Tuesday, October 21, 2008

Spageti Bolonese




Rasanya sudah terlalu lama saya tidak berkongsi resepi dengan pengunjung blog ini. Maaflah, terlalu banyak komitmen sejak akhir-akhir, dari mood baru berpindah rumah, puasa, raya, anak demam dan seribu satu macam perkara. Untuk kali ini, saya akan berkongsi resepi untuk membuat sos spageti bolonis. Resepi ini saya dapati dari internet juga, tapi saya terlupa untuk menyimpan alamat asalnya. Setakat ini, sudah dua kali saya mencuba resepi ini. Hasilnya, memuaskan ( :D ) dapat pujian dari ‘tukang makan’ (tested tau Big-Jarn)

Bahan-bahannya:
• 500 g spageti
• 500 g daging lembu cincang ( kekadang saya tukar dengan ayam cincang )
• 300 ml susu segar ( apa-apa susu pun boleh )
• 2 labu bawang besar kuning ( bawang cina ) – cincang halus
• 3 ulas bawang putih – cincang halus
• 1 batang lobak – didadu kecil
• 2 batang saleri – didadu kecil
• 4 – 5 biji tomato segar – didadu kecil
• 1 tin tomato puri ( berat lebih kurang 440 g )
• 1 tin cendawan butang – dihiris
• 1 sudu teh oregano/ mix herbs
• 3 sudu besar minyak zaitun ( minyak masak biasa pun boleh )
• 2 sudu besar mentega
• Garam dan gula – secukup rasa
• Parutan keju pamersan – hiasan


Cara-cara :

Untuk Pasta :
• Rebus spageti dengan sedikit garam dan minyak.
• Setelah masak, angkat dan hidangkan.

Untuk Sos :
• Panaskan minyak dan mentega, bila mentega dah berbuih, masukkan bawang besar dan bawang putih. Tak perlu lama, cukup sekadar bawang layu.
• Masukkan daging cincang, goreng hingga keperangan.
• Masukkan pula sayuran ( kecuali tomato segar ). Goreng hingga kesemua sayuran lembut.
• Kemudian, masukkan pula susu dan kuatkan api. Masak hingga susu mendidih dan kacau selalu. Bila susu sudah diserap daging, masukkan pula tomato puri dan tomato segar. Gunakan tin tomato puri untuk menambah air sebanyak 2 tin ke dalam kuah sos. Kacau kuah dari masa ke semasa.
• Masukkan pula herba campur, garam dan gula.
• Biarkan kuah mendidih lebih kurang 7 minit.
• Perlahankan api ( paling kecil dapur gas anda boleh, agak-agak patut la )
• Reneh sos hingga menjadi pekat ( lebih kurang reneh 1 – 2 jam, lebih lama lagi bagus )
• Seimbangkan rasa masam, masin dan manis.
• Sedia untuk dihidang


Nota :
• Saiz hidangan bagi resepi ini, cukup untuk 6 – 8 orang dewasa makan ( tapi tengok gak cara makannya, sikit atau banyak ;) ).
• Sekiranya anda mempunyai periuk non-stick, elok la anda gunakannya kerana apabila masa mereneh lama, kerak akan tebal di dasar periuk anda.
• Seelok-eloknya anda gunakan periuk yang tinggi juga agar sos kurang memercik keluar.
• Kalau tidak habis dimakan, anda boleh menyimpan sos ini ke dalam peti sejuk ( bahagian dingin beku ) dan bila anda nak makan, panaskan sahaja. Ini cadangan saja, sebab saya buat macam tu la, tak perlu selalu buat.


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


No comments: