Showing posts with label Kuih Muih. Show all posts
Showing posts with label Kuih Muih. Show all posts

Friday, January 22, 2010

Punjung Keladi




Bahan-bahan :
• 1 Paket Tepung Beras
• 3 Cawan Gula Pasir
• 2 - 3 Biji Keladi (unggu)
• 2 Biji Kelapa Parut
• Garam Secukupnya
• Pewarna Unggu Secukupnya
• Daun Pisang sebagai acuan (bentuk kon)
• Lidi bagi menyemat acuan

Cara-caranya :
• Rebus keladi yang siap dipotong dan apabila telah masak, lenyek keladi hingga hancur dan ketepikan.
• Perah santan menggunakan air yang mencukup ( Untuk mengetahui jumlah air yang mencukupi, sekadar tepung melekat di jari – seperti tepung membancuh pisang goreng )
• Masukkan tepung beras, garam, dan 1 1/2 cawan gula dan gaul sehingga sebati.
• Didihkan santan yang telah dikisar bersama 2 cawan gula dan masukkan pewarna unggu; kacau di atas api perlahan2 sehingga mendidih ( pastikan jangan sampai pecah santan ).
• Tuangkan santan panas tersebut ke dalam adunan tepung beras dan gaulkan hingga sebati. ( sekiranya tepung berketul-ketul, gunakan pengisar untuk memudahkan cara )
• Akhir sekali, masukkan keladi yang telah dilenyek tadi dan gaulkansehingga sebati.
• Masukkan adunan yang telah sebati tersebut ke dalam acuan daun pisang yang berbentuk kon tadi dan kukus hingga masak ( leibh kurang 45 minit)
• Apabila telah masak, angkat dan hidangkan......
• Sekian, selamat mencuba.
Nota : Untuk punjung Pandan, kisar kelapa bersama daun pandan, sekiranya warna kurang menyerlah, tambah sedikit perwarna hijau.

Thursday, August 14, 2008

Donat Ubi Kentang ( home made version )



Bahan-bahannya :

Bahan A
· 350 g tepung gandum
· 2 sudu besar gula putih
· 5 gm mentega
· 1 biji kentang ( kecil ) direbus lembut dan dilecek halus
· 10 gm susu tepung ( saya gunakan susu Fateh )
· 1 biji telur ayam
· Dough Softner ( optional )

Bahan B
· ½ sudu teh yis segera ( kering )
· 80 ml air suam
· 2 sudu besar gula putih

Cara-caranya :
· Larutkan gula ke dalam air suam dan masukkan yis
· Ketepikan dan biarkan hingga yis berbuih .
· Satukan semua bahan A.
· Masukkan pula bahan B.
· Uli hingga sebati dan lembut.
· Proses menguli adalah antara proses yang penting dalam pembuatan donat.
· Jika terlembik, tambahkan tepung lagi dan kiranya adunan keras, tambahkan air. Jumlah air tidak dapat ditetapkan kerana bergantung kepada telur dan kentang yang kita gunakan.
· Canai adunan dan terap mengikut bentuk yang dikehendaki.
· Letakkan dalam dulang yang bertabur tepung dan biarkan ia kembang ( lebih kurang 1-2 jam)
· Panaskan minyak dan goreng. Goreng gunakan api yang sederhana kerana donat senang hangus.
· Salutkan gula atau coklat. Ikut citarasa anda.
· Hidang

Saya suka guna acuan yang kecil kerana senang untuk anak-anak memakannya. Sebenarnya donat ini sudah biasa buat, oleh kerana kali ini saya buat bentuk bintang, maka Fateh pun berkata ’mmmm sedapnya’...... dalam hati berkata ’ ala sama jer resepinya’. Itulah bukan mudah ’memancing citarasa kanak-kanak nie. Kita kena berimaginasi seperti mereka dahulu ......

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Friday, August 8, 2008

Apam Pisang Coklat Urai



Sesekali hendak juga merasa hidangan yang lain.
Setelah puas membelek majalah Saji ( keluaran Ogos 2008 ) jumpa resepi yang agak mudah. Berikut resepi yang hendak saya kongsi bersama

Bahan-bahannya :
· 1 biji pisang berangan
· 2 biji telur
· 100ml minyak masak
· 100gm gula
· ½ sudu soda bikarbonat
· 80gm tepung gandum ( ayak )
· 1 sudu besar coklat urai


Cara-caranya :

· Kisar gula, minyak dan telur.
· Kemudian masukkan pula pisang dan kisar hingga halus
· Tuangkan adunan ke dalam bekas lain.
· Masukkan tepung yang telah di ayak dan soda bikarbonat tadi
· Kacau hingga sebati
· Setelah itu, masukkan coklat urai dan gaul hingga sebati lagi.
· Tuangkan adunan ke dalam acuan untuk dikukus dan kukus dalam masa 10 – 15 minit



Mudah kan? kalau ada pisang dah terlalu ranum, elok jangan dibuang. Gunakan untuk buat apam ini.



Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Sunday, August 3, 2008

Chip Chocolate Butter Cookies with Almond

Satu Resepi Dua Rasa


Dalam pelbagai jenis masakan, kek, kuih atau biskut merupakan antara jenis masakan yang tidak digemari oleh Abahfateh. Namun, buat pertama kalinya, beliau telah terpanggil untuk mencuba bakatnya dalam bidang ini. Biskut yang telah dipilih olehnya adalah biskut mentega coklat cip.

Setelah mendapatkan resepi, dengan tidak teragak-agak, beliau membuat biskut tersebut dan telah mendapat pujian yang menggalakkan oleh Fateh. Kata Fateh “Sedapnya biskut yang Abah buat. Nanti Abah buat lagi ye”

Oleh kerana kesibukan tugas, Abahfateh tidak dapat memenuhi kehendak Fateh. Maka saya pun membuatkan biskut tersebut utuk Fateh. Berikut merupakan resepi yang telah kami gunakan :

Biskut Mentega Cip Coklat dengan Badam

(Chip Chocolate Butter Cookies with Almond)

Bahan-bahannya :

  1. ½ cawan mentega
  2. ½ cawan gula perang
  3. 3 sudu besar ( table spoon ) gula pasir
  4. 1 biji telur
  5. 2 sudu teh esen vanilla
  6. ½ sudu teh baking soda
  7. ½ sudu teh baking powder
  8. 1 ¾ tepung gandum
  9. 1 ½ sudu teh kopi segera (nescafe pun boleh)
  10. 100 gm cip coklat
  11. 100 gm badam hancur

Cara-caranya :

  1. Pukul mentega dan gula hingga gebu
  2. Masukkan pula telur dan esen vanila, pukul lagi hingga sebati.
  3. Masukkan pula bahan-bahan lain seperti gula perang, baking soda dan baking powder.
  4. Hancurkan kopi segera dan masukkan dalam adunan tadi.
  5. Setelah sebati, masukkan pula cip coklat
  6. Di atas kertas pembakar biskut ( ada dijual dikebanyakan pasaraya)
    bentukkan mengikut bentuk yang dikehendaki.
  7. Setelah itu, bakar pada suhu 150oc selama 15 minit.

Walaupun menggunakan resepi yang sama, hasil yang diperolehi tidak sama. Dari analisa yang telah kami buat, cara kami membuat adalah berbeza. Perbezaan langkah pembuatan telah memberikan output yang berbeza.

Perbezaan cara mengadun :

Abahfateh hanya meletakkan gula putih sahaja ketika dipukul bersama mentega. Secara psikologinya, nampaklah bila mentega itu menggebu. Saya pula, bancuh kesemua jenis gula ( gula perang dan gula putih ) ketika memukulnya dengan mentega.

Hasil analisis dari biskut yang telah siap :

Biskut Abahfateh lebih rangup, sesuai untuk disimpan lama. Versi saya pula, lebih gebu dan agak rapuh biskutnya, sesuai diberi untuk budak yang baru nak tumbuh gigi contoh.

Apa pun anda patut mencuba resepi ini. Anda boleh hidangkan untuk anak-anak anda kerapa resepi ini telah diubah suai dengan menggurangkan sukatan gulanya. Biskut ini tidak terlalu manis. Dengan itu, anda juga boleh menjimatkan wang anda kerana anak anda tiada lagi alasan untuk membeli biskut coklat cip di pasaran.

