Saturday, January 14, 2012

Kerabu Udang Selera Malaya



Assalamualaikum,

Selamat Tahun Baru 2012. Rasanya masih belum terlewat mengucapkannya. Jika terasa terlewat maka kami ucapkan Selamat Tahun Baru Cina! Semoga kita semua memperolehi kejayaan pada tahun ini.

Sebentar tadi, pusing-pusing keliling rumah sedar-sedar di tangan ada bunga kantan, serai dan juga daun kaduk. Hmm… teringat ada udang baru dibeli tadi, maka teruskanlah niat untuk membuat kerabu. Lama benar rasanya tidak membuat kerabu. Jom ke dapur!


Bahan-bahan.

1.       Udang
2.       Bunga Kantan – diracik halus
3.       Serai – diracik halus
4.       Cili api – diracik halus
5.       Bawang merah – diracik halus
6.       Kacang tanah – ditumbuk kasar
7.       Daun kaduk
8.       Tepung jagung
9.       Minyak bawang putih
10.   Sos Ikan
11.   Gula
12.   Garam
13.   Perahan limau

Cara-cara penyediaannya.

1.       Gaulkan udang dengan tepung dan garam. Goreng dan toskan.
2.       Bahan-bahan racik dan ditumbuk digaulkan dengan minyak bawang putih, sos ikan, gula dan perahan limau mengikut citarasa masing-masing.
3.       Gaulkan udang bersama kerabu.

Mudah bukan? Memang enak dimakan dengan daun kaduk begitu sahaja. Letakkan kerabu di atas daun kaduk, gulung dan… selamat. Jangan lupa baca Bismillah ye.

Wednesday, November 16, 2011

Sup Tomato


Bosan juga jika selalu makan sup dengan stail Melayu mahupun Cina. Kali ini saya mencuba satu resepi yang sudah lama saya ingin cuba iaitu sup tomato.  Jom cuba.


Kalau masuk Masterchef, dengan hiasan sebegini, sah-sah masuk pusingan penyingkiran.

Bahan-bahan

4 biji tomato sederhana besar, dibelah dengan potongan sederhana
2 ulas bawang putih, dicincang
1 labu bawang besar, dicincang
Sedikit daun basil (kering atau segar)
Satu sudu minyak zaitun
Stok ayam
Garam dan lada hitam

Cara-cara membuatnya

1. Rebus tomato sehingga masak dan toskan.
2. Tumis bawang putih, bawang merah dan daun basil dengan minyak zaitun.
3. Kisar tomato dengan bahan tumisan tadi.
4. Tumis semula selepas dikisar.
5. Masukkan stok ayam secukupnya.
6. Perisakan
7. Tapis sup tersebut, siap untuk dihidangkan.

Mudah bukan? Cubalah jika selama ini tomato terhad kepada masakan tertentu  dalam koleksi resepi anda. Enak dimakan bersama roti bakar bawang putih dengan mentega.

Bukannya susah memasak pun.

Jumpa lagi,
Abahfateh

Thursday, November 10, 2011

Terung panggang dengan tomato segar beserta kari mayonis.


Terung atau nama saintifiknya Solanum melongena merupakan sejenis buah yang hampir sifatnya seperti tomato ataupun kentang. Terung popular di kalangan masyarakat Melayu dan India terutamanya. Sepanjang pengetahuan saya, masakan terung sangat terhad variasi masakannya dan secara amnya terung menjadi bahan masakan di dalam kari, dhal, asam pedas mahupun disambal sahaja. Saya sendiri menggemari pajeri terung dan terung masak sambal taucu.

Namun begitu masakan barat banyak juga resepi terungnya. Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi satu resepi ringkas dan mudah untuk dihidangkan.




Bahan-bahan

1 biji terung (bulat atau bujur) – dihiris tebal kira-kira ½ inici.
1 biji tomata sederhana besar – dihiris tebal kira-kira ½ inci.
2 sudu besar mayonis
Serbuk roti
3 ulas bawang putih dicincang halus
1 sudu teh serbuk kari
Sedikit minyak zaitun.

