Saturday, September 25, 2010

Salad Udang Vietnam ala Selera Malaya


Salad adalah sayuran mudah yang tak perlu dimasak, tambahan, sayuran segar memberikan nutrisi yang baik untuk badan kita. Kali ini, saya ingin berkongsi resepi salad ala-ala vietnam ( nak guna resepi ini sepenuhnya bahaya, sebab guna dagin 'pork'. ambik mana yang boleh je )

Bahan-bahannya :

Untuk sayuran ;
1/2 biji lobak merah ( potong halus-halus, panjang-panjang )
2 kelopak kobis putih ( juga potong panjang-pajang dan halus )
1 biji bawang besar ( mayang halus juga )

Untuk 'dressing "
- 5 sudu makan minyak zaitun
- Minyak halia ( potongkan 2 cm halia, cincang halus dah gorengkan dengan minyak zaitun )
- 2 biji cili merah besar, buang biji dan cincang halus
- 10 helai daun pudina ( potong-potong )
- Satu sudu makan sos ikan
- satu sudu makan cuka ( saya guna apple viniger )
- 2 sudu madu


Untuk Udang ;
- siang udang, belah belakang udang, untuk mengeluarkan benang hitam halus dibahagian belakang udang.
- gorengkan udang menggunakan 5 sudu minyak zaitun ( seperti di bahagian dressing'). Gorengkan bersama halia.
- Jangan goreng terlalu lama, sekadar udang masak ( dalam 5 minit ) sekiranya terlalu lama, manis udang akan hilang )

Cara membuat salad ;

-Campurkan udang bersama sayuran, simpan dalam peti ais untuk menyejukkan.
-Campurkan semua bahan 'dressing'. simbangkan rasa masin ( sos ikan ), masam ( cuka epal ) dan manis ( madu ) mengikut citarasa anda.
-Sejukkan dalam peti ais.
-Campurkan sayuran dan 'dressing' sejurus anda ingin menikmati hidangan.
Selamat mencuba

Nota :
- sekiranya anda sukakan pedas, campurkan potongan cili api dalam salad ini.
- anda boleh menambah daging yang telah direbus empuk ke dalam salad ini atau menggantikan udang dengan daging.
- Minyak gorengan udang digunakan untuk mengoreng halia juga.
- Anda juga boleh mengukus udang sekiranya anda tidak mahu menggorengnya.
- Salad ini enak dinikmati setelah disejukkan

Tuesday, September 21, 2010

Sambal Tutuk Tumis


Lama sudah rasanya tidak menjamah hidangan ini. Teringat kali terakhir menjamahnya pada perjumpaan keluarga di Homstay Haji Dorani. Lepas jemu makan ketupat rendang, adalah baiknya mencuba respi yang biasa biasa sahaja.

Bahan-bahannya :

- 3 biji cili besar ( merah, boleh diganti dengan cili kering )
15 biji cili padi/ kecik ( kuantiti bergantung dengan selera masing-masing.
Anda sukakan pedas, tambah bilangan cili dan sebaliknya )
- 100 g ikan bilis ( basuh )
- 7 biji bawang merah ( kecil - boleh diganti dengan sebiji dua bawang besar )
- 3 sudu gula ( mengikut citarasa, ini hanya cadangan sahaja )
- 300 ml air ( sbagai panduan sahaja, kuantiti boleh lebih )
- 100 ml minyak ( cadangan sahaja, anda sukakan lebih banyak minyak boleh
ditambah lagi
- 2 keping asam gelugur/keping

Cara Membuat :
- Oleh kerana namanya sambal 'tutuk', maka semua bahan ( kecuali minyak dan air )
seharusnya ditumbuk. Bahan-bahan yang perlu ditumbuk adalah cili, ikan bilis dan
bawang.
- setelah ditumbuk ( tak perlu terlalu lumat ) panaskan minyak dan tumis
bahan-bahan yang ditumbuk
- tumis sehingga naik bau
- masukkan asam glugur
- masukkan air, masak hingga agak pekat
- masukkan gula, perasakan mengikut citarasa anda
- sedia untuk dihidang
- buangkan asam gelugur agar tidak merosakkan rasa.

Nota ;
- Asam keping adalah pilihan, anda boleh mengabaikannya

Monday, September 20, 2010

Salam Aidilfitri

Assalammualaikum dan salam sejahtera. sekian lamanya kami menyepikan diri bukan bererti ketandusan idea, tetapi kekurangan waktu untuk menguruskan kemasukan baru bagi blog ini. Apapun, semoga lebaran 2010 ini, membawa lebih keberkatan kepada kita semua ...
Amin

Tuesday, March 2, 2010

Salad Keledek dengan Sosej




Salad Keledek bersama Sosej

Kali ini, saya berkongsi satu hidangan yang ringkas dan lengkap iaitu ada protein, kabohidrat dan juga sayur-sayuran.

Bahab-bahannya :
• 2 batang sosej ( potong-potong dalam 1 inci ), rebus dalam 5- 10 minit, agak-agak masak.
• ½ batang timun ( potong-potong ikut citarasa anda )
• 1 biji tomato ( bagi tomato yang besar saiznya, gunakan separuh sahaja) ( potong dadu besar )
• 3 helai daun salad ( potong-potong )
• 1 biji ubi keledek ( direbus dan potong dadu besar )
• 3 sudu mayonis
• 3 sudu besar kismin


Cara-caranya :
• Campurkan semua bahan ke dalam satu bekas dan gaul ratakan.
• Hidangkan
• Sedia untuk dimakan

Nota :
• Ubi keledek boleh digantikan dengan ubi kentang
• Sosej juga boleh digantikan dengan ayam, atau daging atau sumber protein yang lain.

Wednesday, February 10, 2010

Salad Nenas bersama udang




Bahan untuk salad
• 2 kelopak daun salad – dipotong-potong
• 2 kelopak kobis unggu – potong-potong
• Udang - direbus dan dibelah dua
• 2 potong nenas – dipotong-potong lebih kecil
• Timun- dipotong-potong panjang
• Tomato – didadu besar
• Bawang Besar – didadu besar
• Soon – rendam sehingga lembut dan potong agak pendek



Bahan untuk Perasa
• 1 bijik lemon – perah ambil jusnya
• Madu - secukup rasa
• Garam – secukup rasa


Caranya :

• Letakkan bahan-bahan untuk salad di dalam sebuah mangkuk.
• Tambahkan bahan-bahan untuk perisa
• Imbangkan rasa manis masam dan masin
• Sedia untuk dihidang.


Nota :
• Untuk membuat salad, terserah kepada kita untuk memasukkan apa-apa jua pun bahan.
• Buah nanas boleh diganti dengan buah avogado atau mangga atau seumpamanya.
• Bahan-bahan daunan juga boleh ditukarganti mengikut kreativiti dan selera anda,
• Bahan untuk perisa juga, anda boleh menambahkan moayonis, mustard, minyak zaitun atau sebagainya.

Friday, January 22, 2010

Punjung Keladi




Bahan-bahan :
• 1 Paket Tepung Beras
• 3 Cawan Gula Pasir
• 2 - 3 Biji Keladi (unggu)
• 2 Biji Kelapa Parut
• Garam Secukupnya
• Pewarna Unggu Secukupnya
• Daun Pisang sebagai acuan (bentuk kon)
• Lidi bagi menyemat acuan

Cara-caranya :
• Rebus keladi yang siap dipotong dan apabila telah masak, lenyek keladi hingga hancur dan ketepikan.
• Perah santan menggunakan air yang mencukup ( Untuk mengetahui jumlah air yang mencukupi, sekadar tepung melekat di jari – seperti tepung membancuh pisang goreng )
• Masukkan tepung beras, garam, dan 1 1/2 cawan gula dan gaul sehingga sebati.
• Didihkan santan yang telah dikisar bersama 2 cawan gula dan masukkan pewarna unggu; kacau di atas api perlahan2 sehingga mendidih ( pastikan jangan sampai pecah santan ).
• Tuangkan santan panas tersebut ke dalam adunan tepung beras dan gaulkan hingga sebati. ( sekiranya tepung berketul-ketul, gunakan pengisar untuk memudahkan cara )
• Akhir sekali, masukkan keladi yang telah dilenyek tadi dan gaulkansehingga sebati.
• Masukkan adunan yang telah sebati tersebut ke dalam acuan daun pisang yang berbentuk kon tadi dan kukus hingga masak ( leibh kurang 45 minit)
• Apabila telah masak, angkat dan hidangkan......
• Sekian, selamat mencuba.
Nota : Untuk punjung Pandan, kisar kelapa bersama daun pandan, sekiranya warna kurang menyerlah, tambah sedikit perwarna hijau.