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Thursday, July 31, 2008

Kuih kasui-lompang gula melaka


Saya ingin berkongsi resepi kuih yang saya buat dari gabungan beberapa resepi.
Idea asalnya nak buat kuih lompang, tapi lain jadinya. Bila hidang kat kawan-kawan katanya sedap, jadi terus la saya menggunakan resepi nie. Sebab itulah saya sebenarnya tak tahu apa nama kuih ini sepatutnya.


Bahan-bahannya

1.
1 ½ cawan tepung ubi
2. 1 cawan tepung beras
3. ½ cawan tepung gandum
4. 3 cawan santan
5. 1 cawan gula pasir
6.
½ cawan gula merah
7.
3 sudu teh air kapur


Cara-caranya.
· Satukan semua bahan-bahan di atas ke dalam bekas pengisar, kisar sehingga semuanya sebati.
· Panaskan pengukus dan acuan, setelah panas, tuangkan sebatian kuih tadi.
· Kukus dalam masa 15 minit.
· Keluarkan dari acuan, hiaskan dengan meletakkan sedikit kelapa parut yang telah dikukus.


Pesanan
1. Tidak semua gula merah memberikan warna yang merah menarik, jadi jika anda dapat gula merah yang warnanya agak pudar, tambahkan perwarna perang pada kuih anda itu ( browning).

2. Kalau anda tidak berapa gemar menggunakan bekas kecil-kecil sepertimana saya buat, ada boleh gunakan loyang. Masa menggukusnya lebih kurang sejam atau pastikan dah masak baru angkat.

3. Nak pastikan dah masak, cucuk kuih kita itu dengan menggunakan lidi. Kalau halus permukaan lidi itu, dah masak la gamaknya kuih tu ye ;)


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma

Thursday, July 10, 2008

Seri Muka Kak Nor


Kuih ini merupakan antara kuih kegemaran suami dan anak-anak. Sebab tu la saya agak rajin membuat kuih nie. Kalau buat kuih yang mereka tak suka, alamat jadi perhiasan atas meja la. Sudahnya, hantar ’pos laju’ ler ( masuk tong sampah atau sedekah kat ayam ). Resepi nie dapat dari jiran sebelah ( bekas ) sebab mereka dah berpindah ke Kota Kinabalu, yang berasal dari Kedah. Oleh kerana nama panggilannya Kak Nor, maka saya namakan kuih nie ’Seri Muka Kak Nor’. Selamat mencuba.


Bahan-bahannya,

Bahagian Bawah :
· 250 gm beras pulut
· 2 cawan santan
· Garam secukup rasa

Bahagian Atas :
· 1 cawan santan kelapa ( dari separuh biji kelapa )
· 1 cawan gula
· 2 sudu ( penuh ) tepung beras
· 2 sudu ( penuh) tepung gandum
· 3 biji telur
· Daun Pandan ( ikut suka ) dikisar bersama kelapa parut untuk mendapatkan patinya.


Cara-caranya :
· Kukus beras pulut dengan santan tadi hingga masak. Angkat, sejukkan dan tekan agar padat pulut berkenaan ( agar bahagian atas tidak meresap masuk ke bahagian pulut )
· Kisar bahan- bahan bahagian atas, kemudian tuang ke atas pulut yang telah padat tadi.
· Kukus hingga masak. Untuk blok besar ( 1 loyang la ) kukus lebih kurang 1 hingga 1 ½ jam. Untuk saiz yang kecil ( macam dalam gambar tu! ), kukus dalam masa 15 minit.
· Siap untuk dihidang

Biasanya, sebelum memasak pulut, pulut direndam semalaman atau sekurang-kurangnya setengah jam. Tujuannya supaya pulut jadi lembut dan apabila kita tekan-tekan untuk memadatkannya, senang padat dan adunan bahagian atas tidak meresap masuk ke dalam pulut.


Kuih seri muka yang enak akan mengabungkan dua rasa yang nyata iaitu masin dan manis selain rasa lemak dari santan. Bahagian atasnya manis dan diimbangi dengan rasa masin dibahagian bawahnya. Apabila menggigitnya, nyummmmm tak terasa masin dan manisnya..... Cuma, enakkkk.....


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma.