Monday, February 9, 2009

Tumis-tumis Abahfateh : BBQ - Ayam Bakar


Malam minggu yang lalu, kami buat BBQ kecil-kecilan. Suka-suka untuk hiburkan budak-budak di rumah. Anak saya, Fateh cukup seronok kerana sewaktu kami di Labuan kerap juga kami buat kerana berada di pulau maka tempat untuk berkelah pun banyak juga. Balik semula ke Kajang, tidak pernah buat pun walaupun sekali.

Menu BBQ kami ringkas dan mudah sahaja. Ikan siakap dan terubuk, sosej, ubi kayu dan keledek bakar dan juga ayam bakar. Adik ipar saya sediakan pecal versi Sabak Bernam. Sudah lama tidak tidak makan katanya.

Saya ingin berkongsi resepi ayam bakar yang cukup ringkas. Semoga anda tidak lagi memerap ayam dengan sos babeku atau serbuk kunyit dan kicap semata-mata lagi selepas ini.

Bahan-bahan.


10 ketul ayam bersaiz sederhana.

2 labu bawang besar.

3 batang serai.

2 sudu kecil jintan manis.

2 sudu kecil jintan putih.

2 sudu kecil ketumbar.

1 potong halia.

Gula dan garam secukup rasa.


Semua bahan kecuali ayam, gula dan garam dikisar.

Gaul bahan kisar dengan ayam, gula dan garam.

Perap sekurang-kurangnya dua jam sebelum dibakar.

Madu boleh disapukan ketika dibakar untuk menambah rasa.


Senang bukan?

Gambar di bawah adalah adik saya yang merupakan tukang bakar pada malam tersebut.

Walaupun beliau penuh rendah diri selalu katakan dia tidak boleh memasak, sekurang-kurangnya bakar ayam dia pandai.

Great job bro!

Saturday, January 31, 2009

Cucur Kentang





Bahan-bahannya :
• 300g Tepung Gandum
• 1 biji telur ( gred B )
• 350 ml air
• 1 Biji bawang besar
• 3 biji ubi kentang ( sederhana besar )
Segengam ikan bilis ( ikut suka, ukuran adalah angaran )
• Garam, secukup rasa


Cara-cara
• Masukkan telur, garam dan air ke dalam tepung. Kacau hingga adunan sebati. Untuk memudahkan cara, gunakan wisker ( kalau anda mahu mengisar adunan pun boleh).
• Setelah adunan sebati, masukkan bahan-bahan lain seperti ubi kentang, ikan bilis dan bawang.
• Sedia untuk digoreng.

Nota :
• Lebih elok sekiranya adunan dibirarkan dulu lebih kurang ½ jam untuk melembutkan adunan.
• Ubi kentang anda boleh rebus dulu sehingga empuk untuk menggurangkan masa menggoreng. Sekiranya anda tidak merebus ubi kentang dahulu, anda memerlukan api yang kecil untuk memastikan ubi kentang masak.
• Anda boleh menambahkan cili merah yang diracik halus dan daun kucai. Oleh kerana anaknda saya ‘fobia’ melihat merah cili, maka saya tidak memasukkan dalam hidangan ini.
• Anda juga boleh meletakkan ikan bilis yang kecil kecil sekiranya anak anda tidak gemarkan ikan bilis.
• Anda juga boleh meletakkan sedikit kunyit untuk mewarnakan adunan anda. Jangan letak terlalu banyak, nanti akan mengubah rasa


Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Friday, January 16, 2009

Misi Tahun Baru – Kelas ‘Decoration Cup Cake’

Antara misi tahun baru yang tak tercapai-capai ( sudah beberapa tahun, berganti tahun, akhirnya terlaksana) ialah belajar untuk membuat dekorasi kek. Buat permulaan, belajar membuat dekorasi cup cake. Buat permulaan tu boleh la, kene praktis lebih ( kata cikgu, kak Ida ).

Saya mengambil kelas kelolaan kak Ida bertempat di Gurney Height, Bukit keramat pada hari minggu lepas ( 11/1/2009). Maaflah entri ini lambat dikeluarkan kerana asik berebut pc dengan Muhammad Fateh. Sudahnya, Muhammad Fateh yang menang ;).

Tak nak komen lebih-lebih la, segan. Lihat la sendiri hasil tangan dari kelas tersebut. Diharap dapat memberikan sesuatu yang positif terhadap diri saya dan orang disekeliling… Selamat menjamu mata ;)

untuk melihat lebih dekat hasil tangan saya, sila layari Ida Bakery. Saya tak dapat mengambil gambar secara dekat kerana tidak membawa kamera ke kelas sebab kamera besar 'gabak' ( SLR D70) , kamera mudahali dah pecah hehe...







Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Wednesday, January 7, 2009

Selamat Tahun Baru….





Selamat Tahun baru hijrah 1430 dan Tahun masihi 2009. Harap tidak terlambat bagi saya untuk mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru’ kepada semua pengunjung blog ini. Semoga dengan kehadiran tahun baru ini memberikan inspirasi yang lebih baik kepada kita semua. Walaupun kita tidak meletakkan azam yang baru, rasanya cukuplah sekadar menyambung azam tahun-tahun terdahulu yang tidak tertunai, dengan harapan akan dapat dilangsaikannya pada tahun ini. Akhir kata, ‘selamat tahun barulah ;)’

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Wednesday, December 10, 2008

Sos cucur udang

Sos ini pun resepi dari almarhumah ibu mertua

Bahan-bahanya :
• 1 biji cili merah ( hidup )
• 2 sudu sos tomato
• 5 sudu sos cili
• 2 sudu gula putih ( kalau ada gula merah lagi bagus )
• 1 ulas bawang putih
• Garam, secukup rasa

Cara-caranya :
• Masukkan semua bahan dalam mesen pengisar, kisar hingga sebati.
• Seimbangkan rasa masam, masin, manis dan pedasnya.
• Tuang dalam mangkuh hidangan
• Hidang.