Tuesday, January 19, 2010

Mee Kari Bonda




Tidak dapat dinafikan, terdapat pelbagai kaedah dan resepi untuk menyediakan hidangan mee kari ini, ada yang menggunakan pelbagai rempah ratus masakan melayu dan ada juga yang sangat mudah. Kali ini, saya berkongsi resepi yang mudah sepertimana yang diajar oleh Almarhumah ibu mertua saya. Resepinya agak ringkas dan mudah untuk disediakan. Saya harap anda semua berpuas hati dengan resepi kali ini.

Bahan-bahannya :
• 2 bungkus Mee kuning
• 1 biji bawang besar ( bersaiz besar, sekiranya anda menggunakan bawang saiz kecil, gandakanlah bilangannya.
• 1 ulas bawang putih
• 5 tangkai cili merah segar.
• 2 sudu besar rempah kari ( kalau saya, apa2 rempah kari pun tak apa Cuma saya lebih suka menggunakan rempah Allagapas atau Baba’s)
• 1 biji kelapa ( diambil santannya )
• 2 liter air ( bergantung, Cuma cadangan )
• Sedikit garam dan gula
• 1 tangkai daun kari
• 2 biji tomato ( belah 6 )*
• 1 batang lobak merah ( dipotong-potong )*
• 2 biji kentang ( dibuang kulit dan dibelah –belah )*
• 1 bungkus tofu bulat goreng ( dibelah empat atau bergantung saiz apa yang anda mahukan )
• Sedikit air asam jawa
• ½ ekor ayam/ kilo udang
• Minyak masak, secukupnya


Untuk tabur
• 100 g tougeh
• 1 ikat sawi
• 3 biji cili hijau ( dipotong-potog)
• Sedikit bawang goreng


Cara-caranya :
• Dari kelapa parut, dapatkan santan ( menggunakan sebahagian air yang disediakan tadi. Anda juga boleh menggunakan santan peket ). Ketepikan
• Kisar bawang besar, bawang putih bersama dengan cili merah, setelah hancur, masukkan serbuk kari, kisar sekali lagi.
• Dalam kuali/ periuk yang panas, masukkan sedikit minyak ( dalam 5 – 8 sudu besar ). Setelah minyak panas, masukkan bahan-bahan yang dikisar tadi.
• Biarkan seketika hingga semua rempah pecah minyak ( sekadar naik bau pun boleh )
• Bila rempah semua sudah masak, masukkan santan.
• Kemudian masukkan kentang dan lobak. Masak hingga kedua-duanya lembut.
• Setelah lembut, masukkan pula tofu. Sekiranya anda menggunakan ayam, masukkan ayam sekarang.
• Biarkan seketika ( dalam 5 minit, agak-agak ayam sudah masak tapi jangan terlebih masak kerana akan menghilakan rasa manis ayam ).
• Perasakan, masukkan garam, gula dan juga asam jawa. Imbangkan rasa masam, masin dan manis mengikut citarsa anda. kalau boleh, biarkan rasa manis mendominasi.
• Sekiranya anda menggunakan udang dan tomato, anda boleh memasukkannya sejurus sebelum api ditutup agar manis udang tidak hilang apabila dimasak terlalu lama. Reneh lagi dalam lebih kurang 2 – 5 minit, agak-agak udang sudah masak, hidangkan
• Sedia untuk dimakan.
• Semalat mencuba.


Nota :
• Sekiranya anda tidak suka kari yang terlelu berkrim, kurangkan kelapa kepada ½ biji sahaja.
• *Sayur-sayuran yang dicadangkan ( yang dimasukkan ke dalam kuah ) adalah pilihan sahaja, terpulang kepada anda untuk memilih. Anda boleh masukkan kesemua jenis sayuran di atas atau langsung tidak.
• Jumlah air juga adalah angaran sahaja. Anda boleh meletakkan lebih air atau kurang.