Cara Penyediaan

Terung
  • Sapu hirisan terung dengan mayonis di kedua-kedua permukaannya.
  • Salutkan dengan serbuk roti secukupnya.
  • Sapukan minyak zaitun di atas kertas aluminium dan susun hirisan terung tersebut.
  • Panaskan ketuhar dengan suhu kira-kira 180o celcius. Selepas dipanaskan, masukkan terung ke dalam ketuhar dan panggang kira-kira 20 minit sehingga warna serbuk roti bertukar menjadi perang keemasan. Terbalikkan dan panggang sekali lagi kira-kira 5-10 minit.


Dressing

  • Gaulkan mayonis, serbuk kari dan cincangan bawang putih.
  • Susun hirisan tomato dan terung mengikut citarasa anda dan letakkan dressing di atasnya ataupun boleh dicicah begitu sahaja.

Hasil yang perlu anda dapat adalah kepahitan terung itu akan disulami dengan rasa mayonis, serbuk kari dan bawang putih. Kerangupan yang terhasil daripada serbuk roti dan tomato segar akan membangkitkan lagi rasa terung tersebut.

Selamat mencuba

Abahfateh

Wednesday, November 2, 2011

Coleslow dengan Tairu (Yogurt)



(Hidangan untuk 5 - 7 orang)

Bahan-bahan

¼ kobis putih dihiris halus
¼ kobis ungu dihiris halus
½ batang lobak merah diracik atau didadu
1 labu bawang besar
3 sudu besar tairu (yogurt) kosong
1 sudu besar mayonis
Garam dan gula secukup rasa



Cara-caranya

Masukkan semua bahan di atas dan gaul rata.
Perisakan dengan garam dan gula secukupnya.
Simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya sejam atau lebih unyuk rasa yang lebih enak.

Catatan

- Bahan-bahan lain yang boleh dimasukkan atau di ganti adalah seperti jagung dan kacang
  pea.
- Berhati-hati dengan jumlah mayonis dan tairu kerana jika terlebih akan menyebabkan
  coleslaw anda terlebih air.

Sunday, October 16, 2011

Salad Ikan Bilis

Assalamualaikum, 


Sudah lama blog ini tidak dikemaskini dengan entry terakhir adalah pada bulan April 2011. Namun blog masakan tetaplah blog masakan di mana pengunjung tetap setia berkunjung mencari dan mencuba resepi-resepi yang dikongsi sebelumnya. Maaf kerana ada juga kenalan yang menegur blog sudah lama tidak dikemaskini. Terima kasih di atas keprihatinan anda semua. 


Kali ini saya ingin kongsikan satu resepi yang sempat saya pelajari melalui lisan dengan seorang pengusaha kantin ketika lawatan kerja saya ke Utara tanah air baru-baru ini. Saya tidak sempat bertanya nama masakan ini namun saya pandai-pandai namakannya sebagai Salad Ikan Bilis. Mudah dan ringkas.





Bahan-bahan yang diperlukan.
(hidangan 2-3 orang)


 ~200 g ikan bilis bersaiz kecil. (digoreng)
Selabu bawang besar (diracik halus) 
6 batang cili padi (ikut selera anda) (diracik halus) 
6 sudu teh cuka makan 
6 sudu teh sos ikan 
3 sudu teh gula
Lada sulah secukup rasa


Cara memasak


Gaulkan semua bahan di atas sehingga sekata rasanya. Anda boleh mengubahsuainya mengikut citarasa anda. Apa yang penting ialah rasa masam, manis, pedas dan masin mestilah seimbang. 


Selamat mencuba! Enak dimakan bersama dengan nasi goreng atau nasi kosong sahaja yang panas-panas. Saya kira sesuai juga dibawa untuk bekalan perkelahan mingguan anda.

Saturday, April 9, 2011

Sambal Kicap




Mudah saja cara buatannya, enak dimakan dengan cucur/ cekodok dan juga sup ( termasuk soto )



Bahan-bahannya :

· 21 biji cili padi/ kecil ( ikut citarasa anda )

· 3 biji cili merah ( besar )( option, tak yah taruk pun tak pe )

· 3 ulas bawang putih

· 3 sudu besar gula ( sebagai panduan sahaja )

· ½ cawan kicap lemak manis ( saya guna kicap cap kipas udang )

· 1 sudu teh perahan limau ( tak kisah la limau apa )



Cara membuatnya :

