Tuesday, October 21, 2008

Spageti Bolonese




Rasanya sudah terlalu lama saya tidak berkongsi resepi dengan pengunjung blog ini. Maaflah, terlalu banyak komitmen sejak akhir-akhir, dari mood baru berpindah rumah, puasa, raya, anak demam dan seribu satu macam perkara. Untuk kali ini, saya akan berkongsi resepi untuk membuat sos spageti bolonis. Resepi ini saya dapati dari internet juga, tapi saya terlupa untuk menyimpan alamat asalnya. Setakat ini, sudah dua kali saya mencuba resepi ini. Hasilnya, memuaskan ( :D ) dapat pujian dari ‘tukang makan’ (tested tau Big-Jarn)

Bahan-bahannya:
• 500 g spageti
• 500 g daging lembu cincang ( kekadang saya tukar dengan ayam cincang )
• 300 ml susu segar ( apa-apa susu pun boleh )
• 2 labu bawang besar kuning ( bawang cina ) – cincang halus
• 3 ulas bawang putih – cincang halus
• 1 batang lobak – didadu kecil
• 2 batang saleri – didadu kecil
• 4 – 5 biji tomato segar – didadu kecil
• 1 tin tomato puri ( berat lebih kurang 440 g )
• 1 tin cendawan butang – dihiris
• 1 sudu teh oregano/ mix herbs
• 3 sudu besar minyak zaitun ( minyak masak biasa pun boleh )
• 2 sudu besar mentega
• Garam dan gula – secukup rasa
• Parutan keju pamersan – hiasan


Cara-cara :

Untuk Pasta :
• Rebus spageti dengan sedikit garam dan minyak.
• Setelah masak, angkat dan hidangkan.

Untuk Sos :
• Panaskan minyak dan mentega, bila mentega dah berbuih, masukkan bawang besar dan bawang putih. Tak perlu lama, cukup sekadar bawang layu.
• Masukkan daging cincang, goreng hingga keperangan.
• Masukkan pula sayuran ( kecuali tomato segar ). Goreng hingga kesemua sayuran lembut.
• Kemudian, masukkan pula susu dan kuatkan api. Masak hingga susu mendidih dan kacau selalu. Bila susu sudah diserap daging, masukkan pula tomato puri dan tomato segar. Gunakan tin tomato puri untuk menambah air sebanyak 2 tin ke dalam kuah sos. Kacau kuah dari masa ke semasa.
• Masukkan pula herba campur, garam dan gula.
• Biarkan kuah mendidih lebih kurang 7 minit.
• Perlahankan api ( paling kecil dapur gas anda boleh, agak-agak patut la )
• Reneh sos hingga menjadi pekat ( lebih kurang reneh 1 – 2 jam, lebih lama lagi bagus )
• Seimbangkan rasa masam, masin dan manis.
• Sedia untuk dihidang


Nota :
• Saiz hidangan bagi resepi ini, cukup untuk 6 – 8 orang dewasa makan ( tapi tengok gak cara makannya, sikit atau banyak ;) ).
• Sekiranya anda mempunyai periuk non-stick, elok la anda gunakannya kerana apabila masa mereneh lama, kerak akan tebal di dasar periuk anda.
• Seelok-eloknya anda gunakan periuk yang tinggi juga agar sos kurang memercik keluar.
• Kalau tidak habis dimakan, anda boleh menyimpan sos ini ke dalam peti sejuk ( bahagian dingin beku ) dan bila anda nak makan, panaskan sahaja. Ini cadangan saja, sebab saya buat macam tu la, tak perlu selalu buat.


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Saturday, October 18, 2008

Tumis-tumis Abahfateh

“Memasak? Minta maaflah, itu saya tidak tahu. Tapi emak saya dan kakak saya memang pandai masak. I love the cookings.”


Itulah antara kenyataan-kenyataan berani wanita masa kini. Tidak kira statusnya isteri, janda mahupun anak dara. Tidak tahu memasak dirasakan bukanlah satu kekurangan pada zaman sekarang. Cubalah kenyataan ini dikeluarkan 20-30 tahun yang lalu. Orang yang hendak masuk meminang pasti akan membatalkan niatnya itu.


Berbalik kepada kenyataan di atas. Tidak terkesankah wanita-wanita di luar sana yang mengagumi masakan ibu ataupun saudara maranya sedangkan dia tidak tahu memasak? Adakah dia tidak ingin masakannya dikatakan sangat sedap sekurang-kurangnya oleh suami, anak ataupun adik-beradiknya yang lain?


Pandai memasak bukanlah bermakna harus tahu resepi yang hebat-hebat, cukuplah sekadar untuk masakan hidangan harian. Tidakkah itu sukar sangat untuk dipelajari?


Saya pernah makan masakan ibu rakan saya yang saya rasakan biasa-biasa sahaja. Namun, rakan saya itu mati-mati mengatakan itulah sup paling enak pernah dimakannya. Saya akur dengan dakwaannya itu kerana itu adalah masakan yang terhasil daripada air tangan ibunya. Keikhlasan ibunyalah yang menyebabkan anaknya rasakan itulah sup yang paling enak di dunia.


Anda wanita di luar sana yang berani mengaku tidak pandai memasak? Adakah anda ingin anak anda mengeluarkan kenyataan begini suatu hari nanti?


“Restoran Chili Peppers yang emak aku selalu bawa kami ke sana memang sedap. Emak aku masak pun tak sesedap itu, lagipun dia memang jarang memasak.”


Berjinak-jinaklah dengan dapur, sudip, pisau dan sebagainya mulai hari ini!


Abahfateh

Wednesday, October 8, 2008

Kek Coklat Atas Lori

Assalamualaikum,

Bulan lalu, kami secara sederhana menyambut ulangtahun Muhammad Faiq yang pertama. Ibufaiq dengan idea kreatifnya telah merekabentuk satu bentuk kek yang menarik (namun tidaklah sampai boleh hadiahkan kepada YDP Agong).


Kek Coklat seperti biasa namun di hias di atas lori mainan seperti ini:

Teruja Faiq dan sepupu-sepupunya semua. Bukannya ingin menikmati kek tersebut tetapi lebih kepada rekabentuk yang ringkas namun menarik ini. Apapun, kita sebagai ibu bapa perlulah lebih kreatif untuk anak-anak.


Inilah untungnya tahu memasak kek, boleh buat sesuka hati. Kalau di kedai kek agaknya berapakah agaknya akan dikenakan harganya nanti?


Gambar di bawah menunjukkan betapa terujanya Faiq dengan kek tersebut.



Abahfateh
Imej oleh Abahfateh juga.