Nota :
• Sos ini tidak perlu dimasak.
• Saiz hidangan untuk sos ini untuk seorang dua aje, kalau perlu makan ramai orang, besarkan lah saiznya ye ;)
• Kalau anda sukakan pedas, tambahkan la cili api. Sos ini tidak terlalu pedas kerana ‘tukang makan’ alah cili.
• Seimbangkan rasa, sos mesti ada rasa pedas, masin, manis dan juga masam. Selamat mencuba ;)



Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Thursday, December 4, 2008

Cucur udang Ibu Mertuaku.





Sudah lama saya tidak berkongsi masakan dengan pengunjung blog saya. Maaflah , bukan kerana tidak sempat menulis atau mencuba resepi baru tapi, banyak hal perlu diselesaikan terlebih dahulu. Pada kesempatan kali ini, saya berkongsi resepi tentang cucur udang. Resepi ini diajar oleh almarhumah ibu metua saya. Katanya, saya kena pandai buat sebab anak lelakinya ( suami saya la tu ) sangat suka makan cucur udang.

( nie saiz kecik untuk 1 -2 orang makan je )
Bahan-bahan :
• 100 gm tepung gandum
• 100 gm udang ( buangkan kuiltnya )
• 1 biji telur
• ½ biji bawang besar – didadukan
• ½ sudu teh kunyit ( pewarna kuning pun boleh )
• 50 gm togei ( lebih kurang segengam )
• 2 pokok daun kucai ( nak tukar dengan daun bawang pun boleh )
• Garam secukup rasa
• Air secukupnya ( leibh kurang 100ml )
• ¼ sudu teh serbuk penaik ( baking powder ) – optional


Cara-caranya :
• Masukkan telur, kunyit garam dan air ke dalam tepung. Pukul hingga sebati semua bahan tadi ( seeloknya guna wisker tu la senang sikit ). Jika anda mahu menggunakan serbuk penaik, masukkan, dan kacau lagi.
• Seimbangkan rasa masin mengikut citarasa anda.
• Untuk memastikan adunan tidak terlebih atau terkurang air, cuba anda tarik dengan menggunakan senduk. Adunan tidak terlalu laju jatunya dan agak terputus-putus sedikit. Jumlah air tidak tetap kerana ia bergantung dengan jenis telur yang kita gunakan.
• Masukkan bahan-bahan lain seperti udang, togei, daun kucai dan bawang besar.
• Kacau hingga sebati.
• Anda boleh terus menggoreng atau biarkan sebentar dalam ½ jam. Menurut almarhumah ibu mertua saya, biarkan sekejap untuk membolehkan adunan kembang dan cucur kita akan lembut, tidak liat.


Nota :
Kuantiti sayuran (udang, togei dan kucai ) adalah mengikut citarasa anda. Saya suka letak banyak agak cucur nampak ‘meriah’, tak la kosong sangat. Sebab itu suami saya kata cucur saya ‘sangat meriah’

Selamat Merangsang Rasa, Memikat Aroma


Tuesday, November 11, 2008

Tumis-tumis Abahfateh - Sate Kajang

Tempohari, saya bawa isteri dan anak-anak makan luar. Tidak jauh, di Kajang sahaja. Kami pesan makanan untuk kami berdua dan Sate Kajang untuk anak-anak.

Saya ambil secucuk sate dan menjamahnya.
“Sedap.“ Itulah yang terkeluar daripada mulut saya. Sedap yang saya maksudkan itu adalah rasa yang saya pernah saya nikmati 20 tahun dahulu.

Inilah rasa Sate Kajang yang sebenarnya. Rasa yang saya cari-cari sejak seorang pengusaha sate mula menguasai pasaran Sate Kajang dan menyebabkan banyak pengusaha sate yang lain gulung tikar. Ironinya, orang ramai sudah tidak merujuk Sate Kajang dengan Sate Kajang, tetapi kepada nama pengusaha sate tersebut.


Saya bukanlah ingin mengatakan sate keluaran penguasa pasaran sate kajang itu tidak sedap. Sedap rasanya cumanya bagi saya keaslian rasanya sudah terjejas. Bagi seseorang yang pernah menikmati Sate Kajang yang sebenar dahulu, saya rindukan rasa aslinya itu. Umpama rendang buatan ibu kita, walaupun sepanjang tahun kita boleh menikmati rendang bila-bila masa dan dimasak oleh tukang masak terkenal, resepi asli ibu kita, makcik kita ataupun sesiapa yang kita kagumi itu jugalah yang kita cari semasa hari raya atau ketika menyambut hari-hari istimewa seperti perkahwinan.


Tidaklah saya ingin mendedahkan di manakah lokasinya buat masa sekarang kerana saya perlu rasa sate-sate di tempat yang lain juga kerana salah satu perkara yang saya ingin buat selepas pulang dari Labuan ialah mencari pengusaha sate yang masih mengekalkan keaslian Sate Kajang.


Mungkin anda ada lokasi yang anda rasa sedap dan menepati ciri-ciri yang saya sebutkan tadi. Maka bolehlah cadangkan kepada saya di kotak komen yang tersedia.

Abahfateh
http://abahfateh.blogspot.com


p.s – saya rindukan bau tisu basah wangi percuma yang disediakan oleh pengusaha sate suatu masa dahulu.