- Campurkan semua bahan ( kecuali jus limau ), kemudian tumbuk/kisarkan hingga lumat

- Tuangkan dalam bekas yang bersesuaian dan campurkan dengan sedikit jus limau

- Sedia untuk dinikmati

Friday, April 1, 2011

Soto Johor ( versi Parit Tengah )



Bahan-bahan untuk Kuah

Bahan A
• ½ ekor ayam
• 2 liter air
• Garam dan Gula secukup rasa
• Sedikit minyak untuk menumis

Bahan B ( Kisar dalam mesen pengisar )
• 2 biji bawang besar ( atau 7 – 9 biji bawang merah )
• 5 ulas bawang putih
• 2 inci halia ( berdiameter lebih kurang 1 inci )
• ½ inci kunyit hidup ( berdiameter lebih kurang 1 inci )
• 1 batang serai ( ambil yang mudah dalam 1 inci je , kalau telebih serai tak sedap plak )

Bahan C ( Rempah tumis )
• 3 biji bunga lawang
• 5 biji buah pelage
• 1 batang kulit kayu manis ( panjang dalam 2 inci – angaran je tau )
• 3 biji bunga cengkih

Bahan D ( Rempah-rempah, Basuh, sangai dan tumbuk/kisar halus )
• 3 sudu kecil ketumbar biji
• 2 sudu kecil jintan gemuk ( saya ada masalah mengenalpasti jintan manis dan jintan putih )
• 1 sudu kecil jintan kurus
• 1 sudu kecil lada putih

Bahan Untuk Hiasan
• 50 sen taugeh ( celur ) – angaran sahaja tau
• Segengam soo hoon ( goreng )
• 100g kacang tanah ( goreng )
• Hirisan daun sup ( untuk tabur )
• Bawang goreng ( untuk hiasan dan tabur )


Cara Memasak
• Panaskan minyak, masukkan bahan-bahan yang dikisar ( Bahan B )sehingga naik bau.
• Masukkan pula bahan C sehingga bahan B agak kering.
• Masukkan pula bahan D. Tumis seketika sehingga naik bau.
• Masukkan air ( lebih kurang 2 liter mengikut citarasa anda ).
• Masukkan ayam. Reneh ayam menggunakan api yang kecil selama lebih kurang 1 – ½ jam. Anda juga boleh merebusnya menggunakan api yang besar tetapi ‘manis’ ayam akan hilang. Disamping itu, dengan merebus menggunakan api yang perlahan membenarkan segala rempah meresap ke dalam daging ayam. Ini menambahkan rasa rempah dalam daging ayam tadi.
• Perasakan dengan garam/gula menggikut citarasa anda ( sebelum ayam direneh )
• Setelah cukup masa, matikan api. Sedia untuk dihidang dan dinikmati
• Sesuai dimakan bersama nasi impit/ ketupat segera atau mee hoon.


Nota :
- Enak dinikmati dengan sambal kicap ( Resepi sambal kicap akan menyusul pada keluaran akan datang )
- Kuar soto yang lebih jangan dibuang, sebaliknya boleh disimpan dalam peti ais dan bila anda mahu menikati soto lagi, cuma masukkan daging ayam dan reneh kembali.

Monday, March 7, 2011

Coklat

Sebenarnya, banyak cerita dan resepi untuk dikongsi ( resepinya dah kemana da disimpan ) tapi, memandangkan kesempatan tiada, maka tak der la entri..

buat permulaan ( untuk kali yang keberapa tak tau la ) ingin berkongsi 'my new passion' ( pinjam awak punya tagline lisz ) heheh ' coklat'

Disini saya kongsi beberapa gambar....


Atas permitaan, tepaksa masukkan gambar coklat bersama model sekali




Seorang lagi model bersama coklat untuk jualan



Sesiapa berminat, sila-silalah buat tempahan ye, cuma RM 2.00 Sebatang,

Saturday, October 16, 2010

Ayam Goreng Kari Tomato Selera Malaya





Ayam Goreng Berkunyit adalah cara menggoreng ayam yang paling mudah dan ringkas. Ayam digaul dengan serbuk kunyit dan garam lalu digoreng dan siap. Saya ingin berkongsi satu resepi ayam goreng yang cukup mudah dan sedap. Pemerhatian saya apabila saya menggunakan resepi ini, anak-anak saya akan makan nasi habis dan licin. Alhamdulillah. Resepi yang bakal saya kongsikan untuk 2 ketul ayam, jadilah kalau hendak masak lebih, pandai-pandailah mengubahsuainya ye….


