanpa kos penghantaran (jika ada).

Buat masa ini, penghantaran terhad kepada kawasan-kawasan seperti Putrajaya, Serdang, Kajang, Bandar Baru Bangi, Cheras, Balakong dan Selatan Kuala Lumpur.

Jika anda berada di luar kawasan yang disebutkan di atas, sila telefon kami atau hubungi kami di telefon atau alamat e-mel di bawah.

Jika e-mel, sertakan nama penuh anda, alamat kediaman dan surat menyurat anda, nombor telefon, e-mel (jika ada).

Sila tempah sebelum atau pada 7 September 2008. Penghantaran akan dibuat selewat-lewatnya pada minggu ke-3 Ramadhan.

Cuba jangan tak cuba!