Bahan Utama



2 ketul ayam
1 sudu besar serbuk kari
½ sudu besar serbuk kunyit
½ sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos tomato




Gaulkan ayam dengan bahan-bahan tersebut dan perap sekurang-kurangnya 15 minit. Jika ketulan ayam adalah bahagian isi, kelarlah ia supaya lebih mudah meresap masuk ke daging. Gorenglah dalam minyak yang panas. Hasil gorengan akan menjadi coklat kehitaman kesan sos tomato dan sos tiram.

Makanlah panas-panas dengan nasi kosong berulamkan ulam-ulaman. Pasti anda akan rasa tidak berbaloi pergi ke restoran-restoran yang menyediakan hidangan ayam goreng, Insya Allah. Selamat mencuba.



Abahfateh

Tuesday, October 12, 2010

Spagerti Goreng Udang




Resepi ini amat mudah, boleh dikategorikan 'masakan segera'. Menggunakan bahan-bahan biasa yang sering kita gunakan di rumah.

Bahan-bahannya :
½ bungkus Pasta- saya guna Spinach Fettuccine
2 biji cili merah ( besar ) buang biji dan potong halus-halus
5 biji bawang putih – cincang halus
3 tangkai daun pasli – cincang halus juga
5 kuntum cendawan bulat – potong
50 g mentega
3 sudu minyak zaitun/masak
Sediit lada sulah/garam sebagai perisa ( jika suka )
10 ekor udang sederhana besar ( tinggalkan kulit ekor dan belah belakang buang benang hitamnya )

Caranya :
Rebus pasta sehingga lembut, ketepikan
Masukkan mentega dan minyak ke dalam kuali. Masukkan bawang putih apabila mentega sudah cair sepenuhnya. Gorengkan bawang putih sehingga naik bau.
Masukkan cili merah dan cendawan. Goreng seketika sehingga agak-agak cendawan masak.
Masukkan pasta dan udang. Gaulkan hingga mesra semua bahan yang ada dalam kuali.
Sekiranya anda rasa kurang masin, masukkan sedikit garam.
Untuk rasa tambahan, masukkan sedikit lada sulah
Balik-balikkan sehingga udang masak. Jangan masak udang terlalu lama. Manis udang akan hilang sekiranya dimasak terlalu lama.
Masukkan daun pasli, gaulkan rata dan matikan api.
Sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba

Nota :
1 – sekiranya anda sukakan rasa pedas, anda boleh menambah serbuk cilia tau cili padi.
2 – anda juga boleh memasukkan sayur-sayuran jenis lain mengikut kesukaan anda seperti sawi, taugeh.
3 – Udang boleh anda gantikan dengan sotong, ayam, daging atau mengikut citarasa anda.
4 - Sekiranya anda tidak mahu menggunakan mentega, anda boleh menggunakan sepenuhnya minyak zaitun, lebih menyihatkan.

Friday, October 8, 2010

Roti Telur Berkeju




Sedaya upaya, saya menyediakan menu sarapan untuk anak-anak saya makan. Saya pasti bukan saya sahaja yang mempunyai masalah untuk menyediakan hidangan sarapan yang suka dinikmati oleh anak-anak. Seboleh-bolehnya saya mahu anak-anak saya menjamah makanan yang mengandungi pelbagai sumber nutien yang baik untuk pembesaran tubuh badan mereka. Berikut adalah resepi roti telur yang terhasil dah digemari oleh anak-anak saya

Bahan-bahannya :
• 1 biji telur
• 1 sudu makan keju ( saya menggunakan keju parmesan )
• Sedikit garam dan gula dan serbuk lada sulah ( sebagai perisa )
• 1 ulas bawang putih
• 3 keping roti ( potong-potong mengikut citarasa anda )
• 1 sudu makan mentega ( untuk menggoreng )

Cara-caranya :
• Pecahkan telur, campurkan dengan keju, garam dan gula serta serbuk lada sulah. Pukul hingga sebati
• Panaskan kuali ( Seeloknya gunakan non-stick pan ), letakkan mentega dan bawang putih ( bawang putih ambil rasa sahaja sebab kanak-kanak tidak akan mahu makan sekiranya melihat fizikal bawang putih tersebut).
• Celupkan roti ke dalam campuran telur tadi dan gorengkan dalam kuali ( menggunakan mentega yang sedikit sahaja )
• Hiaskan dan hidangkan. Hidangkan bersama hirisan timun dan tomato. Enak dimakan ketika panas-panas.
Selamat mencuba.

Monday, October 4, 2010

Kek Coklat Mudah





Sekiranya anda tidak mempunya apa-apa peralatan untuk membuat kek, contohnya mixer, cukup dengan senduk sahaja anda boleh membuat resepi kek cokelat ni. Sekalipun anda tidak mempunyai pembakar ( oven ) anda boleh mengukus kek ini. Begitu mudah dan InsyaAllah ianya enak. Anda pasti boleh membuat kek yang sedap walaupun anda bukannya ‘tukang masak’ professional. Selamat mencuba.

Bahan-bahannya :
• 1 sudu the baking powder
• 1 sudu the esen vanilla
• ¾ sudu bikarbonat soda
• 200g tepung gandum
• 100g serbuk koko
• 300g gula kastor
• 150g mentega ( cairkan )
• 300g susu cair
• 3 biji telur

Cara membuatnya :
• Cairkan mentega, ketepikan dan biarkan seketika sehingga ia sejuk
• Pukul telur agak-agak kembang
• Campurkan semua bahan-bahan kering ke dalam satu mangkuk ( tepung, serbuk koko, bikarbonat soda, baking powder dan gula)
• Masukkan telur, susu cair dan mentega ke dalam mangkuk bahan-bahan kering dan gaulkan sehingga sebati.
• Bakar pada suhu 170oc lebih kurang 45 minit
• Sejukkan dan sedia untuk dihidang

Thursday, September 30, 2010

Bebola Daging Selera Malaya





Rasa-rasanya sudah lama saya sudah tidak menulis dalam blog Selera Malaya ini (tuan rumah tidak mengemaskinikannya, tidaklah saya ingin menyibuk-nyibuk pula). Namun sebagai permulaan, saya ingin berkongsi satu resepi yang mudah dan cepat. (Kurang 30 minit boleh selesai).

Resepi ini tercipta secara tiba-tiba. Pada hari terciptanya resepi ini konon-kononnya hendak masak spaghetti bolognese dengan daging. Fikir-fikir lebih baik buat bebola daging cumanya tidak tahu bagaimana caranya. Malas hendak meng’google’ terus saya fikirkan bahan yang sesuai dan ianya seperti berikut :

Bahan utama
~ 500g daging kisar
2 biji bawang besar dicincang halus
3 ulas bawang putting dicincang halus
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
½ sudu teh ketumbar
~2 atau 3 sudu teh serbuk lada hitam
2 sudu the garam
1 biji telur dipukul
~ 1 sudu besar tepung gandum

Semua rempah hendaklah dikisar halus.

Bahan Perapan
~ 2 sudu besar kicap
2 sudu besar madu

Bagaimana caranya? Gaullah semua bahan utama dan apabila siap maka bentuklah ia menjadi bebola kecil mengikut saiz yang anda ingini. Dengan bahan seperti ini dan saiz bebola yang sederhana, kita boleh dapat 30 sehingga 40 biji bebola daging.

Rebuskan ia, angkat dan toskan seketika kerana kita hendak memerap rebusan bebola daging ini dengan kicap dan madu. Gaul rata dan perap seketika selama 10 hingga 15 minit. Selepas itu, panaskan sedikit minyak di atas pan tidak melekat dan gorenglah ia dengan menggolek-golekkan ia di atas pan tersebut

Insya-Allah, rasa daging akan diperkuatkan dengan rempah yang diletakkan terutamanya lada hitam. Bukan sahaja sesuai dimakan dengan spaghetti Bolognese namun enak dimakan dengan nasi, roti atau dimakan begitu sahaja.

Selamat mencuba!
-abahfateh-

p/s : Jika anda pernah menonton filem The God Cookery Cookery Master lakonan Stephen Chow, pasti anda teringat adegan bebola daging melantun-lantun sehingga boleh dijadikan pengganti bola pingpong.

Saturday, September 25, 2010

Salad Udang Vietnam ala Selera Malaya


Salad adalah sayuran mudah yang tak perlu dimasak, tambahan, sayuran segar memberikan nutrisi yang baik untuk badan kita. Kali ini, saya ingin berkongsi resepi salad ala-ala vietnam ( nak guna resepi ini sepenuhnya bahaya, sebab guna dagin 'pork'. ambik mana yang boleh je )

Bahan-bahannya :

Untuk sayuran ;
1/2 biji lobak merah ( potong halus-halus, panjang-panjang )
2 kelopak kobis putih ( juga potong panjang-pajang dan halus )
1 biji bawang besar ( mayang halus juga )

Untuk 'dressing "
- 5 sudu makan minyak zaitun
- Minyak halia ( potongkan 2 cm halia, cincang halus dah gorengkan dengan minyak zaitun )
- 2 biji cili merah besar, buang biji dan cincang halus
- 10 helai daun pudina ( potong-potong )
- Satu sudu makan sos ikan
- satu sudu makan cuka ( saya guna apple viniger )
- 2 sudu madu


Untuk Udang ;
- siang udang, belah belakang udang, untuk mengeluarkan benang hitam halus dibahagian belakang udang.
- gorengkan udang menggunakan 5 sudu minyak zaitun ( seperti di bahagian dressing'). Gorengkan bersama halia.
- Jangan goreng terlalu lama, sekadar udang masak ( dalam 5 minit ) sekiranya terlalu lama, manis udang akan hilang )

Cara membuat salad ;

-Campurkan udang bersama sayuran, simpan dalam peti ais untuk menyejukkan.
-Campurkan semua bahan 'dressing'. simbangkan rasa masin ( sos ikan ), masam ( cuka epal ) dan manis ( madu ) mengikut citarasa anda.
-Sejukkan dalam peti ais.
-Campurkan sayuran dan 'dressing' sejurus anda ingin menikmati hidangan.
Selamat mencuba

Nota :
- sekiranya anda sukakan pedas, campurkan potongan cili api dalam salad ini.
- anda boleh menambah daging yang telah direbus empuk ke dalam salad ini atau menggantikan udang dengan daging.
- Minyak gorengan udang digunakan untuk mengoreng halia juga.
- Anda juga boleh mengukus udang sekiranya anda tidak mahu menggorengnya.
- Salad ini enak dinikmati setelah disejukkan

Tuesday, September 21, 2010

Sambal Tutuk Tumis


Lama sudah rasanya tidak menjamah hidangan ini. Teringat kali terakhir menjamahnya pada perjumpaan keluarga di Homstay Haji Dorani. Lepas jemu makan ketupat rendang, adalah baiknya mencuba respi yang biasa biasa sahaja.

Bahan-bahannya :

- 3 biji cili besar ( merah, boleh diganti dengan cili kering )
15 biji cili padi/ kecik ( kuantiti bergantung dengan selera masing-masing.
Anda sukakan pedas, tambah bilangan cili dan sebaliknya )
- 100 g ikan bilis ( basuh )
- 7 biji bawang merah ( kecil - boleh diganti dengan sebiji dua bawang besar )
- 3 sudu gula ( mengikut citarasa, ini hanya cadangan sahaja )
- 300 ml air ( sbagai panduan sahaja, kuantiti boleh lebih )
- 100 ml minyak ( cadangan sahaja, anda sukakan lebih banyak minyak boleh
ditambah lagi
- 2 keping asam gelugur/keping

Cara Membuat :
- Oleh kerana namanya sambal 'tutuk', maka semua bahan ( kecuali minyak dan air )
seharusnya ditumbuk. Bahan-bahan yang perlu ditumbuk adalah cili, ikan bilis dan
bawang.
- setelah ditumbuk ( tak perlu terlalu lumat ) panaskan minyak dan tumis
bahan-bahan yang ditumbuk
- tumis sehingga naik bau
- masukkan asam glugur
- masukkan air, masak hingga agak pekat
- masukkan gula, perasakan mengikut citarasa anda
- sedia untuk dihidang
- buangkan asam gelugur agar tidak merosakkan rasa.

Nota ;
- Asam keping adalah pilihan, anda boleh mengabaikannya

Monday, September 20, 2010

Salam Aidilfitri

Assalammualaikum dan salam sejahtera. sekian lamanya kami menyepikan diri bukan bererti ketandusan idea, tetapi kekurangan waktu untuk menguruskan kemasukan baru bagi blog ini. Apapun, semoga lebaran 2010 ini, membawa lebih keberkatan kepada kita semua ...
Amin

Tuesday, March 2, 2010

Salad Keledek dengan Sosej




Salad Keledek bersama Sosej

Kali ini, saya berkongsi satu hidangan yang ringkas dan lengkap iaitu ada protein, kabohidrat dan juga sayur-sayuran.

Bahab-bahannya :
• 2 batang sosej ( potong-potong dalam 1 inci ), rebus dalam 5- 10 minit, agak-agak masak.
• ½ batang timun ( potong-potong ikut citarasa anda )
• 1 biji tomato ( bagi tomato yang besar saiznya, gunakan separuh sahaja) ( potong dadu besar )
• 3 helai daun salad ( potong-potong )
• 1 biji ubi keledek ( direbus dan potong dadu besar )
• 3 sudu mayonis
• 3 sudu besar kismin


Cara-caranya :
• Campurkan semua bahan ke dalam satu bekas dan gaul ratakan.
• Hidangkan
• Sedia untuk dimakan

Nota :
• Ubi keledek boleh digantikan dengan ubi kentang
• Sosej juga boleh digantikan dengan ayam, atau daging atau sumber protein yang lain.

Wednesday, February 10, 2010

Salad Nenas bersama udang




Bahan untuk salad
• 2 kelopak daun salad – dipotong-potong
• 2 kelopak kobis unggu – potong-potong
• Udang - direbus dan dibelah dua
• 2 potong nenas – dipotong-potong lebih kecil
• Timun- dipotong-potong panjang
• Tomato – didadu besar
• Bawang Besar – didadu besar
• Soon – rendam sehingga lembut dan potong agak pendek



Bahan untuk Perasa
• 1 bijik lemon – perah ambil jusnya
• Madu - secukup rasa
• Garam – secukup rasa


Caranya :

• Letakkan bahan-bahan untuk salad di dalam sebuah mangkuk.
• Tambahkan bahan-bahan untuk perisa
• Imbangkan rasa manis masam dan masin
• Sedia untuk dihidang.


Nota :
• Untuk membuat salad, terserah kepada kita untuk memasukkan apa-apa jua pun bahan.
• Buah nanas boleh diganti dengan buah avogado atau mangga atau seumpamanya.
• Bahan-bahan daunan juga boleh ditukarganti mengikut kreativiti dan selera anda,
• Bahan untuk perisa juga, anda boleh menambahkan moayonis, mustard, minyak zaitun atau sebagainya.

Friday, January 22, 2010

Punjung Keladi




Bahan-bahan :
• 1 Paket Tepung Beras
• 3 Cawan Gula Pasir
• 2 - 3 Biji Keladi (unggu)
• 2 Biji Kelapa Parut
• Garam Secukupnya
• Pewarna Unggu Secukupnya
• Daun Pisang sebagai acuan (bentuk kon)
• Lidi bagi menyemat acuan

Cara-caranya :
• Rebus keladi yang siap dipotong dan apabila telah masak, lenyek keladi hingga hancur dan ketepikan.
• Perah santan menggunakan air yang mencukup ( Untuk mengetahui jumlah air yang mencukupi, sekadar tepung melekat di jari – seperti tepung membancuh pisang goreng )
• Masukkan tepung beras, garam, dan 1 1/2 cawan gula dan gaul sehingga sebati.
• Didihkan santan yang telah dikisar bersama 2 cawan gula dan masukkan pewarna unggu; kacau di atas api perlahan2 sehingga mendidih ( pastikan jangan sampai pecah santan ).
• Tuangkan santan panas tersebut ke dalam adunan tepung beras dan gaulkan hingga sebati. ( sekiranya tepung berketul-ketul, gunakan pengisar untuk memudahkan cara )
• Akhir sekali, masukkan keladi yang telah dilenyek tadi dan gaulkansehingga sebati.
• Masukkan adunan yang telah sebati tersebut ke dalam acuan daun pisang yang berbentuk kon tadi dan kukus hingga masak ( leibh kurang 45 minit)
• Apabila telah masak, angkat dan hidangkan......
• Sekian, selamat mencuba.
Nota : Untuk punjung Pandan, kisar kelapa bersama daun pandan, sekiranya warna kurang menyerlah, tambah sedikit perwarna hijau.

Tuesday, January 19, 2010

Mee Kari Bonda




Tidak dapat dinafikan, terdapat pelbagai kaedah dan resepi untuk menyediakan hidangan mee kari ini, ada yang menggunakan pelbagai rempah ratus masakan melayu dan ada juga yang sangat mudah. Kali ini, saya berkongsi resepi yang mudah sepertimana yang diajar oleh Almarhumah ibu mertua saya. Resepinya agak ringkas dan mudah untuk disediakan. Saya harap anda semua berpuas hati dengan resepi kali ini.

Bahan-bahannya :
• 2 bungkus Mee kuning
• 1 biji bawang besar ( bersaiz besar, sekiranya anda menggunakan bawang saiz kecil, gandakanlah bilangannya.
• 1 ulas bawang putih
• 5 tangkai cili merah segar.
• 2 sudu besar rempah kari ( kalau saya, apa2 rempah kari pun tak apa Cuma saya lebih suka menggunakan rempah Allagapas atau Baba’s)
• 1 biji kelapa ( diambil santannya )
• 2 liter air ( bergantung, Cuma cadangan )
• Sedikit garam dan gula
• 1 tangkai daun kari
• 2 biji tomato ( belah 6 )*
• 1 batang lobak merah ( dipotong-potong )*
• 2 biji kentang ( dibuang kulit dan dibelah –belah )*
• 1 bungkus tofu bulat goreng ( dibelah empat atau bergantung saiz apa yang anda mahukan )
• Sedikit air asam jawa
• ½ ekor ayam/ kilo udang
• Minyak masak, secukupnya


Untuk tabur
• 100 g tougeh
• 1 ikat sawi
• 3 biji cili hijau ( dipotong-potog)
• Sedikit bawang goreng


Cara-caranya :
• Dari kelapa parut, dapatkan santan ( menggunakan sebahagian air yang disediakan tadi. Anda juga boleh menggunakan santan peket ). Ketepikan
• Kisar bawang besar, bawang putih bersama dengan cili merah, setelah hancur, masukkan serbuk kari, kisar sekali lagi.
• Dalam kuali/ periuk yang panas, masukkan sedikit minyak ( dalam 5 – 8 sudu besar ). Setelah minyak panas, masukkan bahan-bahan yang dikisar tadi.
• Biarkan seketika hingga semua rempah pecah minyak ( sekadar naik bau pun boleh )
• Bila rempah semua sudah masak, masukkan santan.
• Kemudian masukkan kentang dan lobak. Masak hingga kedua-duanya lembut.
• Setelah lembut, masukkan pula tofu. Sekiranya anda menggunakan ayam, masukkan ayam sekarang.
• Biarkan seketika ( dalam 5 minit, agak-agak ayam sudah masak tapi jangan terlebih masak kerana akan menghilakan rasa manis ayam ).
• Perasakan, masukkan garam, gula dan juga asam jawa. Imbangkan rasa masam, masin dan manis mengikut citarsa anda. kalau boleh, biarkan rasa manis mendominasi.
• Sekiranya anda menggunakan udang dan tomato, anda boleh memasukkannya sejurus sebelum api ditutup agar manis udang tidak hilang apabila dimasak terlalu lama. Reneh lagi dalam lebih kurang 2 – 5 minit, agak-agak udang sudah masak, hidangkan
• Sedia untuk dimakan.
• Semalat mencuba.


Nota :
• Sekiranya anda tidak suka kari yang terlelu berkrim, kurangkan kelapa kepada ½ biji sahaja.
• *Sayur-sayuran yang dicadangkan ( yang dimasukkan ke dalam kuah ) adalah pilihan sahaja, terpulang kepada anda untuk memilih. Anda boleh masukkan kesemua jenis sayuran di atas atau langsung tidak.
• Jumlah air juga adalah angaran sahaja. Anda boleh meletakkan lebih air atau kurang.